Kapal RV Discovery milik UMT berlabuh di Jeti Duyung Marina,Kuala Terengganu
PELUANG orang ramai khususnya umat Islam untuk berbuka puasa bersama keluarga atau rakan di atas kapal sambil menikmati panorama indah waktu senja dan malam Bandaraya Warisan Persisiran Air Kuala Terengganu kini dibuka kepada penduduk negeri tersebut.
Malah, jika ada pelancong luar yang kebetulan berada di Terengganu juga jangan melepaskan peluang untuk merebut peluang yang julung kali diadakan sempena Ramadan.
Ini kerana Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengorak langkah dengan menganjurkan program “Iftar On The Deck” di atas kapal RV Discovery milik universiti tersohor negeri ini.
Lagi laporan-laporan menarik berkaitan UMT
Mohd Ruhaifi Alias
Program anjuran iCreate-UMT dan GRAFS UMT bertujuan memberi peluang orang ramai untuk mengenali lebih dekat bagaimana research vessel UMT sebagai satu galakan pelancongan pendidikan (edutourism).
Ketua Seksyen iCreate UMT, Mohd Ruhaifi Alias berkata, program itu pertama kali dalam sejarah universiti tempatan diharap dapat memberi kepuasan kepada peserta yang menyertai program tersebut.
Katanya, sepanjang berada di atas kapal mulai jam 5 petang hingga 9 malam peserta selain dapat berbuka puasa bersama rakan-rakan dan ahli keluarga, satu kepuasan lain yang boleh dijadikan kenangan ialah melihat sendiri keindahan panorama indah Sungai Terengganu.
Keindahan Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada waktu senja dapat dilihat dari atas kapal UMT di Jeti Duyung Marina
Beliau berkata, keseronokan pasti menjadi kenangan indah kerana orang ramai dapat mengambil gambar berlatar belakang Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu yang menjadi ikon pelancongan tersohor Negeri Terengganu masa kini.
Mohd Ruhaifi berkata, untuk menikmati suasana yang digambarkan pihaknya membuka peluang kepada orang ramai yang berminat dengan membuat tempahan untuk mendapatkan tempat di atas kapal tersebut.
UMT memberi peluang kepada orang ramai untuk berbuka puasa di atas Kapal RV Discovery
Beliau berkata, program bermula pada 27 April 2021 hingga 10 Mei 2021 menawarkan pakej RM49 seorang untuk dewasa dan remaja berumur 13 tahun ke atas.
“Pakej tersebut termasuk untuk sesi berbuka puasa secara buffet dan menu mengikut jadual harian yang ditetapkan,” katanya.
Antara menu harian yang disediakan termasuklah nasi daging, nasi beriyani, nasi arab, nasi minyak, nasi putih, nasi beringin dan nasi hujan panas.
Katanya, kapal milik UMT itu dengan kapasiti 25 penumpang akan berlabuh di Jeti Duyung Marina, Kuala Terengganu pada setiap hari dalam tempoh program diadakan.
Bagaimanapun,katanya, orang ramai hanya dibenarkan masuk ke dalam kapal mulai jam 5 petang hingga 9 malam.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai program itu bolehlah membuat tempahan awal dengan menghubungi telefon 011--58623277. - KitaReporters