Politik & Negara 27 Oct, 2025

Malaysia lakar sejarah! Trump jadi saksi! KL tuan rumah perjanjian damai Thailand-Kemboja! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Sejarah terlakar apabila Malaysia menjadi tuan rumah dan saksi kepada Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand, bagi menamatkan persengketaan dan peperangan antara dua negara ASEAN tersebut.



Perjanjian Damai Kuala Lumpur itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, sambil disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Anwar berkata, detik ini menandakan kejayaan diplomasi ASEAN dalam menyemai keamanan dan kestabilan serantau sebagai kesinambungan kepada gencatan senjata yang termeterai pada 28 Julai 2025 lalu di Putrajaya.

"Saya menghargai keprihatinan rakan-rakan serantau dan antarabangsa yang mendukung usaha ini, termasuk Presiden Trump. 

"Peranan bersama inilah yang mendorong pemimpin Kemboja dan Thailand mencapai kata sepakat serta mengambil langkah berani memilih perdamaian," tegasnya.



Menurut laporan media, tembakan dan serangan artileri meletus berhampiran kawasan kuil pertikaian di Daerah Surin, Thailand dan Oddar Meanchey, Kemboja pada 24 Julai 2025 lalu, sekali gus meletuskan semula konflik terbesar sejak tahun 2011.

Akibatnya, sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh (14 warga Thailand dan 1 tentera; juga korban di Kemboja), dengan ratusan cedera dan lebih dari 130,000 penduduk dipaksa mengosongkan kawasan persengketaan di sempadan kedua-dua negara.



Dalam pada itu, Anwar berkata, di hadapan Presiden Trump, beliau turut menegaskan keperluan memperluas agenda keamanan ini ke wilayah lain yang masih bergolak khususnya di Gaza, agar dunia kembali berpaksikan keadilan dan kemanusiaan sejagat.

"Perjanjian ini membuktikan bahawa suara ASEAN kini semakin dihormati sebagai jambatan perdamaian, memperlihat bagaimana dialog dan kesederhanaan mampu menamatkan sengketa yang berpanjangan.

"Malaysia akan terus memainkan peranan aktif memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa bagi menjunjung keamanan, keadilan dan kesejahteraan bukan sekadar untuk ASEAN, tetapi untuk seluruh umat manusia," tegasnya. - KitaReporters/Kenyataan Media


9
12
0
13
0
You will be interested