INDUSTRI media yang kini dilihat semakin suram, baik media cetak, penyiaran, penerbitan dan percetakan (publishing), mewujudkan persoalan mengenai masa depan kursus-kursus dalam bidang-bidang berkenaan yang ditawarkan oleh instutusi pengajian tinggi tempatan (IPT) melalui program komunikasi massa.
FAKULTI Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM, Shah Alam.
Ini kerana industri yang suatu ketika dahulu menjadi wadah menampung lulusan dalam bidang berkenaan, kini dalam kepayahan untuk ‘survive’ dengan saingan hebat daripada media sosial dan media online.
Dalam kepayahan ini, mereka tidak mampu menampung tenaga kerja sedia ada sehingga melaksanakan Voluntary Separation Scheme (VSS). Usaha mengurangkan tenaga kerja dan mengecilkan operasi bertujuan menjimatkan perbelanjaan.
Justeru dalam keadaan begini sukar bagi para lulusan komunikasi massa berteduh mencari rezeki di bawah payung syarikat-syarikat media yang kini hidup dalam kepayahan, khususnya lulusan kewartawanan dan penyiaran.
Institusi pengajian tinggi pertama menawarkan kursus komunikasi massa di negara ini ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 1972 ketika UiTM masih Institut Teknologi Mara (ITM). Penubuhannya dengan kerjasama Universiti Ohio dan Universiti Boston, Amerika. Kebanyakan tenaga pengajar peringkat awal dipinjamkan daripada kedua-dua universiti ini.
Komunikasi massa kemudian menjadi kursus popular Beberapa universiti lain kemudian menurut jejak ITM. Antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM).
Para graduan dalam bidang ini juga tidak menghadapi masalah besar mendapatkan kerja terutama dalam syarikat media utama, terutama dalam bidang kewartawanan dan penyiaran, selain ada yang memasuki sektor awam.
Namun kini syarikat media utama seperti Utusan Melayu (M) Bhd dan Media Prima, yang sebelum ini banyak menyediakan peluang pekerjaan, semakin mengecilkan operasi untuk mengurangkan kos. Kakitangan dikurangkan dengan banyak.
Sekalipun Media Prima memiliki akhbar, radio dan TV, ia turut merasai tempias hebat akibat masalah yang melanda industri media sekarang, dengan cabaran utama daripada media online.
Inilah realiti ‘tindak balas berantai ’ atau ‘chain reactions’ akibat kesuraman industri media. Ia bukan sahaja menjejaskan kakitangan sedia ada malah menghakis peluang tenaga kerja baharu memasuki pasaran dalam industri berkenaan.
‘Tindak balas berantai’ ini menyaksikan edaran akhbar, buku atau majalah menurun, mengakibatkan penurunan iklan. Pengiklan keberatan mempromosi produk mereka dalam media yang sedikit edarannya. Ini menambah kesakitan media cetak untuk hidup.
Siaran TV pun menyaksikan banyak program lama diulang tayang. Ini salah satu usaha penjimatan kos walaupun hasil iklan di TV mungkin tidak seteruk dalam media cetak.
Lalu ke mana akan dituju oleh lulusan komunikasi massa ini ? Persoalan inilah yang mencetuskan persoalan sama ada bidang tertentu seperti kewartawanan dan penyiaran masih relevan diajar di universiti.
Tentu sahaja program tersebut boleh diteruskan jika matlamatnya semata-mata membekalkan para pelajar dengan ilmu. Tetapi untuk jangka panjang yang lebih realisitk di samping menyediakan para lulusan memasuki pasaran, universiti perlu memberi perhatian serius dan memahami arus perkembangan media sekarang.
Justeru universiti perlu menyusun kurikulum mereka ke arah memenuhi tuntutan dan keperluan aliran media masa kini. Penawaran kursus mesti relevan dengan perkembangan semasa dan sentiasa diubah menurut keperluan.
DR. BUKHORY ISMAIL
Menurut mantan Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Prof. Dr. Bukhory Ismail, universiti yang menawarkan kursus komunikasi massa perlu memperbaiki sistem pembelajaran.
“Silibus mesti ditukar sesuai dengan perkembangan semasa. Jangan selesa dengan keadaan sekarang,” kata beliau.
Beliau menyarankan pihak universiti, terutama dekan fakulti, berusaha meneliti bukan sahaja perkembangan media dalam negara tetapi juga membuat perbandingan dengan kaedah pembelajaran dan silibus universiti luar negara.
“Dekan mesti aktif, rajin berusaha dan mempunyai idea baharu,” tegas Dr. Bukhory ketika dihubungi untuk meminta pandangan beliau.
Katanya, ketika ini TV online begitu menonjol dan disukai ramai. Justeru ia wajar diberi tumpuan dalam kurikulum universiti.
Menurut beliau, pengiklanan kini banyak bertumpu di media online dan dengan itu memberi sokongan kuat kepada perkembangan TV online atau media online yang lain.
Beliau juga mengingatkan agar tumpuan diberi kepada radio. Ini kerana radio kini semakin disukai pendengar. Kerana itu penyiaran radio berpotensi untuk berkembang dan wajar diberi perhatian serius.
“Komunikasi massa masih relevan dengan syarat kita mengikut perkembangan semasa dan menjuruskan penawaran kursus ke arah memenuhi keperluan semasa ini,” kata Dr. Bukhory.
Adakah insitusi pengajian tinggi sedia berubah? Mereka sendiri perlu menentukan hala tuju dalam menambah nilai lulusan mereka – sama ada maju ke depan dan terus relevan atau bertahan dengan keadaan sekarang yang akhirnya menjadikan mereka tidak lagi relevan.