Seni & Sukan 05 Oct, 2022

Suara golongan belia Keluarga Malaysia didengari! Kemuka input, inspirasi melalui Idea Bina Negara!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Dengan slogan ‘Ini Suara Kita’, kerajaan menerusi platform digital, Idea Bina Negara (IBN) mahu memastikan input suara belia dan anak muda didengari demi meningkatkan semangat patriotik dan nasionalisme agar Malaysia menjadi lebih progresif. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Ismail berkata, IBN adalah sebuah sebuah platform digital yang bertujuan membolehkan ahli Keluarga Malaysia terutama golongan belia mengemukakan idea dan inspirasi mereka secara telus ke arah pembangunan negara serta memberi pandangan dalam penyediaan Bajet 2023

"Dalam usaha memperkukuh semangat Keluarga Malaysia, Kerajaan sentiasa peka dan prihatin terhadap belia dan anak muda dengan memastikan luahan suara mereka sentiasa didengari dan diberikan perhatian

"Ini kerana anak-anak muda mempunyai idealisme yang sangat penting kerana mereka didedahkan idea-idea yang lebih progresif yang diperolehi melalui input internet sama ada dari dalam mahupun luar negara," kata Perdana Menteri pada Majlis Perasmian Idea Bina Negara (IBN) 2022 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada Selasa, 4 Oktober 2022.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan golongan muda atau belia


Kata Ismail Sabri, inisiatif platform digital IBN ini telah membuka ruang kepada seluruh anak muda untuk menyalurkan idea dan menyuarakan permasalahan kepada kerajaan

"Saya amat berbesar hati kerana penyumbang idea terbesar sebanyak 57.9 peratus adalah dalam kalangan belia berusia lingkungan 18 hingga 21 tahun. 

"Berdasarkan data dan maklumat yang diperolehi ini, akan membantu Kerajaan untuk menyediakan inisiatif dan insentif yang bersesuaian untuk golongan anak-anak muda. 

"Sesungguhnya, Kerajaan memerlukan sokongan padu golongan belia dan anak muda untuk membangunkan Malaysia," tegas Perdana Menteri lagi. - KitaReporters



Teks ucapan Dato Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri sempena Majlis Perasmian Idea Bina Negara (IBN) 2022 pada Selasa, 4 Oktober 2022 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam :


1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama pada Majlis Perasmian Idea Bina Negara (IBN) 2022 pagi ini. 

2. Terlebih dahulu saya merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dengan kerjasama rakan strategik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) kerana berjaya merealisasikan majlis yang signifikan dengan penglibatan anak muda Malaysia terutama dalam era dunia tanpa sempadan. 

3. Terima kasih juga saya ucapkan kepada pihak penganjur kerana sudi mengundang saya dan sekali gus merasmikan program yang amat bermakna ini.

Anak muda Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

4. IBN adalah sebuah sebuah platform digital yang bertujuan membolehkan ahli Keluarga Malaysia terutama golongan belia mengemukakan idea dan inspirasi mereka secara telus ke arah pembangunan negara serta memberi pandangan dalam penyediaan Bajet 2023. 

5. Dalam usaha memperkukuhkan semangat Keluarga Malaysia, Kerajaan sentiasa peka dan prihatin terhadap belia dan anak muda dengan memastikan luahan suara mereka sentiasa didengari dan diberikan perhatian. 

6. Ini kerana anak-anak muda mempunyai idealisme yang sangat penting kerana mereka didedahkan idea-idea yang lebih progresif yang diperolehi melalui input internet sama ada dari dalam mahupun luar negara. 

7. ‘Ini Suara Kita’ - slogan ini menjadi identiti IBN bagi memastikan input suara belia dan anak muda didengari dan meningkatkan semangat patriotik dan nasionalisme agar Malaysia menjadi lebih progresif.

Anak muda Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

8. Saya percaya, inisiatif platform digital IBN ini telah membuka ruang kepada seluruh anak muda untuk menyalurkan idea dan menyuarakan permasalahan kepada kerajaan. 

9. Saya difahamkan, aplikasi IBN yang dibangunkan ini telah menerima lebih daripada 12,000 idea anak-anak muda seluruh negara. 

10. Saya amat berbesar hati kerana penyumbang idea terbesar sebanyak 57.9 peratus adalah dalam kalangan belia berusia lingkungan 18 hingga 21 tahun. 

11. Berdasarkan data dan maklumat yang diperolehi ini, akan membantu Kerajaan untuk menyediakan inisiatif dan insentif yang bersesuaian untuk golongan anak-anak muda. 

12. Sesungguhnya, Kerajaan memerlukan sokongan padu golongan belia dan anak muda untuk membangunkan Malaysia.



Anak muda Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

13. Suara anak muda Malaysia - kami dengar, kami cakna dan kami santuni. Melalui analisis teks menggunakan teknologi kepintaran buatan (atau Artificial Intelligence) menunjukkan idea-idea yang diajukan melalui aplikasi IBN ini bersifat positif dan membina. 

14. Sebanyak 12 peratus anak muda telah menyuarakan tentang isu politik dengan menyentuh aspek kestabilan, prestasi kerajaan serta kualiti dan kematangan pemimpin. 

15. Kerajaan amat prihatin terhadap isu peluang pekerjaan yang menghantui golongan anak muda masa kini. Lebih lebih lagi, terdapat 46.2 peratus hanya memperoleh pendapatan bulanan kurang daripada RM2,500 sebulan. 

16. Sehubungan itu, Kerajaan telah memperkenalkan inisiatif perantis lepasan sekolah dan graduan yang membenarkan majikan untuk menggaji pekerja berusia 18 hingga 30 tahun dengan menyediakan insentif berjumlah RM900 sebulan.

17. Kerajaan turut memperkenalkan pelan pembiayaan berjumlah RM150 juta yang disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional dan Agrobank khusus untuk golongan belia yang ingin menceburi bidang keusahawanan. 

Anak muda Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

18. Peruntukan RM4.8 bilion telah disalurkan menerusi inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia yang memberikan 600,000 peluang pekerjaan kepada golongan muda bagi membantu memperkukuhkan ekonomi belia. 

19. Kerajaan juga telah mengumumkan kenaikan kadar minimum Elaun Sara Hidup (ESH) dari minimum RM650 ke maksimum RM950 sebulan bagi pelajar dalam negara dan minimum RM1,380 sebulan ke maksimum RM7,600 sebulan bagi pelajar luar negara dari pelbagai peringkat pengajian. 

20. Kerajaan turut mengambil inisiatif menyediakan peruntukan sebanyak RM300 juta menerusi Program ePemula iaitu Skim Transaksi Tanpa Tunai yang dimanfaatkan oleh golongan anak muda berusia 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa pada pelbagai peringkat di institusi pengajian tinggi. 

Anak muda Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

21. Beberapa inisiatif seperti Pelan Jalinan Digital Negara (atau JENDELA) dan projek Perkhidmatan Jalur Lebar Tanpa Wayar di seluruh negara telah dilaksanakan menerusi pembinaan lima menara telekomunikasi baharu, lengkap dengan rangkaian 4G serta memastikan hampir 4,000 premis dilengkapi dengan gentian optik. 

22. Bagi memenuhi kehendak era Pendidikan 5.0 serta mendorong budaya kerja cemerlang, kreatif dan inovatif, kerajaan akan memastikan kemudahan dan infrastruktur institusi pendidikan sentiasa dinaik taraf dengan pelbagai pembaharuan. 

23. Saya yakin, dengan mengambil cakna terhadap suara, solusi, dan aspirasi anak muda kepada Kerajaan, kita mampu untuk bersama-sama menjayakan agenda besar pemulihan negara.

24. Ayuhlah kita bersama-sama membangunkan negara, dengan berpaksikan suara anak muda Keluarga Malaysia demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama. 

Suara Belia, Membina Negara – Ini Suara Kita! 


15
15
0
8
0
You will be interested