DALAM kalangan masyarakat Malaysia sekarang, masih terdapat 'spesies terakhir' yang mempunyai akal budi (common sense) untuk menyelesaikan masalah yang terjadi di depan mata mereka tanpa banyak soal.
Ya, sudah tidak ramai.
Sebagaimana yang diketahui, musim Monsun Timur Laut yang melanda negara ketika ini menyebabkan beberapa tempat terutama di Lembah Klang menghadapi banjir kilat akibat taburan hujan yang berpanjangan.
Rabu lalu, Jalan Genting Klang di Setapak turut mengalami banjir kilat sehingga menyebabkan beberapa kenderaan terperangkap di atas jalan raya sehingga menyebabkan kesesakan.
Namun, kehadiran dua adiwira jalanan berjaya menyelesaikan masalah yang terjadi dalam sekelip mata hanya dengan membuka penutup longkang.
Perkara ini dikicau oleh seorang pengguna Twitter @datininaz Sabtu lalu (26/10/19) yang menceritakan apa yang berlaku semasa banjir kilat berkenaan oleh suami dan adiknya.
Menurut Inaz, ketika itu, mereka mahu ke Kuala Lumpur namun disebabkan hujan terlalu lebat mereka membuat keputusan untuk berpatah balik.
"Ketika itu, kami terpaksa melalui Jalan Genting Klang namun air naik terlalu tinggi hingga menyukarkan kami untuk bergerak. Jadi kami memasuki laluan keluar ke kawasan warung makanan untuk berhenti kerana takut kereta mati di tengah-tengah jalan.
"Sampai di situ, kami keluar untuk memaklumkan keadaan kami kepada ahli keluarga yang lain. Ketika itu kelihatan banjir di sekitar kawasan itu agak bersih dan jernih namun tidak menunjukkan akan surut," kicau Inaz.
Melihat keadaan itu kata Inaz, suaminya menyatakan banjir berkenaan terjadi disebabkan laluan air tersekat di penutup longkang yang menghalang air melaluinya.
Kata Inaz, suaminya mencadangkan agar penutup longkang itu dibuka selepas melihat tiga hingga empat kereta mati di atas jalan raya di dalam banjir kilat berkenaan.
"Dia orang cuba buka satu. Terus air laju mengalir masuk longkang. Memang bukaan penutup itu sempit. Jadi kami cari lagi dua tiga penutup longkang untuk membolehkan banjir di kawasan itu surut. Sementara adik dan suami mencari penutup longkang untuk dibuka, saya tunggu kat lubang yang dah terbuka, takut kalau ada penunggang motosikal yang lalu untuk saya bagi warning (amaran)" kicaunya lagi.
Menurut Inaz lagi, mereka membuka penutup longkang di sepanjang 100 meter di kawasan berkenaan sehingga menyebabkan banjir surut dengan cepat.
Aksi mereka mendapat pujian dan ucapan terima kasih daripada pengguna jalan raya malah berita mengenai mereka turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Wan Azizah Ismail yang memuji tindakan yang dilakukan tiga beranak itu.
Mungkin Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad boleh memberi anugerah kepada kedua-dua adiwira ini di samping Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melihat kembali reka bentuk penutup longkang yang disediakan bagi mengelakkan banjir kilat berlaku lagi di situ. - KitaReporters
Dari Abu Hurairah r.a, Nabi SAW, bersabda: “Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya.” (HR. Muslim, lihat juga Kumpulan Hadis Arba’in An Nawawi hadis ke-36).
Gambar dan video © Twitter @datininaz