Seni & Sukan 04 Nov, 2022

Janji Kerajaan Ismail Sabri! Sedia kediaman mencukupi, berkualiti, mampu dimiliki Keluarga Malaysia!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan baharu yang akan dipilih semula akan memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia melalui penyediaan kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.

Katanya, "Bajet 2023 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober (2022) lepas memperlihatkan iltizam Kerajaan untuk terus memperkukuh pemulihan ekonomi negara, membina daya tahan di semua sektor dan memastikan ekonomi terus makmur dan mampan. 

"Bajet ini juga memberi tumpuan kepada kesejahteraan Keluarga Malaysia dengan penyediaan kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah."

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa semua skim perumahan yang terkandung dalam bajet tersebut akan dilaksanakan jika bajet yang dibentangkan dapat dibentangkan semula dan Kerajaan yang diterajuinya dipilih semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 ini.


Lagi



Ismail Sabri berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pecah Tanah Bagi Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Kepala Batas, Masjid Bandar Putra Bertam Dan Kepala Batas Youth Centre, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Rabu, 2 November 2022 di Tapak Pembinaan Masjid Bandar Putra Bertam, Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

Menurutnya, Kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion termasuk Skim Perumahan yang merangkumi:

Pertama: Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk manfaat 12,400 penghuni baharu dengan peruntukan sebanyak RM367 juta; 

Kedua: Program Rumah Mesra Rakyat melibatkan pembinaan 4,250 unit rumah dengan peruntukan sebanyak RM358 juta; 

Ketiga: Program Penyelenggaraan Perumahan dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia bagi memastikan keadaan perumahan strata kos rendah dan sederhana yang selamat termasuk menggantikan lif-lif yang rosak dengan peruntukan sebanyak RM90.4 juta; 

Keempat: Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan Kerajaan menyediakan jaminan sehingga RM3 bilion terutamanya golongan belia bagi memberi akses pembiayaan kepada golongan tiada pendapatan tetap seperti pekerja e-hailing untuk memiliki rumah. 



"Pada hari ini, saya ingin mengumumkan satu lagi inisiatif Keluarga Malaysia iaitu Projek PPR Kepala Batas bagi memenuhi keperluan tempat kediaman untuk golongan berpendapatan rendah yang berkelayakan dan belum memiliki rumah," katanya lagi.

"Projek ini bernilai RM113 juta, melibatkan pembinaan sebanyak 700 unit rumah pangsa empat tingkat berserta kemudahan asas, akan dilaksanakan di atas tanah seluas 20 ekar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di Lot 2587, Mukim 8, Pongsu Seribu, Seberang Perai Utara. 

"Projek PPR Kepala Batas ini turut menyediakan 7 unit rumah untuk memenuhi keperluan Orang Kurang Upaya (OKU). 

"Kos pembinaan seunit rumah ini adalah RM161,000 tetapi ia akan dijual pada harga RM45,000 seunit. Ini bermakna subsidi bagi seunit rumah adalah RM116,000 dan jumlah keseluruhan subsidi yang ditanggung Kerajaan bagi projek ini adalah sebanyak RM81.2 juta," tambah Perdana Menteri. - KitaReporters


Teks ucapan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri, sempena Majlis Pelancaran Pecah Tanah Bagi Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Kepala Batas, Masjid Bandar Putra Bertam Dan Kepala Batas Youth Centre, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Rabu, 2 November 2022 di Tapak Pembinaan Masjid Bandar Putra Bertam, Kepala Batas, Seberang Perai Utara :


1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya ucapkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia Nya, kita dapat bersama-sama petang ini untuk melancarkan tiga Majlis Pecah Tanah bagi: 

ii. Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Kepala Batas; 

iii. Masjid Bandar Putra Bertam; dan 

iv. Kepala Batas Youth Centre (KBYC) 

2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan terutamanya, Yang Berhormat Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican kerana sudi mengundang saya menyempurnakan majlis yang bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia yang terlibat.

3. Setinggi-tinggi tahniah juga saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kementerian Belia dan Sukan serta Keluarga Malaysia Kepala Batas yang hadir memeriahkan majlis pada hari ini. 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

4. Bajet 2023 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober (2022) lepas memperlihatkan iltizam Kerajaan untuk terus memperkukuh pemulihan ekonomi negara, membina daya tahan di semua sektor dan memastikan ekonomi terus makmur dan mampan. 

5. Bajet ini juga memberi tumpuan kepada kesejahteraan Keluarga Malaysia dengan penyediaan kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah. 

6. Justeru, Kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion termasuk Skim Perumahan yang merangkumi:

Pertama: Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk manfaat 12,400 penghuni baharu dengan peruntukan sebanyak RM367 juta; 

Kedua: Program Rumah Mesra Rakyat melibatkan pembinaan 4,250 unit rumah dengan peruntukan sebanyak RM358 juta; 

Ketiga: Program Penyelenggaraan Perumahan dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia bagi memastikan keadaan perumahan strata kos rendah dan sederhana yang selamat termasuk menggantikan lif-lif yang rosak dengan peruntukan sebanyak RM90.4 juta; 

Keempat: Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan Kerajaan menyediakan jaminan sehingga RM3 bilion terutamanya golongan belia bagi memberi akses pembiayaan kepada golongan tiada pendapatan tetap seperti pekerja e-hailing untuk memiliki rumah. 

7. Saya beri jaminan bahawa semua skim perumahan ini akan dilaksanakan jika bajet yang dibentangkan dapat dibentangkan semula dan Kerajaan yang saya terajui dipilih semula pada PRU-15, 19 November 2022 ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

8. Pada hari ini, saya ingin mengumumkan satu lagi inisiatif Keluarga Malaysia iaitu Projek PPR Kepala Batas bagi memenuhi keperluan tempat kediaman untuk golongan berpendapatan rendah yang berkelayakan dan belum memiliki rumah. 

9. Projek ini bernilai RM113 juta, melibatkan pembinaan sebanyak 700 unit rumah pangsa empat tingkat berserta kemudahan asas, akan dilaksanakan di atas tanah seluas 20 ekar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di Lot 2587, Mukim 8, Pongsu Seribu, Seberang Perai Utara. 

10. Projek PPR Kepala Batas ini turut menyediakan 7 unit rumah untuk memenuhi keperluan Orang Kurang Upaya (OKU). 

11. Kos pembinaan seunit rumah ini adalah RM161,000 tetapi ia akan dijual pada harga RM45,000 seunit. Ini bermakna subsidi bagi seunit rumah adalah RM116,000 dan jumlah keseluruhan subsidi yang ditanggung Kerajaan bagi projek ini adalah sebanyak RM81.2 juta.

12. Kerajaan mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan dokongan PERDA dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kerana menyediakan tanah yang bersesuaian untuk pembinaan perumahan PPR Kepala Batas ini. 



Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

13. Kerajaan sentiasa komited melaksanakan program pembangunan untuk Keluarga Malaysia berlandaskan prinsip Maqasid Syariah. 

14. Dalam konteks Malaysia, Kerajaan bertanggungjawab memelihara dan menyuburkan pengembangan syiar Islam dalam kalangan Keluarga Malaysia terutamanya yang beragama Islam. 

15. Pada petang yang penuh barakah ini, saya juga ingin mengumumkan pelancaran majlis pecah tanah bagi pembinaan Masjid Bandar Putra Bertam, yang akan dibangunkan di atas tanah milikan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) seluas dua hektar di Pongsu Seribu, Seberang Perai Utara.

16. Kos keseluruhan pembinaan masjid ini adalah sebanyak RM7 juta yang menggunakan kaedah cost-sharing di mana Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM4 juta, Kerajaan Negeri pula sebanyak RM2 juta dan sumbangan melalui kutipan wakaf dana pembangunan masjid sebanyak RM1 juta. 

17. Saya mengucapkan terima kasih di atas inisiatif dan sumbangan ahli kariah dalam merealisasikan pembinaan masjid ini yang bakal memuatkan 1,600 jemaah. 

18. Seni bina Masjid Bandar Putra Bertam ini berkonsepkan Green Design Approach atau bangunan mesra alam rendah karbon, dan ia akan menjadikan masjid tersebut sebagai mercu tanda dan salah satu bangunan hijau di Pulau Pinang. 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

19. Saya juga ingin mengumumkan pembinaan Kepala Batas Youth Centre (KBYC) bernilai RM45 juta di atas tanah seluas 25 ekar di Mukim 6, Seberang Perai Utara.

20. KBYC ini akan menyediakan kemudahan sukan yang lengkap bertaraf antarabangsa dan akan turut menjadi one stop centre bagi aktiviti belia di wilayah utara Semenanjung Malaysia. 

21. Ia akan dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya asrama, astaka, padang bola dan trek sintetik, dewan E-Sport, bilik muzik, gimnasium, trek jogging, taman papan selaju dan pelbagai kemudahan lain untuk golongan belia. 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

22. Meskipun Pulau Pinang adalah negeri yang diterajui oleh pembangkang, namun saya mengetepikan kesemua perkara ini atas dasar keutamaan terhadap pembangunan Keluarga Malaysia. 

23. Justeru, saya ingin menyeru seluruh Keluarga Malaysia Pulau Pinang, terutamanya di Kepala Batas ini untuk memilih Kerajaan Persekutuan yang ada dan sentiasa konsisten dalam menunaikan janjinya terhadap setiap lapisan masyarakat.

24. Akhir kata, saya ucapkan tahniah sekali lagi kepada KPKT, KBS, Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang kerana berjaya merealisasikan agenda Keluarga Malaysia, khususnya dengan pelaksanaan ketiga-tiga projek ini. 

25. Dengan kata-kata tersebut, dan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Pecah Tanah bagi Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Kepala Batas, Masjid Bandar Putra Bertam dan Kepala Batas Youth Centre. 


15
13
0
17
0
You will be interested