“Kau asal mana?” tanya Khairul Aiman Hamdan, orang pertama yang membongkar berita Muhammad Aifq Ismail sehingga tular. “Subang bang.”“Jangan kelentong la, English ko pun bunyi Kelantan. Bau budu kau kuat la,” kata Khairul Aiman kepada Muhammad Afiq.

Gambar-gambar dari © FB Khairul Aiman Hamdan

Turut berjaya bawa ibu bapa saksi majlis graduasi di UK selepas berkerja sebagai tukang cuci.
Ingat lagi kepada anak kelahiran Kuala Krai, Kelantan yang juga graduan University Of Essex United Kingdom (UK) itu yang mana kisahnya tular baru-baru ini selepas terpaksa berkerja sambilan sebagai tukang cuci hanya kerana mahu membawa ibu bapanya untuk menyaksikan dia menerima segulung ijazah?
Kisah graduan Jurusan Perakaunan dan Kewangan itu bukan hanya mendapat perhatian rakyat Malaysia tetapi ia berjaya menjentik hati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah sehingga baginda menzahirkan pujian kepada Muhammad Afiq.
Namun perjalanan kejayaan Muhammad Afiq sehingga ditawarkan bekerja di salah sebuah firma perakaunan terbesar di UK (Big Four), sebenarnya penuh liku dan berwarna warni.
Menceritakan kisahnya kepada Humans Of Kuala Lumpur, Muhammad Afiq berkata, dia pernah dipinggirkan sebuah sekolah agama berasrama penuh selepas gagal mencapai keputusan minimum yang dimahukan pada Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).
“Sekolah berkenaan mahu pelajarnya mencapai keputusan minimum 6A dalam PMR namun saya hanya mendapat 4A, 1B, 1C di mana B itu adalah bahasa Arab.
“Bukan murah untuk berada di sekolah tu, baba (ayah) terpaksa bayar RM300 sebulan untuk saya mengikuti pengajian di situ tapi apakan daya, keputusan itu tidak berpihak kepada saya,” katanya.
Menurut Muhammad Afiq, dia bersama-sama lima pelajar lain yang tidak mendapat keputusan 6A terpaksa keluar dari sekolah berkenaan dan mencari sekolah lain untuk meneruskan pengajian.

“Sebulan jugak la saya tak sekolah. Umi (ibu) yang agak kesal dengan saya terpaksa turun naik Jabatan Pendidikan Negeri dan berjumpa dengan pengarah untuk masukkan saya ke sekolah lain dan akhirnya saya dapat juga dan ditempatkan dalam kelas perakaunan.
“Bermula dari hari tu, saya berazam untuk menjadi yang terbaik. Saya tak boleh lagi leka kerana pada saya diletakkan harapan untuk membantu keluarga. Abang saya seorang OKU (orang kurang upaya) dan hanya saya yang dapat membantu ibu dan ayah,” katanya lagi.
Dari saat itu, Muhgammad Afiq berusaha tanpa menoleh ke belakang dan akhirnya, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan di mana dia berjaya memperoleh 10A, 1B dan turut ditawarkan biasiswa JPA untuk menyambung pelajar ke UK.
Graduan berusia 23 tahun itu memberitahu, walaupun gembira dengan tawaran berkenaan namun dia agak risau dengan perbelanjaan yang akan dikeluarkan babanya.
“Baba melakukan banyak kerja kampung untuk menampung perbelanjaan keluarga dan pendidikan saya. Apa yang tidak pernah dibuatnya. Dari berkebun kelapa sawit,memerlihara lembu dan mengembala kambing malah ada satu ketika baba terpaksa menjual ikan, meniaga di kedai runcit dan menjadi orang tengah membeli getah.
“Jadi bila saya kata tidak mahu meneruskan pelajaran ke UK, dia marah. Dia suruh teruskan. Katanya duit boleh cari. Peluang yang ada bukan datang setiap hari,” katanya.
Atas dasar itulah, saya tekad dan berazam untuk berjaya dan mendapatkan keputusan cemerlang di universiti.
Bercerita mengenai bekerja separuh masa sebagai tukang cuci, Muhammad Afiq berkata, ia tidak menimbulkan masalah baginya kerana dia sudah biasa dengan kerja-kerja tambahan.

Malah katanya, sebelum bergelar mahasiswa pun dia sudah ringan tulang membantu keluarga mendapatkan wang tambahan dengan bekerja memotong rumput, memotong buah kelapa sawit, membetulkan pagar kebun termasuk menggembala kambing.
“Saya dapat pendapatan RM1,500 untuk semua yang saya kerja dan wang berkenaan saya serahkan kepada umi untuk menampung perbelanjaan harian,” katanya.
Semasa di UK, dia perlu bangkit seawal 4 pagi untuk bekerja dengan menaiki basikal dan sebelah petang menghadiri kelas.
“Pada saya lebih mudah menjadi seorang tukang cuci kerana lantai, kerusi, meja, jamban tidak secerewet pelanggan berbanding jika dia bekerja sebagai seorang pelayan restoran. Malah, semasa di kampung pun saya dah biasa kerja di bawah terik matahari, jadi kerja sebagai pencuci ni tak de lah benda sangat,” katanya.

Menurut Muhammad Afiq, semua itu dilakukan hanya kerana mahu membawa ibunya, Norma Abdullah, 52, dan bapanya, Ismail Abbas, 56, melihat sendiri majlis graduasi yang diadakan di UK.
Ketika bercakap kepada akhbar Kosmo! Baru-baru ini, Muhammad Aifq mendedahkan bahawa baba menghidapi masalah saraf dan penyakit lain sehingga menyebabkan keluarganya mengalami masalah kewangan sewaktu dia berada pada tahun kedua pengajian.
Sejak dari itulah detik permulaan dia menjadi seorang pencuci selama tiga tahun dan bekerja selama 20 jam seminggu dengan 5-6 jam sehari dan berjaya mendapat upah sebanyak £7.50 (RM40) sejam.
“Kawan saya yang memperkenalkan kerja itu kepada saya pun tak tahan. Dua hari kerja dah give-up. Saya tak layan semua tu sehinggakan penyelia saya memberi peluang kepada saya untuk bekerja dalam waktu yang lebih fleksibel.
“Untuk hilangkan stres, kadang-kadang saya guna batang mop sebagai mikrofon sambil acah-acah buat macam Awie nyanyi lagu ‘Tragedi Oktrober’,” katanya kepada Humans of Kuala Lumpur.
Akhirnya, selepas berjimat cermat, Muhammad Afiq mampu mengumpul £2,000 (RM10,304) bagi membolehkan ibu dan bapanya ke UK menyaksikan majlis graduasi di University of Essex.
Lebih manis, bukan hanya dia berjaya melengkapkan pengajian, tetapi Muhammad Afiq cemerlang dengan memperoleh Ijazah Kelas Pertama dengan kepujian dalam Jurusan Perakaunan dan Kewangan atas usaha yang dilakukannya.
Akhir kalam, Muhammad Afiq turut berhasrat untuk membawa ibu dan bapanya ke Mekah bagi menunaikan ibadah haji.
TAHNIAH MUHAMMAD AFIQ!


Gambar-gambar dari @ FB Khairul Aiman Hamdan