BESAR hajat kami.... Cikgu Jasmadin Budin (berbaju merah) mempengerusikan mesyuarat Pertis di pejabatnya di Brickfields, Kuala Lumpur.
BUAT pertama kalinya, Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) berharap dapat menghantar 40 peserta termasuk 20 Orang Kurang Upaya (OKU) yang cacat penglihatan dan penjaga mereka untuk mengerjakan umrah sebagai sebahagian matlamat melengkapkan penerapan syiar Islam kepada ahli-ahlinya.
Naib Yang Dipertuanya, Jasmadin Budin memberitahu, sebenarnya usaha membawa rombongan ke Mekah dan Madinah dan melawat tempat bersejarah di dua Tanah Suci itu dirancang sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi tetapi tertangguh akibat penutupan sempadan semua negara akibat wabak Covid-19.
Katanya, program "Road To Mecca" bertujuan memberi peluang kepada OKU cacat penglihatan yang sebelum ini sudahpun menjalani pelbagai program keagamaan yang diselenggarakan oleh Pertis bagi menanam semangat kental dalam perjuangan mencari rezeki dan kehidupan.
Rombongan itu berharap dapat menunaikan umrah pada pertengahan Februari atau Mac 2023.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan NGO OK Pertis
Ini hasilan oleh Pertis... Muhammad Firdaus Hairi (kanan) dengan Cikgu Jasmadin menunjukkan bahan bacaan yang diterbitkan dalam Braille.
"Pertis ditubuhkan untuk menerapkan dan merapatkan silaturahim dalam kalangan OKU cacat penglihatan dengan menggalakkan mereka terbabit dalam kegiatan dakwah. Sebelum ini kita sudah menyiapkan al-Quran Braille yang kini sudah digunakan ke seluruh negara dan Asia.
"Jika kami dapat membawa anggota rombongan mengerjakan umrah bermakna sebahagian daripada matlamat untuk memberi peluang kepada golongan ini merasakan pengalaman kegiatan dakwah yang dilalui Nabi Muhamad SAW tercapai," katanya ketika mengadakan mesyuarat pertama dengan beberapa sukarelawan bagi menyusun program mendapatkan sumbangan orang ramai bagi menaja kumpulan perintis itu.
Jasmadin yang juga Guru Sejarah Sekolah Menengah Sinar Bintang, Segambut, berkata mereka berharap dapat mengumpul sumbangan daripada jumlah sekecil RM10 untuk membiayai 20 OKU cacat penglihatan dan 20 orang lagi sebagai pengiring yang akan dilatih untuk menjaga mereka.
Semua sumbangan akan dikecualikan daripada cukai dan boleh dimasukkan ke Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) atas nama Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia melalui nombor akaunnya, 14014010086992
"Penjaga ini akan dilatih daripada menentukan makan minum, mengawal pengerakan termasuk membawa mereka melakukan tawaf kerana orang cacat penglihatan ni agak rumit, hendak pula mereka akan bersama-sama orang normal ketika melakuan tawaf atau saie." katanya yang pernah melakukan umrah sebelum ini.
CIkgu Jasmadin anak Sabah adalah lulusan Universiti Malaya dalam bidang Antropologi, adalah insan yang normal sebelum ini sebelum matanya menjadi rabun akibat jangkitan kuman.
Dia juga terpilih sebagai guru cemerlang tahun ini kerana mendidik pelajar yang sebahagiannya adalah pelajar bukan Melayu. Dia menggunakan laptop dan telefon bimbit dalam sistem pengajarannya.
Jasmadin berharap ada pihak dapat membantu Pertis termasuk dengan mewakafkan al-Quran dengan sumbangan RM300 seorang untuk mengumpul dana.
Sudah banyak kitab terjemahan hadis dan alQuran dialih bahasa dalam kaedah Braille.
Sementara itu, Ketua Penerbitan Pertis, Muhamad Firdaus Hairi, berkata mereka sangat teruja apabila diajukan oleh sukarelawan Pertis untuk mengadakan program "Road to Mecca" yang akan menguji kesabaran OKU cacat penglihatan dan penjaga itu mengharungi pelbagai tuntutan perjalanan umrah itu.
Beliau yang juga lulusan tahfiz dari Darul Quran Jakim di Kuala Kubu Bharu, Selangor berkata penghargaan ini akan memberi semangat baru kepada OKU cacat penglihatan yang selama ini selalu dilihat sebagai 'pengemis' dan sering 'dibuli' oleh sesetengah anggota masyarakat kerana mereka tiada penglihatan.
Surah-surah pilihan.
"Pengalaman sayalah, ada yang masukkan tisu kotor dalam poket baju. Ada yang tiba-tiba senyap apabila saya bertanyakan jalan keluar dari kompleks beli-belah walaupun saya tahu, mereka ada di sebelah saya.
"Ada ramai OKU cacat penglihatan yang ada diploma dan ijazah tidak boleh bekerja kerana majikan tidak percaya atas kebolehan dan peratusan jabatan untuk menggajikan mereka pun tidak ramai," katanya.
"Cara terbaik menyambung hidup ialah menjual tisu. Malah ramai penderma tidak ambil tisu yang dijual ini ataupun baki wang. Dengan wang inilah kami gunakan sebagai modal membeli stok dan membiayai keluarga," kata Muhamad Firdaus ketika diminta mengulas sama ada sindiket yang memperalatkan orang-orang cacat penglihatan untuk mengemis.
Muhammad Firdaus menunjukkan cara orang biasa boleh membantu OKU cacat penglihatan.
Bukan gini cara nak pimpin orang cacat penglihatan berjalan.
Begini... Dengan ini OKU cacat penglihatan boleh 'rasa' termasuk bila pembantu turun tangga.
Atau begini cara yang baik.
Beliau berkata, golongan yang berniaga tisu itu dan barangan lain sebenarnya bukan sindiket. Tetapi mereka selalunya bekerja dalam kumpulan bertiga.
Seorang sebagai pemandu kereta yang akan mengambil dan menghantar mereka ke lokasi perniagaan, seorang pembantu yang akan memimpin mereka dan hasil jualan mereka akan dibahagikan kepada pihak terbabit itu.
Menurut beliau lagi, selalunya OKU cacat penglihatan ini memperolehi pendapatan RM200 hingga RM300 sehari dan daripada jumlah itu, akan dibahagikan kepada tiga pihak yang terbabit. - KitaReporters
Sebahagian anggota sukarelawan Pertis... Semoga usaha dan hajat membawa rombongan OKU ke Tanah Suci untuk melakukan ibadat umrah tercapai.