"SAYA pernah jadi hantu, dan pernah jadi askar tembak orang tak mati," kata selebriti Hairie Othman, yang terkenal dengan watak Leftenan Adnan, sebuah filem popular tanah air. : KitaReporters.com
Wajah terkini Hairie Othman
Hairie yang juga pernah memegang watak Hantu Waris dalam drama 'Kekasihku Seru', menceritakan pengalaman hijrahnya dalam sesi perkongsian Bicara Hijrah, baru-baru ini.
Katanya, walaupun tidak lagi hidup dalam dunia glamor, tiada jemputan berlakon, dan pendapatan berkurangan berbanding dahulu, namun hatinya kini tenang dan bahagia.
"Dulu saya hidup mewah, pendapatan banyak tapi tetap ada rasa kurang dan hati tak tenang.
"Tapi sekarang walaupun pendapatan kecil tapi saya rasa keberkatannya, walaupun sikit tapi cukup dan hati tenang dan bahagia," jelasnya.
Beliau berkata, banyak masanya kini diluangkan dengan aktiviti dakwah dan program keagamaan selain memberi tumpuan kepada keluarga.
Hairie Othman bergambar bersama AJK masjid dan orang ramai selepas menyampaikan ceramah 'Bicara Hijrah: Hari Ini Lebih Baik Dari Semalam' di Masjid At-Taqwa Banting, Kuala Langat, Selangor baru-baru ini.
Mengimbas faktor penghijrahannya, menurut Hairie, ia bermula apabila dia tergerak hati untuk mengikuti jemaah tabligh selama 3 hari untuk beriktikaf di masjid.
Namun penyertaannya itu cukup memberi kesan sehingga tercetus perasaan untuk berubah kepada yang lebih baik, lebih-lebih lagi usia juga kian meningkat, katanya.
"Ini adalah kurniaan Allah SWT yang melorongkan hati saya untuk bersama jemaah kerana hanya Allah yang boleh memberi hidayat," katanya.
Justeru, beliau menyeru anggota masyarakat untuk sama-sama melibatkan diri dengan kerja-kerja dakwah kerana dengan perantaraan kerja itu, ia menjadi asbab hidayat untuk mengubah diri seseorang itu sendiri. - KitaReporters.com