Masyarakat 25 Sep, 2019

WAJARKAH ISU PEMBANGUNAN DI PAYA JARAS DIPOLEMIKKAN?

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
PELAKSANAAN suatu projek pembangunan insfrastruktur bertujuan untuk kemudahan dan keselesaan rakyat.Tidak ada mana-mana pihak yang mahu menyusahkan penduduk mahupun masyarakat melalui proses penyediaan tersebut.

Dalam operasi penguatkuasaan secara bersepadu pihak Pejabat Daerah Dan Tanah (PDT) Petaling terpaksa merobohkan struktur binaan bagi memboleh Projek Tebatan Banjir Sungai Kedondong, Paya Jaras di Sungai Buluh, Selangor dapat diteruskan.


Dalam konteks ini semua yang terlibat perlu bekerjasama berganding bahu dalam apa juga keadaan untuk membolehkannya mencapai matlamat yang diharapkan, selain setiap rakyat memperolehi manfaatnya.

Janganlah ada pihak tertentu yang berkepentingan cuba meracuni fikiran rakyat dengan mengetepikan fakta-fakta tertentu semata-mata untuk kepentingan politik dan diri.

Isu terbaru yang panas dipolemikkan sekarang ialah mengenai tindakan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling meroboh struktur binaan di atas tanah rizab sungai di kawasan Sungai Kedondong, Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor bagi tujuan meneruskan Projek Tebatan Banjir yang tertangguh empat tahun lalu dalam usaha menyelamatkan lebih ramai penduduk di sekitar Paya Jaras, Kampung Kubu Gajah dan Merbau Sempak dalam Mukim Sungai Buloh daripada menghadapi masalah banjir.

Pelbagai pihak termasuk kalangan mereka yang lebih bersikap negatif membuat dakwaan tidak wajar tanpa melakukan kajian bahawa pelaksanaan projek berkenaan, yang sepatutnya sudah siap dilaksanakan, lebih banyak memberi faedah tidak ternilai kepada penduduk setempat.

Wajarkah isu ini dipolemikkan dan dipolitikkan semata-mata kerana suatu kepentingan tersendiri.

Pada sisi negatif, kita didedahkan oleh kalangan yang memutarbelitkan fakta dengan memberi gambaran seolah-olah tindakan meroboh struktur binaan di atas tanah rizab sungai di kawasan Sungai Kedondong ini sebagai mementingan satu pihak dan menganiaya pihak lain, terutama oleh mereka dari luar yang tidak memahami keadaan setempat yang sebenar.

Projek Tebatan Banjir Sungai Kedondong di Paya Jaras perlu disegerakan bagi mengatasi masalah banjir yang menimbulkan masalah kepada penduduk setempat.


Sewajarnya isu yang melibatkan hanya sebahagian kecil penduduk tidak dipolemikkan kerana projek yang 

dilaksanakan ini lebih memberi faedah dan kepentingan sebahagian besar masyarakat setempat. 

Lagipun melalui akta kanun tanah negara, mendiami kawasan rizab tanpa kebenaran merupakan suatu kesalahan.

Sebagai bekas Perdana Menteri yang juga pemimpin bertaraf tinggi, Datuk Seri Najib Razak dan rakan-rakan sepatutnya faham kenapa tindakan berkenaan terpaksa diambil oleh PDT Petaling . 

Sepatutnya sebagai seorang bekas pemimpin utama negara beliau dan kumpulan sewajarnya memberikan idea positif yang membina melalui satu formula berkesan dalam menyelesaikan isu berbangkit selain mempengaruhi kelompok kecil penduduk yang bertindak enggan bekerjasama dengan kerajaan untuk kebaikan demi kepentingan masyarakat yang lebih besar. 

Bukannya melemparkan dakwaan-dakwaan lebih bersifat menyalakan api keresahan dalam kalangan mereka tanpa memikirkan kepentingan lebih ramai masyarakat di sekitar Sungai Kedondong dan masa depan mereka sekiranya projek tebatan banjir itu dilanjutkan penangguhannya.

Penulis secara kebetulan pernah tinggal di Kampung Kubu Gajah bersebelahan dengan Kampung Paya Jaras sewaktu zaman remaja yang mana sebahagian kawasan berhampiran Sungai Kedondong di Paya Jaras diusahakan tanaman padi di mana keluarga penulis antara yang terlibat.

Sehubungan itu, penulis  sama merasakan sudah sampai masanya projek tebatan banjir yang menelan belanja RM5.93 juta dan dirancang sejak 2008 perlu disegerakan bagi mengelak dari berlakunya banjir terutama banjir kilat.

Untuk mengelakkan kekerapan berlaku banjir di Paya Jaras,Sungai Buloh, Selangor Projek Tebatan Banjir di Sungai Kedondong yang tertangguh perlu dipercepatkan.


Isu Projek Tebatan Banjir Sungai Kedondong, Paya Jaras menjadi polemik berikutan keengganan sebahagian kecil daripada 82 keluarga yang mendiami kawasan rizab sungai untuk berpindah dan menolak tawaran pemberian rumah di bawah Projek Rumah Selangorku yang dicadangkan antaranya di Rancangan Kediaman Rakyat (RKR) Bukit Rahman Putra, Sungai Bulo; Jade Hill, Kajang; Bandar Rimbayu dan Cendana Setia Alam di Shah Alam; serta Taman Puchong Utama, Puchong.

Disebabkan keengganan penduduk yang terlibat mengosongkan tempat tersebut dan berpindah, sudah tiga kali penangguhan penguatkuasaan dibuat. 

Pada 18 September lalu, PDT Petaling bersama PDRM, Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Majlia Bandaraya Shah Alam, Tenaga Nasional dan Air Selangor melakukan operasi bersepadu di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara iaitu menduduki secara tidak sah atas tanah kerajaan dengan merobohkan sebahagian struktur binaan kediaman di plot C dan D bagi membolehkan projek berkenaan dijalankan. 

Untuk plot A dan B kerja kerja meroboh akan dijalankan sebaik sahaja tempuh penangguhan berakhir.

Berikutan kegagalan  projek komponen utamanya sepanjang 1.15 kilometer, yang telah dimulakan pada 2 Disember 2015 dan sepatutnya disiapkan pada 31 Mei 2017 berpunca keengganan sebahagian daripada 82 keluarga terlibat berpindah, Kerajaan Selangor terpaksa menanggung beban membayar $2,125.02 setiap hari kepada kontraktor selain RM715,547.20 kerana bahan binaan yang rosak disebabkan terbiar.

Menurut Khairuddin Othman, Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan yang juga Ahli Dewan Negeri Kawasan Paya Jaras, masalah banjir terus menjadi igauan penduduk di Kampung  Paya Jaras Hulu, Kampung Paya Jaras Hilir, Kampung Paya Jaras Dalam dan Kampung Paya Tengah berikutan kelewatan projek diaksanakan.

Isu perobohan struktur kediaman yang dibina di kawasan rizab sungai dipolemikkan oleh pihak berkepentingan.


Malahan kerana kegagalan itu juga Setiausaha Kerajaan Selangor, Dato' Mohd Amin Ahmad Ahya telah dipanggil Ketua Audit Negara ke Putrajaya sebanyak dua kali. 

Kelewatan ini juga telah dimuatkan dalam laporan Ketua Audit tahun 2017 siri 2 dan dibentangkan di Parlimen pada 3 Disember tahun lalu.

Dr Siti Mariah Mahmud, Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga yang juga Ahli Dewan Negeri Seri Serdang, mahukan penduduk terlibat berfikiran positif dengan lebih mengutamakan kepentingan kelompok ramai.

Beliau kesal kerana beberapa fakta cuba disembunyikan pihak-pihak berkepentingan dalam usaha mereka  mensensaikan isu ini untuk mengheret rakyat menidakkan usaha kerajaan.

Menteri Besar, Amiruddin Saari dalam ulasannya berkata, sekitar kawasan Paya Jaras dilanda banjir beberapa kali dalam tempuh satu tahun setengah melibatkan ribuan penduduk.

Kekangan utama Projek Tebatan Banjir Sungai Kedondong, Paya Jaras berpunca dari penduduk yang mendiami plot C dan plot D enggan bekerjasama dan mengosongkan kawasan berkenaan.

Paya Jaras yang dikatakan diteroka pada sekitar awal tahun 1930-an mengambil nama daripada kedudukan berpaya dan banyak ditumbuhi pokok jaras dan kapasiti penduduknya kini mencecah 70,000 orang merupakan antara kawasan yang menjadi rebutan bagi mereka yang tinggal di bandar raya Kuala  Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang untuk memiliki hartanah di sini kerana kedudukannya yang agak hampir.

Diharapkan Paya Jaras tidak lagi menghadapi masalah banjir terlalu kerap yang menyulitkan penduduknya bila dalam tempuh terdekat Projek Tebatan Banjir Sungai Kedondong dapat diteruskan. 

Untuk kebaikan bersama penduduk yang terlibat perlulah sentiasa berfikiran positif dan terbuka menerima baik tawaran kerajaan sesuai dengan status sebagai rakyat Selangor.

Hindarkanlah daripada terpengaruh dengan hasutan pihak berkepentingan yang memainkan isu semata=mata bertujuan menafikan usaha kerajaan menaik taraf insfrastruktur dan landskap Sungai Kedondong yang bertujuan memberi keselesaan kepada masyarakat setempat.

0
0
0
0
0
You will be interested

AYAH! INI MOTOSIKAL BAHARU UNTUK AYAH..

Muhammad Faez Mohd Razali menghadiahkan sebuah motosikal baharu sebagai kejutan sempena hari jadi ayahnya, Mohd Razali Abdul Rahman baru-baru ini

Samadi Ahmad in Masyarakat 2 years ago

KERANA TAKWA, YAYASAN TAQWA BANTU SEMUA

Seramai 400 orang murid dan pelajar berbilang kaum dari Parlimen Temerloh menerima sumbangan kelengkapan persekolahan pada Program Jom Ke Sekolah 2020 dari Yayasan Taqwa
Mojo Pahang 1 in Masyarakat 2 years ago

TERBAIKLAH IRM! BERUSAHA CERIAKAN PELAJAR

Objektif program tahunan "Cheer to School" IRM bagi membantu meringankan beban golongan rentan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan
Editor Satu in Masyarakat 2 years ago

PERTEMUAN 15 TAHUN DI AWAN BIRU BERULANG

SEORANG lelaki tidak menyangka pramugari yang pernah ditemui di dalam pesawat 15 tahun lalu akhirnya menjadi rakan sekerja dan mentor kepadanya
Zuhayati Yazid in Masyarakat 2 years ago

PELAJAR SERI PUTERI MENANG DEBAT DI AMERIKA

Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya berjaya meraih 13 pingat emas dan 15 perak pada Tournament Of Champions World Scholar's (TOC) 2019 di Universiti Yale, New Haven, Connecticut, Amerika Syarikat
Samadi Ahmad in Masyarakat 2 years ago