Kampus & Pendidikan 23 Apr, 2024

Tahniah SK Rantau Panjang, SK Sungai Binjai, SK Jln Kebun! Sertai Acara Berus Gigi Terbesar Malaysia!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Murid SKRP bergambar bersama-sama tetamu jemputan pada majlis penyampaian sijil rekod MBOR.


SEKOLAH Kebangsaan Rantau Panjang (SKRP), Klang, Selangor, mencipta sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila menjadi tuan rumah dalam Acara Berus Gigi Terbesar Malaysia yang membabitkan 6,276 murid SKRP, SK Sungai Binjai bersama SK Jalan Kebun, sekali gus memadamkan rekod terdahulu yang dipegang 3,245 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yak Chee di Puchong, Selangor.

Acara bersejarah anjuran Pepsodent Malaysia melalui "Program 2-2-10 Gigi Lebih Kuat Bersama Pepsodent" adalah bagi memupuk kesedaran masyarakat dan murid sekolah terutama mengenai masalah karies gigi dan kaviti di negara ini.

Sijil rekod MBOR disampaikan oleh Operation, Research & Marketing Manager Book Of Record, Edwin Yeoh Ting Chin kepada Guru Besar SKRP, Hazi Kadir dan Marketing Lead Malaysia, Looi Kah Hong pada majlis turut disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri pada 17 April 2024.

Turut hadir pada majlis berkenaan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Mohd Azuan Mohd Nawawi, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Klang, Abdul Rahim Khalid; Timbalan Pegawai Sektor Pembangunan Murid PPD Klang, Ahmad Lutfi Mohamed Yazid; Pakar Pergigian Kesihatan Awam, Ketua Penolong Kanan Pengarah & Ketua Unit Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Dr Muhammad Zulkifli Ramly; dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SKRP, Jailani Mahdi.


Hazi Kadir (tiga dari kiri) menerima sijil rekod MBOR yang disampaikan oleh Edwin Yeoh Ting Chin pada majlis disaksikan oleh   Azmizam Zaman Huri (tengah) pada 17 April 2024.


Hazi berkata, Acara Berus Gigi Terbesar Malaysia itu memberi impak yang amat besar kepada murid terutama amalan menjaga kebersihan diri khusus penjagaan gigi yang secara tidak langsung membantu dalam mencerna makanan dengan baik. 

Jelasnya, amalan menggosok gigi dengan cara yang betul hanya dalam tempoh masa dua minit untuk dua kali dalam sehari bukan sahaja membantu melahirkan senyuman menawan malah menguatkan gigi serta meningkatkan 10 kali ganda kebersihan.

“Paling penting ibu bapa murid memberi kerjasama yang amat baik dengan menghantar anak mereka ke sekolah bagi menyertai acara berkenaan dalam keadaan cuaca hujan lebat pada hari itu dalam membantu meningkatkan kefahaman kepentingan menjaga kesihatan gigi,” ujarnya.


Hazi menunjukkan sijil rekod MBOR yang diterima.


Acara Berus Gigi Terbesar Malaysia itu mendedahkan kepada murid mengenai keadaan mulut berasid tinggi dalam jangka panjang akan terus menghakis gigi sehingga terbentuk lubang (kaviti). 

Kaviti ini kemudian mampu untuk membesar sehingga mendedahkan lapisan pulpa yang kaya dengan saraf dan salur darah. Ini mendorong kepada rasa sakit yang teruk dan juga masalah lain. 

Kanak-kanak pula kumpulan populasi paling berisiko untuk menghidap karies gigi yang teruk. Berdasarkan statistik, tujuh daripada 10 kanak-kanak di Malaysia menghidap karies gigi. 

Tambahan lagi, kajian mendapati 76 peratus daripada semua kanak-kanak di bawah usia lima tahun mempunyai lapan daripada 10 gigi susu mereka terjejas dengan karies.

Senyuman yang menawan sudah pasti menjadi idaman setiap individu. Untuk memiliki senyuman yang cantik, kebersihan mulut dan gigi perlulah diutamakan seawal usia kanak-kanak lagi. - KitaReporters


Azmizam merasmikan majlis penyampaian sijil rekod MBOR.

17
14
0
13
0
You will be interested