Hiburan 01 Oct, 2019

RAMLI, DAVID, AISYAH JAYAKAN KONSERT RAHMAH 2019

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
KONSERT Rahmah yang menampilkan persembahan lagu-lagu dan sajak berunsur ketuhanan, keagamaan serta alam sejagat berjaya menarik perhatian puluhan ribu penonton melalui nyanyian disampaikan oleh artis popular lama dan baru tanah air.

Aisyah semasa menyampaikan lagu "Syurga Di bawah Telapak Kaki Ibu" pada Konsert Rahmah di Putrajaya pada 28 Sept 2019.


Konsert ini merupakan antara pengisian program Karnival Rahmah 2019 anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan beberapa  agensi agama lainnya berlangsung di Dataran Putrajaya, Presint 3, Putrajaya pada Sabtu malam (28 Sept 2019) lalu.

Artis-artis legend Ramli Sarip, David Arumugam, dan Aisyah dengan dibantu artis-artis masa kini termasuklah Lah Ahmad, Wani Shaz, Azmi Caliph Buskers dan penyajak cacat penglihatan, Mohamad Sapian Mohd.Yusof mampu membuatkan para penonton tidak berganjak daripada tempat duduk masing-masing hingga konsert  berakhir.

Malahan ia juga boleh disifatkan sebagai "melepas rindu" peminat terhadap artis pujaan mereka yang sudah sekian lama tidak menyaksikan membuat persembahan secara terus.


David Arumugam menyanyikan lagu "Hingga Akhir Nanti" bersama tiga kanak-kanak yang naik ke pentas  secara spontan di Konsert Rahmah di Putrajaya.


Papa rock Ramli Sarip dengan persembahan nyanyian bertenaga dan memukau semasa menyampaikan lagu-lagu top hitnya mendapat reaksi hebat daripada penonton.

Beliau yang ditampilkan  sebagai artis kelima menyampaikan persembahan nyanyian pada malam itu dengan tiga buah lagu popularnya ,"Yang Terindah", "Syair Laila Majnun" dan "Bukan Kerana Nama".

Sepanjang  persembahan beliau menyanyi sambil memetik gitar mendapat sambutan hangat ribuan penonton yang hadir. Malahan adakalanya mereka menyanyi bersama. Nyanyian yang beliau sampaikan juga diiringi tiupan seruling.

Sambil memetik gitar Ramli Sarip menyampaikan lagu "Bukan Kerana Nama" di Konsert Rahmah di Putrajaya. Puluhan ribu penonton terpukau dengan persembahan beliau.


Juruacara pada malam itu Lokman Hakim yang lebih mesra dengan sapaan Lok menghebahkan Ramli Sarip merupakan antara artis yang diminati Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Agama), Datuk Mujahid Yusoff Rawa. Rakan pengacara bersama beliau berceloteh pada malam itu Farah Diana.

Sesuai dengan konsert yang menonjolkan tema ketuhanan dan rahmah untuk semua, lagu-lagu yang dipersembahkan lirik dan seni katanya sesuai lagi menarik.

Penyanyi yang terkenal dengan trade marknya "terima kasih" David Arumugam sebagai artis pembuka tirai persembahan dengan lagu top hitnya suatu ketika dahulu "Sampaikan Salam" mendapat tepukan gemuruh sebaik saja beliau menyanyikannya.

Sebaik sahaja nyanyian itu selesai David menjerit mengucapkan ungkapan "terima kasih" dan meminta  beberapa orang kanak-kanak di bahagian hadapan pentas melafazkan ucapan tersebut.

Selesai episod ini beliau menyatakan "lawan taukeh ke?" kepada kanak-kanak berkenaan.

Lah Ahmad turun daripada pentas meyantuni penonton yang menyaksikan Konsert Rahmah di Putrajaya.


Selanjutnya David menyampaikan lagu "Hingga Akhir Nanti" secara spontan tiga orang kanak-kanak dipercayai dari satu keluarga naik ke pentas  untuk bersama beliau menyanyikan lagu berkenaan.

Beberapa orang kanak-kanak dilihat memeluk ibu masing-masing sebaik sahaja Aisyah menyanyikan lagu "Syurga Di bawah Telapak Kaki Ibu".


Aisyah yang popular dengan lagu "Janji Manismu" masih mampu menyampaikan persembahan dengan baik dan bertenaga melalui  lagu "Kasihnya Balqis" dan "Syurga Di bawah Telapak Kaki Ibu".

Puluhan ribu penonton yang membanjiri Dataran Putrajaya terpegun dengan  persembahan yang disampaikan penyanyi ini.

Sambil diiringi tiupan seruling Ramli Sarip menyanyikan lagu "Syair Laila Majnun".


Semasa Aisyah hendak mula menyanyikan lagu "Syurga Di bawah Telapak Kaki Ibu" beliau sempat menyampaikan pesanan kepada para penonton terutama kanak-kanak yang berada di hadapan pentas supaya sentiasa menyayangi ibu masing-masing dan secara spontan dilihat beberapa orang kanak-kanak  memeluk ibu yang membawa mereka menyaksikan konsert tersebut.

Aisyah masih mampu menyampaikan nyanyian dengan penuh bertenaga dan memukau.


Lah Ahmad semasa menyanyikan lagu "Salam" turun dari pentas menyantuni beberapa orang kanak-kanak yang duduk berhampiran pentas. Wani Shaz menyanyikan lagu "Ahlan Bina" dan "Alhamdullilah".

Azmi Caliph Buskers "Hanya Nama Mu", penyajak cacat penglihatan Mohamad Safian Mohd Yusof dengan sajaknya "Rintihan Rahmah" dan "Tunas Pahala".

Keseluruhannya Konsert Rahmah berjaya menemukan artis popular tanah air dan artis masakini kepada para peminat terutama sekitar Putrajaya dan Selangor melalui titian rahmah untuk semua.

Sebahagian penonton yang hadir pada Konsert Rahmah di Dataran Putrajaya.


Penonton yang menyaksikan Konsert Rahmah 2019 kelihatan gembira dengan persembahan artis-artis jemputan. Malahan mereka lebih bersopan dan tertib.

0
0
0
0
0
You will be interested

ALAMAK!! TIZ ZAQYAH KENA SERBU HANTU

Suasana hantu berkeliaran menyakat orang ramai itu berlangsung semasa pesta Nights of Fright 7 di Sunway Lagoon, Sunway, Selangor

Kartini Mohd Noor in Hiburan 5 years ago

NANTIKAN FESTIVAL MUZIK MELAYU TERBESAR

StereoFest akan berlangsung di tapak Palawan Green, Sentosa, Singapura selama dua hari bermula 22 hingga 23 Februari 2020, dengan gabungan artis tiga negara - Malaysia, Indonesia dan Singapura
Fariza Saidin in Hiburan 5 years ago

CINTA MUMTAZ: SATU BUNGA DUA KUMBANG

Meskipun pernah jatuh hati dengan dua aktor ternama, Shammi Kapoor dan Jeetendra, akhirnya Mumtaz bertemu jodoh dengan insan di luar dunia filem.
Ahmad Abd Hamid in Hiburan 5 years ago

TIDAK LAGI KU KEJAR GLAMOR - HAIRIE OTHMAN

Hairie yang pernah memegang watak Leftenan Adnan dan Hantu Waris dalam drama 'Kekasihku Seru' menceritakan pengalaman hijrahnya dalam sesi perkongsian Bicara Hijrah
Sahbulah Mohamad Darwi in Hiburan 5 years ago

ADA PIHAK SOROK SKRIP FILEM JATI DIRI MELAYU?

Menurut Jai Ghani, skrip rahsia kehebatan bangsa orang Melayu yang selama ini cuba difilemkan, sengaja disorokkan oleh produser tertentu
Kartini Mohd Noor in Hiburan 5 years ago