Selera & Santai 11 Jun, 2024

Video| Gilang-gemilang dan memukaukan! Kenderaan berhias semarakkan bandar raya Kuala Terengganu!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this


KEGELAPAN malam Bandar Raya Kuala Terengganu dimeriahkan dengan cahaya lampu berwarna warni apabila satu acara yang penuh gilang-gemilang dan memukau, dengan Perarakan dan Pertandingan Kenderaan Berhias sempena sambutan Ulang Tahun Ke-62 Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Kehadiran dan sokongan padu penduduk tempatan dan pelancongan asing telah menjadikan acara ini satu kejayaan besar dan kenangan manis kepada rakyat Terengganu

Kenderaan berhias dengan pelbagai tema kebudayaan dan keindahan Terengganu berjaya menarik perhatian dan memeriahkan suasana pada malam Jumaat 6 Mei 2024.




Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang berkongsi kegembiraan dengan acara itu berkata, selain perarakan, persembahan kebudayaan serta muzik tradisional turut menambahkan lagi keindahan acara, manakala gerai makanan dan pameran kraf tangan mendapat turut sambutan yang hangat daripada para pengunjung.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan program tersebut. 

“Jasa dan usaha anda semua amatlah dihargai. Juga kepada rakyat Terengganu yang hadir memberikan sokongan, kehadiran anda semua membuktikan semangat perpaduan dan kecintaan kita kepada negeri ini,” katanya lagi.


Kenderaan Berhias Daerah Kemaman muncul juara. - Kredit foto: Media MB Terengganu


Kenderaan Berhias Pejabat Daerah Besut tempat kedua


Pada majlis yang diadakan di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu itu, Pejabat Daerah Kemaman membawa pulang hadiah cek bernilai RM20,000, piala dan sijil penyertaan apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan Kenderaan Berhias.

Tempat kedua dimenangi Daerah Besut dengan hadiah berupa cek bernilai RM15,000, piala dan sijil. 

Tempat ketiga diraih Kuala Nerus (RM10,000), manakala Kuala Terengganu (RM5,000) dan Dungun (RM4,000) masing-masing di kedudukan keempat dan kelima. 

Daerah Marang, Hulu Terengganu dan Setiu pula mendapat hadiah saguhati bernilai RM1,000 dan sijil.



Terdahulu, Sultan Terengganu berangkat tiba dengan diiringi Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah bersama Puteri Daulath Raja pada jam 9.00 malam.

Sultan Mizan turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pelbagai pertandingan yang diadakan itu. 

Keberangkatan tiba Sultan Terengganu disambut oleh Menteri Dr Ahmad Samsuri dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.



Pada permulaan majlis, tarian selamat datang 'Menjunjung Duli' dipersembahkan.

Sejurus kemudian, sebanyak 16 buah beca berhias bertanding mewakili sebahagian badan korporat dan agensi yang terdapat di Terengganu antaranya INSTEP, Golden Pharos dan Taman Tamadun Islam. 

Ia diikuti perarakan kereta berhias yang disaksikan lebih 5,000 pengunjung yang turut hadir.

Bagi pertandingan beca berhias, tempat pertama diraih oleh Cas Ligas yang membawa pulang hadiah berupa cek bernilai RM5,000. Manakala, tempat kedua hingga kelima dimenangi EPIC (Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad), TDM, Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Ketengah. - KitaReporters


 

 

15
3
0
9
0
You will be interested