Hiburan 10 Oct, 2019

MEMORI INDAH DENGAR RADIO MALAYSIA, RADIO SINGAPURA

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this
GENERASI hari ini mungkin tidak mengenali Mohamed Ismail Abdullah, Asmah Laili, SM Salim atau Norlidar Saidi. Mereka adalah ‘bintang’ pujaan Radio Singapura dan Radio Malaya (kemudiannya Radio Malaysia) pada era kegemilangan radio pada akhir tahun 60-an dan awal 70-an.

Dari kanan ke kiri: ASMAH LAILI juruhebah popular Radio Singapura, MOHAMED ISMAIL ABDULLAH (MIA) ketika remaja sebagai juruhebah Radio Singapura, SM SALIM menjadi juruhebah radio selain merupakan penyanyi tersohor, dan NORLIDAR SAIDI ketika remaja sebagai juruhebah Radio Malaysia.


Mohamed Ismail yang dikenali dengan nama singkatan MIA dan Asmah Laili adalah juruhebah popular di Radio Singapura sementara, SM Salim dan Norlidar Saidi pula adalah juruhebah terkenal di Radio Malaysia.

Ketika itu radio merupakan sumber informasi dan hiburan penting, terutama bagi penduduk kampung yang jauh daripada sumber maklumat lain. 

Waktu santai mereka, terutama pada hujung minggu, diisi dengan mendengar siaran radio, merangkumi pelbagai program agama, informasi dan hiburan.

Siaran warta berita pula sememangnya menjadi kemestian untuk didengar setiap hari bagi mengetahui perkembangan semasa dalam dan luar negara.

Selain siaran Radio Malaysia, siaran daripada Bahagian Melayu Radio Singapura dapat diikuti dengan jelas ketika itu walaupun jauh di kampung pedalaman.

Pada hujung minggu khususnya pelbagai program menarik disediakan oleh Radio Malaysia dan Radio Singapura. Justeru pendengar mempunyai pilihan  untuk mendengar siaran daripada stesen pilihan mereka.

Ketika itu susunan rancangan radio disiarkan dalam akhbar-akhbar utama. Ini memudahkan pendengar memilih rancangan yang menarik untuk didengar.

Peranan radio sebagai wadah maklumat dan hiburan pada era itu sangat besar. Walaupun televisyen (TV) sudah diperkenalkan di negara ini, terlalu sedikit penduduk kampung mampu memilikinya.

Selain harganya yang mahal, mereka juga perlu membeli generator untuk menonton TV kerana bekalan elektrik masih belum ada di kampung, apatah lagi jika kampung itu jauh di pedalaman. 

Menggunakan generator pula bererti perlu membeli petrol untuk menghidupkannya. Ini tambahan kos.

RADIO besar seperti ini hanya mampu dibeli oleh golongan berada.


Justeru radio yang menggunakan bateri adalah pilihan utama. Ada yang hanya mampu membeli radio  ‘transistor’ (radio kecil). Yang lebih berada akan membeli radio lebih besar.

Mereka yang tidak memiliki radio pula biasanya akan tumpang mendengar di rumah kawan atau jiran berdekatan. Inilah juga yang dilakukan oleh penulis.

Hujung minggu waktu paling seronok mendengar radio. Selain tidak bersekolah, pada hujung minggu banyak rancangan menarik disiarkan melalui Radio Malaysia dan Radio Singapura.

Akhir tahun 60-an adalah era pop yeh-yeh. Membesar dalam era tersebut menyebabkan penulis sendiri menjadi peminat tegar irama tersebut sehingga kini walaupun sudah beberapa dekad berlalu.

Pada hujung minggu Radio Singapura menjadi pilihan ramai. Misalnya pada hari Sabtu, antara rancangan menarik disiarkan ialah ‘Permintaan Remaja’ kendalian Asmah Laili.

‘Permintaan Remaja’ unik kerana ia mengadunkan lagu-lagu Melayu dan Inggeris popular, sesuai dengan jiwa dan minat remaja.

Pada hari Ahad, susunan rancangan lebih menarik dari pagi hingga ke petang. Seawal pukul 8.30 pagi ‘Permintaan Parajurit’ ke udara dikendalikan oleh Asmah Laili juga.

Rancangan permintaan ini yang dikhususkan kepada para parajurit disiarkan sejam. Ia adalah sebagai penghargaan kepada anggota tentera yang penuh dedikasi mempertahankan negara.

Mereka berpeluang memberi atau menerima ucapan daripada keluarga, rakan dan saudara mara.

Permintaan lagu bagi apa juga jenis rancangan permintaan menggunakan poskad khusus. Ada beberapa majalah hiburan yang menyelitkan kad permintaan dalam majalah terbitan mereka sebagai hadiah kepada pembaca.

Pembaca hanya perlu mengisi kad ini seperti nama program permintaan, lagu pilihan, daripada siapa dan ditujukan kepada siapa. Kad ini diposkan ke stesen radio dengan setem 10 sen.

Mohamed Ismail Abdullah dan Asmah Laili.


Selesai rancangan ‘Permintaan Parajurit’, rancangan ‘Drama Minggu Ini’ pula ke udara pada pukul 9.30 pagi selama sejam. Ini juga rancangan yang ditunggu-tunggu oleh ramai peminat, tambahan jika skrip ditulis oleh penulis skrip terkenal Singapura, Jah Lelawati.

Barisan pelakon popular yang sering menjayakan drama mingguan ini ialah Musa Albakri, Salim Bachik, Ponisah Bachik, Rubiah Suparman, Osman Zailani dan lain-lain. Selain penulis Singapura, ada juga antara drama ini yang skripnya ditulis oleh penulis Malaysia.

Pada pukul 12 tengah hari Ahad, Radio Singapura menyiarkan drama  ‘mata-mata gelap’ atau cerita penyiasatan selama setengah jam. Ada antara cerita tamat dalam satu episod, ada juga yang bersambung. Drama ini sangat digemari peminat cerita-cerita penyiasatan.

Rancangan ini ditaja oleh syarikat MYP (Mohd Yusof Pral) iaitu pengeluar minyak Geliga, minyak yang memang popular dalam kalangan pengguna sehingga kini.

Penulis masih ingat ‘tagline’ minyak Geliga: “Minyak Geliga, khasiatnya bergeliga.Kurang percaya cuba periksa. Dalam 10 minit membuat jasa. Hilang sakit hilang bisa.”

Kemeriahan rancangan Radio Singapura pada hari Ahad diteruskan dengan program popular ‘Penyanyi Pujaan Minggu Ini’  (PPMI), yang membariskan carta lagu-lagu popular untuk seminggu. 

Rancangan yang ke udara pada pukul 2 petang ini dikendalikan oleh MIA. 

Beliau pernah menjadi pengacara ketika konsert ‘Masih Ada Yang Sayang’ di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 1985. Penyanyi Allahyarham M. Shariff ketika itu menjadi penggerak utama konsert yang menghimpunkan ramai penyanyi pop yeh-yeh dari Singapura dan Malaysia.

Celoteh dan kelincahan MIA mengedalikan PPMI menyebabkan MIA sangat diminati.  Selain itu, beliau juga menerbitkan satu lagi rancangan pop iaitu ‘Sudut Pop’.

Dalam rancangan setengah jam ‘Penyanyi Pujaan Minggu Ini’, beberapa buah lagu bersaing selain lagu baharu yang dimasukkan dalam carta setiap minggu.

A. RAMLIE menjuarai carta Penyanyi Pujaan Minggu Ini untuk beberapa minggu berturut-turut.


A. Ramlie dan kugiran The Rythmn Boys pernah mengungguli carta dengan lagu ‘Salam Muhibbah’ dan ‘Harapan Menanti’ untuk beberapa minggu berturut-turut.

Satu lagi rancangan permintaan disukai ramai ialah ‘Permintaan Derma Panggung Negara’  yang kemudian diubah nama kepada ‘Permintaan Dermawan’ dikendalikan oleh juruhebah Noraini Darus.  

Difahamkan rancangan ini bertujuan berhibur sambil menderma bagi pembinaan Panggung Negara Singapura.

Satu lagi rancangan yang diminati ialah ‘Permintaan Tahniah dan Ucap Selamat’ yang ke udara serentak secara langsung melalui Radio Malaysia dan Radio Singapura. 

Ketika itu Singapura masih sebahagian daripada Malaysia. Singapura menyertai Malaysia pada 1963 dan keluar pada 1965.

Rancangan ini memberi fokus kepada ucapan-ucapan tahniah dalam kalangan pendengar yang ditujukan kepada rakan atau sedara mara. Ia dikendalikan oleh Asmah Laili dari Radio Singapura dan SM Salim dari Radio Malaysia di Kuala Lumpur.

Di samping menunaikan permintaan, celoteh Asmah Laili dan SM Salim ketika mengendalikan rancangan memang mencuit hati pendengar. Pasangan juruhebah ini dianggap ‘hot’ ketika itu.

Norlidar Saidi dan SM Salim.


Selain SM Salim yang juga dikenali sebagai penyanyi, Radio Malaysia memiliki beberapa juruhebah popular seperti Norlidar Saidi, Yong Rafidah, Maizatul Akmam Yahya, Dahlia Atan dan Norela Samad.

Baik di Malaysia atau Singapura, yang wujud pada masa itu hanyalah stesen radio atau TV milik kerajaan. Apabila semakin ramai mampu memiliki TV, perhatian kepada radio juga sedikit demi sedikit berkurangan. Namun radio masih tetap sebagai pilihan utama sehinggalah awal 70-an.

Walaupun kini terdapat banyak stesen radio milik kerajaan dan swasta di Malaysia, peredaran masa menyaksikan peranan radio berubah. Ia kini lebih menjurus kepada menjadi  teman ketika memandu (drive time).  

Begitu juga siaran Radio Singapura tidak lagi menguasai pendengar di Malaysia seperti dahulu. Mungkin kerana stesen-stesen radio di Malaysia menyajikan pelbagai rancangan menarik. Juga siaran Radio Singapura tidak lagi mudah diterima sekarang. 

GAMBAR terbaru Mohamed Ismail Abdullah bersama isteri, Saudah Abdul Karim, di kediaman mereka di Singapura.


Juruhebah popular MIA kini masih ada di Singapura. Asmah Laili dan SM Salim pula telah meninggalkan kita.

Segala kenangan mendengar dan menikmati rancangan-rancangan popular radio pada tahun 60-and dan awal 70-an kini hanya tinggal kenangan kepada mereka yang pernah melaluinya. 

Waktu itu sudah berlalu. Hanya memori yang tinggal terpahat di hati.

4
0
2
0
0
You will be interested

ALAMAK!! TIZ ZAQYAH KENA SERBU HANTU

Suasana hantu berkeliaran menyakat orang ramai itu berlangsung semasa pesta Nights of Fright 7 di Sunway Lagoon, Sunway, Selangor

Kartini Mohd Noor in Hiburan 5 years ago

NANTIKAN FESTIVAL MUZIK MELAYU TERBESAR

StereoFest akan berlangsung di tapak Palawan Green, Sentosa, Singapura selama dua hari bermula 22 hingga 23 Februari 2020, dengan gabungan artis tiga negara - Malaysia, Indonesia dan Singapura
Fariza Saidin in Hiburan 5 years ago

CINTA MUMTAZ: SATU BUNGA DUA KUMBANG

Meskipun pernah jatuh hati dengan dua aktor ternama, Shammi Kapoor dan Jeetendra, akhirnya Mumtaz bertemu jodoh dengan insan di luar dunia filem.
Ahmad Abd Hamid in Hiburan 5 years ago

TIDAK LAGI KU KEJAR GLAMOR - HAIRIE OTHMAN

Hairie yang pernah memegang watak Leftenan Adnan dan Hantu Waris dalam drama 'Kekasihku Seru' menceritakan pengalaman hijrahnya dalam sesi perkongsian Bicara Hijrah
Sahbulah Mohamad Darwi in Hiburan 5 years ago

ADA PIHAK SOROK SKRIP FILEM JATI DIRI MELAYU?

Menurut Jai Ghani, skrip rahsia kehebatan bangsa orang Melayu yang selama ini cuba difilemkan, sengaja disorokkan oleh produser tertentu
Kartini Mohd Noor in Hiburan 5 years ago