ADUHAI.. Bukan sahaja mencuri duit tabung masjid dengan cara 'memancing' serta melarikan tabung masjid, malah bertindak melampau dengan kencing di dalam tabung masjid berkenaan.
Begitulah tindakan individu tidak bertanggungjawab yang menimbulkan keresahan kariah Masjid al-Falah di Perkampungan Sungai Isap 2 dekat Kuantan, Pahang yang terus berlarutan.
Susulan itu jemaah Masjid al-Falah yang terdiri daripada ahli-ahli Kelab Jembara mengambil inisiatif melancarkan Ops Pancing bermula Sabtu lalu (27/10/2019) bagi menangkap individu yang tidak bertanggungjawab itu.
Wakil kariah masjid, Abdul Rahim Othman berkata, pihaknya terpaksa mengambil inisiatif melancarkan Ops Pancing bagi membanteras kegiatan mencuri duit itu yang semakin menjadi-jadi.
"Sejak akhir-akhir ini kegiatan mencuri duit tabung masjid semakin menjadi-jadi apabila hampir tiap-tiap malam duit dicuri dan pada bulan lalu, tabung besi yang dikimpal pada tiang pintu utama pun dilarikan.
"Mereka juga bertindak mematahkan kamera litar tertutup dan lebih menyedihkan mereka turut kencing di dalam tabung masjid yang tidak mempunyai duit," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Abdul Rahim, susulan itu pihaknya telah berjaya mengesan tiga remaja memasuki masjid berkenaan pada pukul 12.55 tengah malam Rabu (30/10/2019) sebelum penduduk mengepung masjid berkenaan.
Katanya, dua remaja berusia 17 tahun telah berjaya ditangkap, manakala seorang lagi berjaya melarikan diri.
"Kedua-dua remaja berkenaan telah diserahkan kepada dua anggota polis untuk siasatan dan tindakan pihak polis berlandaskan kepada undang-undang negara," ujarnya.