Bisnes & Ekonomi 05 Jun, 2024

Skim inovatif insentif cukai untuk syarikat Malaysia Digital (MD)! Usaha MDEC, disokong KD dan MoF!

@gamal nasir mohd ali
Seorang wartawan selama lebih 30 tahun selepas menyertai Utusan Melayu pada 1989. Bergelumang dalam bidang Online sejak 2000 dan kini mengendali KitaReporters dan UtusanPress. Emel: gamalnasir@gmail.com

Share this


Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dengan sokongan Kementerian Digital (KD) dan Kementerian Kewangan (MOF), telah memperkenal skim insentif cukai yang inovatif untuk syarikat Malaysia Digital (MD). 

Inisiatif ini memenuhi komitmen Kerajaan di bawah Belanjawan 2024 untuk memperkenal insentif cukai berasaskan hasil yang direka untuk mengukuhkan ekonomi dengan memacu pelaburan dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), sekali gus menggalakkan pembentukan kluster ekonomi baharu, serta menyediakan keseimbangan antara pertumbuhan dan kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

Skim baharu insentif cukai MD ini menawarkan pelbagai manfaat untuk syarikat digital yang memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, blockchain, dan rangkaian kesalinghubungan dan/atau teknologi telekomunikasi termaju. 

Syarikat MD yang layak boleh mendapat manfaat daripada pengurangan kadar cukai pendapatan korporat yang kompetitif ke atas pendapatan harta intelek (IP) dan pendapatan harta bukan intelek (Non-IP), serta Elaun Cukai Pelaburan (ITA) untuk aktiviti perkhidmatan yang berintensifkan modal. 

Struktur skim yang fleksibel ini bagi membolehkan syarikat menikmati insentif cukai berdasarkan komitmen yang ditetapkan, sekali gus memacu pertumbuhan dalam aktiviti bernilai tinggi, dan memberi ganjaran kepada prestasi. 



Skim ini menawarkan insentif cukai untuk syarikat yang layak dalam dua kategori, iaitu New Investment Incentive dan Expansion Incentive. Syarikat dalam kategori New Investment boleh menikmati Kadar Cukai Istimewa (RTR) sebanyak 0% pada pendapatan harta intelek (IP), dan 5% atau 10% bagi pendapatan harta bukan intelek (Non-IP) selama sepuluh tahun. 

Sementara itu, syarikat dalam kategori Expansion pula boleh menikmati RTR sebanyak 15% selama lima tahun. 

Sebagai alternatif, syarikat di bawah kedua-dua kategori boleh memilih ITA antara 30% hingga 100% bagi perbelanjaan modal untuk aktiviti yang layak dan boleh ditolak sehingga 100% daripada pendapatan berkanun selama lima tahun. 

“Insentif cukai MD ini adalah pencetus perubahan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital ASEAN,” kata Ts. Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC. 

“Sejajar dengan keperluan ekonomi semasa dan amalan terbaik antarabangsa, inisiatif ini akan menonjolkan komitmen MDEC untuk menerajui revolusi digital. 

"Dengan menarik bakat global dan pelaburan dalam sektor pertumbuhan tinggi, kami menyasarkan untuk mewujudkan ekosistem digital yang berkembang maju, menjana pekerjaan bernilai tinggi, meningkatkan aktiviti R&D, dan mengintegrasikan teknologi termaju di dalam negara. 

"Selaras dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Malaysia menjadi negara mesra pelabur dan berpandukan rangka kerja Ekonomi Madani, kami sedang memperbaiki proses untuk meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, meningkatkan kecekapan dalam memproses pelaburan digital, dan menghapuskan langkah-langkah yang merumitkan pelaksanaan pelaburan,” tambah Ts. Mahadhir. 



Membina kejayaan inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC), skim baharu insentif cukai MD ini memperkukuh komitmen negara untuk membangunkan juara teknologi tempatan dan menarik pelaburan digital bernilai tinggi. 

Sejak penubuhan MSC pada tahun 1996, bersama-sama dengan Bill of Guarantees yang disertakan, inisiatif itu telah menarik pelaburan berjumlah RM485 bilion dan mewujudkan lebih 223,000 pekerjaan bernilai tinggi setakat Disember 2022. 

Sehingga 30 April 2024, bilangan syarikat MD yang dianugerahkan telah melepasi 5,000, menekankan peranan penting inisiatif MD dalam memupuk inovasi digital merentasi pelbagai industri dan menyokong pelan transformasi yang digariskan dalam rangka kerja Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). 

Syarikat yang berminat dengan insentif cukai MD baharu boleh memohonnya sekarang. 

Butiran lanjut boleh didapati di laman web rasmi MDEC di https://mdec.my/malaysiadigital/tax-incentive. - KitaReporters/Kenyataan Media

10
7
0
10
0
You will be interested