Masyarakat 28 Sep, 2019

JMB LESTARI PERDANA 7 PERLUKAN KERJASAMA KOMUNITI

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
UNTUK menjamin setiap perkhidmatan yang dijalankan berjaya dan mampu memberi manfaat kepada penduduk, sesebuah badan pengurusan kawasan perumahan memerlukan komitmen serta toleransi daripada warganya.

Para penduduk yang tinggal di Apartment dan Kedai Seksyen 7, Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor perlu sentiasa bekerjasama dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB) bagi menjaga kawasan kediaman itu daripada pelbagai kegiatan kurang sihat. 


Jika keadaan ini wujud pelbagai masalah yang melibatkan penduduk termasuk soal kebersihan, sampah sarap, kejiranan, perpaduan kalangan komuniti, jenayah dan sebagainya mampu ditangani dengan baik lagi berkesan.

 

Selain itu, pihak pengurusan juga berupaya melaksanakan khidmat dengan berkesan kepada penduduk dalam komuniti yang diselia dan jika berlaku suatu di luar jangka mampu diatasi segera melalui kerjasama semua.

Bagaimanapun apa yang sebenarnya berlaku, realitinya badan-badan pengurusan berkenaan banyak menghadapi masalah yang agak sukar diatasi berpunca daripada sikap sebahagian warganya yang enggan bekerjasama dalam pelbagai perkara dan isu semasa.

Malahan berikutan keadaan itu ada antara badan pengurusan yang tersasar dalam melaksanakan perkhidmatan-perkhidmatan tertentu untuk kemudahan serta keselesaan penduduk.

Keadaan saperti ini turut dialami Badan Pengurusan Bersama (JMB) Apartment dan Kedai, Seksyen 7 Lestari Perdana (LP7), Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor yang terpaksa menghadapi kesulitan dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduknya.

Pejabat Badan Pengurusan Bersama (JMB) Apartment dan Kedai  Seksyen 7 Lestari Perdana yang terletak di Tingkat bawah Blok C di Jalan LP 7/2, Seksyen 7, Lestari Perdana beroperasi setiap hari kecuali cuti hujung minggu atau cuti umum. 


Terbaru JMB berkenaan terpaksa mengeluarkan notis peringatan kali kelima antara tahun 2015 hingga 2019 mengenai larangan memelihara dan menyimpan haiwan di kawasan tadbirannya berikutan banyak haiwan ternakan saperti kucing, anjing, ayam dan burung dipelhara oleh warga-warga tertentu hingga menimbulkan implikasi kurang menyenangkan kepada penduduk lainnya.

Notis peringatan larangan di bawah Perkara 14 Undang Undang Kecil di Kawasan Perumahan Berstrata (bertingkat) menetapkan bahawa tidak dibenarkan sesiapa menyimpan, memelihara dan membiarkan haiwan  berada di mana-mana premis di dalam kawasan tadbiran JMB.

Kucing merupakan antara masalah yang menjadi igauan dalam kalangan penduduk yang tinggal di Apartment dan Kedai Seksyen 7 Lestari Perdana. Enam gambar yang diambil di sekitar kawasan berkenaan.


Jika didapati ada dalam kalangan penduduk yang menyimpan atau memelihara haiwan-haiwan tertentu dan boleh menimbulkan ketidakselesaan mahupun kacau ganggu penduduk lain di samping boleh mendatangkan bahaya kepada keselamatan mahupun kesihatan, mereka boleh dikenakan denda RM200 oleh JMB.

Penduduk boleh juga dihukum denda sehingga RM2,000 oleh Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), yang bertanggungjawab terhadap kawasan perumahan ini.

Semua kos berkaitan penangkapan haiwan berkenaan dan caj-caj lain akan dikenakan kepada pemilik.

Bagi Seksyen 21 Akta Pemansuh Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan 2000) menyatakan mana-mana pihak atau individu yang menghalang penjawat awam menjalankan tugas boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu,melalui notis yang dikeluarkan untuk kali pertama pada 3 Julai 2015, kedua pada 22 Januari 2016, edaran ketiga pada 22 Julai 2017, keempat pada 4 Januari 2018 dan terbaru pada 6 September 2019, pihak JMB berharap penduduk mematuhi  arahan serta peraturan ditetapkan bagi mengelakkan tindakan denda mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa. 

Sampah sisa sebuah bengkel perabot dibiarkan di luar tong sampah tanpa dimasukkan ke dalam bekas khas, sekali gus mencacatkan pemandangan.


JMB juga memberi tempoh 14 hari supaya para penduduk memastikan semua jenis haiwan dan serangga pembawa penyakit tidak berada dalam premis kediaman, harta bersama dan bangunan di sekitar taman perumahan tersebut.

Pengerusinya, Mohd.Razali Sayuti semasa ditemui menyatakan pihaknya agak buntu untuk menyelesaikan masalah ini yang sudah berlarutan sejak sekian lama, bagaimanapun cuba berusaha mencari formula berkesan mengatasinya dengan kerjasama semua penduduk.

Walaupun di hadapan tong sampah, namun sampah yang dibuang dibiarkan berserakan tanpa dikemaskan dengan baik.


Antaranya dengan cara menangkap semua haiwan berkenaan dan dihantar ke suatu tempat lain yang sesuai.

Untuk ini, JMB akan cuba mendapatkan maklumat daripada Jabatan Haiwan ke mana binatang terlibat khususnya kucing hendak dihantar supaya tindakan yang dilakukan tidak menganiaya haiwan berkenaan.

 

Beliau berharap penduduk dapat bekerjasama mematuhi peraturan yang bertujuan memberi faedah kepada semua. Lebih-lebih lagi pemeliharaan haiwan tidak sesuai di kawasan rumah bertingkat.

Selain itu, binatang peliharaan yang menjadi rungutan sebahagian besar komuniti, katanya penduduk juga perlu memberikan kerjasama mengenai isu kebersihan dan sampah sarap.

Memang JMB menyediakan petugas untuk kerja-kerja pembersihan, bagaimanapun jika adanya kerjasama dan respons semua pihak adalah lebih baik.

Menurutnya, sebagai warga penduduk tidak kira yang memiliki rumah sendiri atau menyewa sepatutnya sama-sama menjaga kebersihan dan keindahan kawasan kediaman dengan penuh tanggungjawab dan bukan membiarkan dengan pelbagai isu negatif.

Mohd. Razali Sayuti (kiri) menerima sumbangan daripada Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 7 Lestari Perdana, Hairi Eberahim pada satu majlis yang diadakan baru-baru ini.


Sebagai penduduk kita kenalah sama-sama berganding bahu menjaga kebersihan kawasan dan janganlah hanya menyerahkan kepada pihak tertentu. 

Malahan dengan membantu petugas kebersihan memasukkan sampah sarap kedalam plastik sampah sebelum meletakkan ke dalam tong yang disediakan supaya ia kemas dan bersih bukan dibiarkan bertaburan.

Dalam soal isu jenayah seperti kes curi, ragut, pecah rumah, dadah, pengedaran air ketum, hidu gam  dan beberapa perkara negatif lainnya sudah berkurangan akhir-akhir ini setelah pihak JMB memasang litar kamera tertutup (CCTV) pertengahan tahun ini.

Malahan melalui CCTV juga dapat dikesan mereka yang merosakkan pintu masuk utama blok-blok kediaman yang dipasang dengan kemudahan kad pengimbas.

Daripada maklumat yang diperolehi, pihak yang menimbulkan masalah mengenai isu kebersihan, sampah sarap dan kerosakkan pintu yang ada kad pengimbas kebanyakannya oleh rakyat luar negara terutama rakyat Bangladesh dan Indonesia.

Blok B Apartment dan Kedai Seksyen 7 Lestari Perdana mempunyai banyak masalah antaranya kerosakan dan kebocoran atap, bangunannya agak mendap dan sampah sarap tidak dikemas dengan baik bila diletakkan berhampiran tong sampah.


Mengenai rungutan penduduk berkaitan kereta-kereta rosak yang tersadai hingga menimbulkan masalah seperti pembiakan nyamuk, tikus dan mengurangkan petak parkir untuk penduduk meletakkan kenderaan, Mohd.Razali tidak dapat berbuat apa-apa kerana MPSJ ada memberitahu buat masa ini depo pengumpulan kereta rosak atau buruk yang tersadai telah penuh dan terpaksa menunggu tempat baru yang sedang diusahakan.

Beliau memberitahu, JMB Apartment dan Kedai Seksyen 7 Lestari Perdana sedang dalam proses memohon peruntukan mengecat 10 blok bangunan kediaman, pejabat dan kedai melalui bajet Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam masa terdekat memandangkan sejak mula diduduki pada tahun 2005 belum ada aktiviti mengecat kecuali secara persendirian oleh tuan punya premis masing-masing.

"JMB juga terpaksa mengeluarkan jumlah peruntukan  yang agak besar untuk kerja-kerja baik pulih bangunan yang retak terutama di Blok B yang keadaannya dikatakan mendap. Boleh dikatakan setiap blok ada berlaku keretakkan pada bahagian dinding," ujarnya.

Malahan pihak pengurusan juga terpaksa menghadapi masalah kerosakan dan kebocoran di bahagian bumbung dengan menggantikan atap yang bocor atau rosak.

Katanya, keadaan ini terjadi kerana blok kediaman di LP7 ini merupakan kawasan laluan angin. Kadang-kadang ada masanya tiupan angin agak kencang.

Kelestarian kawasan kediaman di Apartment dan Kedai Seksyen 7 Lestari Perdana perlu sentiasa dijaga  dengan baik sama ada oleh JMB atau penduduknya sendiri.


Mohd.Razali dalam pertemuan itu menyatakan pihak JMB sangat berharap semua penduduk dapat memberi komitmen dan kerjasama penuh bagi menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dalam usaha menjadikan taman ini sebagai sebuah kawasan kediaman yang lestari dan bersih untuk keselesaan warganya.

Apartmen dan Kedai Seksyen 7 Lestari Perdana mengandungi 700 unit premis kediaman, kedai dan pejabat menempatkan kira-kira 900 orang penduduk tempatan dan warga asing termasuk dari Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Mynmar, India, Vietnam  dan lain-lain.

Kawasan perumahan ini juga merupakan antara kawasan kediaman yang menjadi tumpuan ramai kerana kadar sewa premisnya masih di paras minimum sekitar RM550 ke RM790 bagi unit kediaman, manakala antara RM1,000.00 ke RM2,000.00 bagi premis kedai dan pejabat. 

Kadar tersebut bergantung kepada keluasan premis berkenaan.

Adalah menjadi harapan kawasan kediaman ini terus diterajui pengurusan yang bertanggungjawab dalam menjaga kepentingan mahupun keselesaan penduduknya di samping mendapat sokongan serta kerjasama erat warganya dengan sentiasa berganding bahu dalam menjaga  kelestarian kawasan. 

Juga menolak anasir-anasir tidak sihat yang membawa kepada perpecahan perpaduan telah terjalin sekian lama juga membenteras aktiviti negatif yang cuba disemai oleh pihak-pihak tertentu khususnya dibawa oleh mereka dari luar.  

Bahagian lorong belakang dipenuhi dengan berbagai bahan buangan yang boleh menjadi penghalang untuk pihak bomba jika berlaku sesuatu yang tidak diingini saperti kebakaran.


Masalah kereta dan motosikal rosak yang dibiarkan tanpa suatu tindakan pemiliknya menyulitkan pihak pengurusan


Pemilik motosikal terpaksa menjadikan koridor kaki lima premis kedai sebagai tempat parkir.

0
0
0
0
0
You will be interested

AYAH! INI MOTOSIKAL BAHARU UNTUK AYAH..

Muhammad Faez Mohd Razali menghadiahkan sebuah motosikal baharu sebagai kejutan sempena hari jadi ayahnya, Mohd Razali Abdul Rahman baru-baru ini

Samadi Ahmad in Masyarakat 4 years ago

KERANA TAKWA, YAYASAN TAQWA BANTU SEMUA

Seramai 400 orang murid dan pelajar berbilang kaum dari Parlimen Temerloh menerima sumbangan kelengkapan persekolahan pada Program Jom Ke Sekolah 2020 dari Yayasan Taqwa
Rashid Rahman in Masyarakat 4 years ago

TERBAIKLAH IRM! BERUSAHA CERIAKAN PELAJAR

Objektif program tahunan "Cheer to School" IRM bagi membantu meringankan beban golongan rentan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan
Editor 1 in Masyarakat 4 years ago

PERTEMUAN 15 TAHUN DI AWAN BIRU BERULANG

SEORANG lelaki tidak menyangka pramugari yang pernah ditemui di dalam pesawat 15 tahun lalu akhirnya menjadi rakan sekerja dan mentor kepadanya
Yati Yazid in Masyarakat 4 years ago

PELAJAR SERI PUTERI MENANG DEBAT DI AMERIKA

Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya berjaya meraih 13 pingat emas dan 15 perak pada Tournament Of Champions World Scholar's (TOC) 2019 di Universiti Yale, New Haven, Connecticut, Amerika Syarikat
Samadi Ahmad in Masyarakat 4 years ago