Malaysia dijemput untuk menghadiri Persidangan Pembangunan Semula Gaza yang akan berlangsung di Mesir, sebagai sebahagian daripada usaha bersama memperkukuh sokongan antarabangsa terhadap pemulihan Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, undangan tersebut disampaikan semasa perbualan telefon beliau dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi, pada Sabtu, 18 Oktober 2025.
"Dalam perbualan itu, saya dimaklumkan tentang perkembangan terkini mengenai Pelan Damai Gaza.
"Presiden El-Sisi memaklumkan bahawa tumpuan kini diberikan kepada usaha mengenal pasti serta membawa keluar mayat tebusan rakyat Israel dari Gaza agar rejim Zionis tidak mempunyai sebarang alasan untuk melengah atau menggagalkan proses damai yang sedang diusahakan," jelasnya.
Menurutnya, beliau turut dimaklumkan mengenai pelaksanaan fasa kedua pelan damai tersebut, iaitu pembinaan semula Gaza, keperluan melindungi Tebing Barat, serta pelaksanaan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF).

"Dalam kesempatan tersebut, Presiden El-Sisi turut menyampaikan jemputan kepada saya untuk menghadiri Persidangan Pembangunan Semula Gaza yang akan berlangsung di Mesir.
"Persidangan tersebut sebagai sebahagian daripada usaha bersama memperkukuh sokongan antarabangsa terhadap pemulihan Gaza," tegas Anwar.
Presiden El-Sisi, katanya, juga menyatakan harapan agar kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia pada minggu hadapan membawa hasil yang positif, memandangkan peranannya amat penting dalam menjamin keamanan yang berkekalan di Gaza.
"Kami sependapat mengenai keperluan untuk terus mempertahan keamanan, memperkukuh agenda kemanusiaan, dan menyelaras pelaksanaan misi bantuan bagi rakyat Palestin yang masih berdepan penderitaan berpanjangan," tegas beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media
