Aduan & Netizen 15 Nov, 2019

BANTULAH SHAMSURIZAN!! PESAKIT SARAF, KULIT..

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
KEHIDUPAN dan aktiviti harian seseorang akan menjadi sukar jika terpaksa menghadapi masalah kesihatan terutama yang melibatkan penyakit-penyakit serius. Malahan akan menjadikan individu terlibat adakalanya memerlukan bantuan orang lain khususnya kalangan keluarga termasuklah suami, isteri dan anak-anak selain rakan-rakan karib yang prihatin. : KitaReporters.com

Shamsurizan terbaring lesu di rumahnya di Taman Seri Indah kerana menderita penyakit saraf, kulit dan hati yang dijangkiti kuman dan kurang hemogloben darah merah.


Keadaan inilah yang terpaksa dialami seorang bekas petugas di sebuah syarikat pengeluar minuman terkemuka negara di Kuala Lumpur.

Bagi Shamsurizan Abdul Rahim, 39, yang sudah lebih tiga bulan terlantar di rumahnya di Taman Seri Indah, Lestari Perdana, Seri Kembangan, Selangor kerana menghidap penyakit saraf dan kulit terpaksa memerlukan bantuan orang lain untuk bergerak ke sana sini khususnya anak-anak dan isteri.

Bagaimanapun untuk bergerak secara perlahan dan berhati-hati ketika berada di dalam rumah beliau masih boleh menggunakan tongkat sokongan.

Ayah kepada tiga orang anak yang masih bersekolah di Tahun 4, Tingkatan 1dan Tingkatan 2 di salah sebuah sekolah rendah dan menengah berhampiran taman berkenaan itu terpaksa menderita menanggung penyakit tersebut yang dikenal pasti bermula sejak 10 tahun lalu.

Shamsurizan Abdul Rahim banyak menghabiskan masanya dengan baring diatas katil.


Dalam kunjungan penulis ke rumah beliau melalui bantuan seorang rakan, Puan Ariati Mohd Salleh di taman tersebut pada petang Rabu (13/11/2019) lalu didapati beliau terbaring lesu di atas katil di dalam bilik.

Setelah diminta berada di ruang tamu melalui perantaraan anak bungsunya, beliau membenarkan kami masuk ke biliknya untuk bertanya khabar dan keadaan dirinya.

Beliau yang pada mulanya kurang ceria dan kelihatan tidak begitu bermaya serta bercakap agak perlahan bila dinyatakan tujuan kedatangan kami, dia mula bercerita satu persatu mengenai penyakit yang dihidapinya.   

Menceritakan permulaan penyakit yang dihidapi pada peringkat permulaan ialah sakit pada bahagian kaki sewaktu masih berkerja di sebuah syarikat pengeluar minuman terkemuka di Malaysia yang terletak di Kuala Lumpur kira-kira 10 tahun yang lalu.

Berikutan sakit yang teramat sangat dihadapinya, beliau terpaksa mengambil keputusan  berhenti kerja untuk menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang dan Hospital Serdang.

Hasil rawatan rapi yang beliau jalani, Shamsurizan akhirnya sembuh daripada sakit pada bahagian kaki dan kembali bekerja di sebuah pusat beli belah di Balakong Jaya, Selangor.

Bagaimanapun dia hanya sempat bekerja di pusat beli belah itu selama dua tahun dan terpaksa berhenti kerana penyakit yang dihidapi sebelum ini kembali menyerang.

Dengan keadaan jari-jari tangannya yang bengkak Shamsurizan tidak boleh memegang apa-apa dan untuk minum atau makan beliau memerlukan bantuan orang lain.


Pada pertemuan singkat itu, penulis dan rakan tidak dapat menemui isterinya yang banyak membantu beliau dari segi kewangan untuk urusan perubatan kerana kembali bertugas setelah lama bercuti untuk membantu menguruskan rawatan perubatannya.

Shamsurizan selain menjalani rawatan perubatan di hospital beliau juga tidak ketinggalan mendapatkan rawatan tradisonal dan rawatan perubatan Islam di beberapa tempat antaranya termasuklah di Kuantan, Pahang; di Ampang ,Selangor; dan beberapa tempat lainnya.

Kerana tidak berputus asa menjalani rawatan sama ada dihospital mahupun melalui rawatan tradisonal  dan perubatan Islam penyakit yang dihidapinya beberapa kali beransur sembuh dan kembali pulih.

Berikutan keadaan itu, beliau kembali bekerja dengan sebuah syarikat kontraktor di Kuala Lumpur, bagaimanapun setelah lebih kurang setahun bekerja penyakit sakit kakinya yang pernah dialami sebelum ini kembali semula, kakinya menjadi bengkak hingga tidak boleh memakai kasut keselamatan (safety boots).

Beliau akhirnya membuat keputusan mengambil cuti tanpa gaji dan kemudiannya berhenti kerja untuk meneruskan rawatan hingga kekampung halamannya di Kuantan, Pahang.

Beginilah keadaan perut dan sebahagian dadanya yang terkena penyakit kulit . Jika kulit tersebut dalam keadaan kering suhu panasnya agak tinggi.


Selepas tiga tahun berhenti dan tidak bekerja hasil pemeriksaan doktor di Hospital Serdang mendapati beliau kini menghadapi masalah ada jangkitan kuman pada hati dan kurang hemogloben darah merah.

Kerana masalah ini, beliau selain menghadapi sakit saraf juga terpaksa menanggung derita sakit kulit di mana keadaan kulit dibahagian perut dan betis bertompok-tompok dan merekah.

Selain itu, jari tangan bahagian kanannya berkeadaan bengkak begitu juga dengan kedua-dua belah jari kakinya.

Katanya, sakit saraf yang dialaminya agak sakit dan berdenyut sewaktu tidur hingga sukar untuk melelapkan mata, manakala sakit kulit pula berkeadaan panas dan terpaksa selalu disapu dengan tuala basah untuk ia sentiasa sejuk. Jika ia kering suhu panasnya agak tinggi.

Dalam rawatan perubatan tradisonal beliau ada diberitahu bahawa penyakit yang terpaksa ditanggungnya merupakan antara angkara perbuatan orang tertentu dengan mengenakan santau angin.

Keadaan fizikal Shamsurizan merupakan salah seorang pemain badminton dan ping pong yang aktif sebelum ini susut 20 kilogram menjadi 70 kilogram sekarang berbanding 90 kilogram semasa beliau sihat.

Kini keriuhan dan gurau senda di gelanggang badminton Dewan Serbaguna Taman Seri Indah dan gelanggang ping pong Lestari Perdana 8 tidak lagi kedengaran suara Shamsurizan.

Begitu juga gurau jenaka bersama rakan-rakan di kedai kopi mahupun bersama penduduk setempat sudah tidak kedengaran.

Tongkat sokongan sentiasa berada disisi katil tempat Shamsurizan baring bagi memudahkannya bangun dan berjalan dengan pelahan didalam rumah.


Penulis diberitahu, pihak Persatuan Penduduk dan Ahli Jawatankuasa Surau Al Munir, Taman Seri Indah sedang dalam proses mengumpul dana untuk sumbangan kewangan dan barangan keperluan harian kepada beliau dan keluarga.

Sebelum ini, isteri beliau juga telah memohon bantuan dari Pusat Zakat Daerah Petaling di Pejabat Cawangannya di Masjid Al Mutaqqin Taman Equine.

Dalam konteks ini, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Pejabat Ahli Parlimen Puchong dan Ahli Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 19 dan pihak sekolah di mana tiga anaknya bersekolah perlu memberi perhatian dengan menghulurkan bantuan sama ada rawatan kesihatan mahupun bantuan barangan keperluan harian serta bantuan kewangan bulanan.

Sehubungan dengan ini, jika ada mana-mana pihak yang bersimpati dan ingin menyalurkan bantuan perubatan, kewangan mahupun barangan keperluan harian bolehlah menghubungi Shamsurizan melalui talian 017-2374850 atau boleh datang sendiri ke alamat No. 0208, Blok 26, Pangsapuri Seri Indah, Lestari Perdana 43300 Seri Kembangan,Selangor.  - KitaReporters.com

Salah seorang tetamu yang menziarahi beliau semasa penulis berkunjung ke rumah beliau di Taman Seri Indah bertanyakan mengenai penyakit yang dihidapinya.


1
0
14
1
0
You will be interested

PELAJAR SERI PUTERI MENANG DEBAT DI AMERIKA

Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya berjaya meraih 13 pingat emas dan 15 perak pada Tournament Of Champions World Scholar's (TOC) 2019 di Universiti Yale, New Haven, Connecticut, Amerika Syarikat

Samadi Ahmad in Aduan & Netizen 5 years ago

MAT MOTOR BANTU TIGA BERADIK YATIM PIATU

Gabungan Gagasan Pasukan Permotoran Bersatu Kelantan (GPPBK) Kota Bharu membuat kutipan derma kilat dan berkonvoi ke rumah anak-anak yatim itu di Kampung Mentara Lama, Gua Musang, Kelantan.
Kartini Mohd Noor in Aduan & Netizen 5 years ago

KERANA TAKWA, YAYASAN TAQWA BANTU SEMUA

Seramai 400 orang murid dan pelajar berbilang kaum dari Parlimen Temerloh menerima sumbangan kelengkapan persekolahan pada Program Jom Ke Sekolah 2020 dari Yayasan Taqwa
Rashid Rahman in Aduan & Netizen 5 years ago

TERBAIKLAH IRM! BERUSAHA CERIAKAN PELAJAR

Objektif program tahunan "Cheer to School" IRM bagi membantu meringankan beban golongan rentan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan
Editor 1 in Aduan & Netizen 5 years ago