Aduan & Netizen 30 Aug, 2019

KEMUNCULAN SEMULA BAS MINI: DIRINDUI ATAU DIGERUNI?

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

 

BAS mini kembali lagi. Selepas 21 tahun ‘ditidurkan’, ia bangun semula untuk mewarnai hiruk pikuk pengangkutan awam di ibu negara. Perkhidmatan percubaan bermula 1 September 2019, dikendalikan oleh Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus).

 

Bas mini mewarnai jalan-jalan di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya selama 23 tahun. 


Rapid Bus, pengendali perkhidmatan bas Rapid KL, melaksanakan khidmat percubaan ini hingga 29 November pada Laluan T300, dari Bukit Indah ke Ampang Point, melalui Jalan Rasmi. Tiga bas mini akan digunakan, setiap satu boleh memuatkan 30 penumpang.

Adakah kembalinya bas mini ini sebagai ‘pengubat rindu’ atau adakah ia permulaan kepada kembalinya episod ‘menggerunkan’ ketika bas mini menjadi raja di jalan raya di Kuala Lumpur selama 23 tahun?

Mula beroperasi pada September 1975, khidmat bas mini merangkumi 60 laluan di Kuala Lumpur  dan Petaling Jaya. Tiga syarikat utama bas mini ketika itu ialah Syarikat Kerjasama Pengaman (M) Bhd;  Bas Mini Wilayah dan Konsortium Pengusaha Bas Mini Sdn Bhd.

Khidmat bas mini, yang disifatkan oleh sebahagian penumpang sebagai ‘ganas’,  ditamatkan pada Julai 1998. Antara puncanya kerana beberapa masalah berkaitan perkhidmatan bas berkenaan.

Selain itu, ia bertujuan menyatukan perkhidmatan bas di ibu negara. Maka, muncullah perkhidmatan bas Intrakota yang kemudian diambil alih oleh RapidKL pada 2005.

Jumlah bas mini yang kian bertambah menjadikan masalah kesesakan ibu negara semakin meruncing. Namun yang lebih menakutkan ialah ramai penumpang menganggap ia sebagai perkhidmatan ‘ganas’ lantaran sikap pemandu yang sering  mengganggu kelancaran aliran trafik melalui gaya pemanduan menakutkan.

Bas mini sering dipandu laju dengan mencelah-celah sesuka hati di antara kenderaan lain untuk segera sampai ke destinasi. Malah pemandu sering memesong kaluar dari laluan yang diperuntukkan bertujuan mengejar masa dan mengatasi saingan daripada syarikat bas mini lain.

Pemandu sering melanggar peraturan jalan raya dan mengabaikan keselamatan untuk membolehkan mereka memperoleh lebih banyak ‘trip’ yang bererti pendapatan lebih dan komisyen lebih. Mereka tidak mempunyai jadual perjalanan. Yang penting bergerak sepantas mungkin dan memperoleh duit lebih.

Jumlah penumpang pula tidak dikawal. Misalnya bas yang boleh menampung 30 penumpang  diisi melebih had sehinggakan bas bagai tidak berdaya memikul beban berlebihan. Selagi boleh, penumpang dibenarkan naik sehingga keadaan di dalam bas sendat, menyebabkan ada penumpang yang  berdiri di atas tangga. Jelas keselamatan penumpang diabaikan.

Walau pun cara pemanduan ‘ganas’ dengan penumpang  yang bersusun hingga sukar bergerak, bas mini menjadi pilihan ramai pada masa itu. Ini kerana tambangnya murah dan penumpang merasakan lebih cepat sampai ke destinasi dengan bantuan pemanduan ‘ganas’ tersebut.

Namun mengabaikan keselamatan penumpang khasnya, dan para pengguna jalan raya yang lain, adalah sangat tidak wajar walau apa jua matlamatnya.   

Senario inilah yang kembali bermain di ingatan dengan kembalinya bas mini. Sekalipun kembalinya  hanya satu percubaan, keberangkalian untuk ia kembali beroperasi seperti dahulu memang  ada.

Matlamat tempoh percubaan bas mini  ini adalah untuk membolehkan Rapid Bus menguji kesesuaian penggunaan bas mini di kawasan kejiranan yang mempunyai jalan sempit. Pandangan penumpang dalam tempoh percubaan akan dijadikan panduan  untuk membuat keputusan seterusnya.

Seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pagawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij, jika percubaan ini mendapat sambutan menggalakkan, perkhidmatan akan diteruskan bukan sahaja di Laluan T300 tetapi juga dikembangkan ke laluan lain.

Dalam tempoh percubaan ini, tiga buah bas yang setiap satunya boleh memuatkan 31 orang akan beroperasi pada kekerapan setiap 15 minit pada waktu puncak dan 25 minit pada waktu bukan puncak. Perkhidmatan bermula pukul 5.30 pagi hingga 11.40 malam.

BAS MINI pilihan ramai di era kegemilangannya.


Kita memahami keperluan pengangkutan awam yang efisen dan lancar. Segala usaha untuk mempelbagai pengangkutan awam demi kemudahan pengguna sememangnya dihargai, termasuk usaha memperkenalkan kembali bas mini.  

Namun jika bas mini hendak dibenarkan beroperasi semula, terutama dalam skala besar, perlulah dibuat kajian teliti dengan mengambil kira kesesakan jalan yang tentunya lebih teruk berbanding dengan ketika bas mini mula-mula diperkenalkan dahulu. Wajarkah kesesakan ini ditambah dengan kehadiran bas mini?

Apakah pilihan yang boleh dilakukan bagi mengatasi kesesakan ini dan pada masa yang sama memudahkan pergerakan pengangkutan awam serta para pengguna jalan raya lain?

Dahulu pada era Intrakota, kerajaan bersetuju menyediakan laluan khas untuk bas. Namun ternyata ia tidak begitu efektif kerana sikap tidak peduli para pengguna jalan raya lain yang turut menggunakan laluan ini, khususnya ketika waktu kesesakan. Matlamat laluan khas itu tidak tercapai sepenuhnya. Bolehkah laluan khas ini dikembalikan?

Bas mini yang hendak digunakan mestilah dalam keadaan baik, tidak uzur seperti kebanyakan bas mini era dahulu. Penumpang mesti selesa menaikinya.

Pemandu mestilah sopan dan tidak ‘ganas’ dan memauhi peraturan jalan raya. Jangan ambil penumpang melebihi had serta beradab ketika memandu agar tidak membahayakan penumpang dan pengguna jalan raya. Mereka yang ingkar hendaklah diambil tindakan segera.

Justeru jika nanti diputuskan bas mini akan mewarnai semula jalan-jalan di ibu negara, pastikan kehadirannya untuk menambah baik sistem pengangkutan awam, bukan menambah kecelaruan.

5
0
0
0
0
You will be interested

PELAJAR SERI PUTERI MENANG DEBAT DI AMERIKA

Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya berjaya meraih 13 pingat emas dan 15 perak pada Tournament Of Champions World Scholar's (TOC) 2019 di Universiti Yale, New Haven, Connecticut, Amerika Syarikat

Samadi Ahmad in Aduan & Netizen 5 years ago

MAT MOTOR BANTU TIGA BERADIK YATIM PIATU

Gabungan Gagasan Pasukan Permotoran Bersatu Kelantan (GPPBK) Kota Bharu membuat kutipan derma kilat dan berkonvoi ke rumah anak-anak yatim itu di Kampung Mentara Lama, Gua Musang, Kelantan.
Kartini Mohd Noor in Aduan & Netizen 5 years ago

KERANA TAKWA, YAYASAN TAQWA BANTU SEMUA

Seramai 400 orang murid dan pelajar berbilang kaum dari Parlimen Temerloh menerima sumbangan kelengkapan persekolahan pada Program Jom Ke Sekolah 2020 dari Yayasan Taqwa
Rashid Rahman in Aduan & Netizen 5 years ago

TERBAIKLAH IRM! BERUSAHA CERIAKAN PELAJAR

Objektif program tahunan "Cheer to School" IRM bagi membantu meringankan beban golongan rentan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan
Editor 1 in Aduan & Netizen 5 years ago