Penikahan kali pertama adalah saat yang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan lelaki dan wanita. Namun biasanya antara halangan untuk berkahwin ialah kekangan wan untuk menyediakan mas kahwin, barangan hantaran dan belanja kenduri.
Semakin dekat hari pernikahan yang dirancang, maka semakin tertekan pihak lelaki untuk menyediakan keperluan barangan hantaran.
Malah lebih memilukan apabila hari akad nikah sudah semakin hampir, namun wang untuk persiapan majlis pernikahan itu masih tidak dapat disediakan. Sedangkan majlis pernikahan sudah dirancang sejak sebulan lalu setelah lima bulan bertunang.
Ini membuat ada yang sanggup melakukan jenayah untuk mendapatkan wang agar dapat bernikah. Dan inilah yang dilakukan seorang pemuda dikenali sebagai T di Sukolilo, Surabaya, Jawa Timur, Indonesia.
Dia nekad mencuri sebuah motosikal untuk dijual dan wangnya diguna sebagai mas kahwin dan lain-lain belanja pernikahan.
Namun dia tidak bernasib baik apabila ditangkap oleh polis dan terpaksa meringkuk di dalam jel dan menunggu waktu untuk dihadap ke mahkamah.
Namun atas dasar simpati, Ketua Polis Sukolilo, Kompol Made Patra bersetuju membenarkan T dan pasangannya dinikahkan di Balai Polis Sukolilo.
Tok kadi (penghulu istilah di Indonesia) dipanggil berserta beberapa anggota keluarga. Majlis berjalan lancar tetapi mengharukan.
Pengantin lelaki sebak apabila melafazkan akad dan setelah itu pasangan pengantin baharu itu berpelukan sambil menangis.
Selepas itu kedua-duanya terpaksa berpisah dan ‘malam pertama’ mereka terpaksa ditunda.
Si lelaki terpaksa kembali meringkuk dalam penjara dan tidak pasti akan kembali hidup bebas apabila mahkamah menjatuhkan hukuman nanti.
Menurut Kompol Made Putra, dia berharap setelah berkahwin hukuman terhadap T dapat dikurangkan dan dia mampu menjadi insan yang bertanggungjawab.