KAPTEN negara, Syamer Kutty Abba (14) mengetuai pasukan bertepuk tangan tanda penghargaan kepada hadirin penyokong ke Stadium Nasional, Bukit Jalil biarpun Malaysia gagal layak ke separuh akhir selepas diikat oleh Singapura 0-0 dalam perlawanan Kumpulan A Kejohanan ASEAN 2024-2025 pada 20 Disember 2024. - Kredit foto: FAM
“MALAYSIA akan menjadi pasukan kebangsaan kegemaran saya yang saya sokong dari tanah air saya (Sepanyol).”
“Saya harap legasi layak ke Piala Asia (2023/2024) setelah sekian lama (sejak 1980) jadi sesuatu yang akan orang ramai kenangi, berterusan, berkembang dan meningkat.”
“Semua mereka terbaik. Tidak
kisah siapa datang dan tidak datang, ini pasukan kebangsaan (Harimau Malaya).
Pemain-pemain yang di sini (Kejohanan ASEAN 2024-2025), mereka telah buat yang
terbaik.”
Ketiga-tiga petikan ulasan tulus ini datangnya daripada hati dan mulut Pau Marti Vicente yang menamatkan tugasnya sebagai ketua jurulatih negara sejurus selepas diikat oleh Singapura 0-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Satu mata dalam pertembungan jiran Tambak pada 20 Disember 2024 ini tidak cukup menganjakkan Malaysia ke separuh akhir kejohanan anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) ini dari tempat ketiga Kumpulan A.
Hanya satu gol kemenangan yang
ditagih setelah Thailand memudahkan laluan kita dengan menjinakkan Kemboja 3-2
di Bangkok, gagal dihasilkan oleh Malaysia terutama menerusi dua
peluang keemasan minit ke-41 dan 61, sekalipun turut ditemani ramai Pemain Ke-12nya daripada 31,127 hadirin stadium.
Ternyata rezeki tidak berpihak Malaysia menerusi sungkitan bola hasil larian solo Haqimi Azim Rosli yang juga gagal disambung Daniel Sang Ting dan tandukan Paulo Josue serta rembatan susulan kaki kiri Harith Haiqal Adam Afkar yang terkena palang gol Singapura dan ditampan pemain lawan.
HAQIMI Azim Rosli (7) cuba menanduk bola dalam persaingan di udara sambil diawasi Stuart Wilkin (8) dan Daniel Sang Ting (kiri). - Kredit foto: FAM
Mulai 1 Januari 2025, ‘kerusi panas’ Pau itu akan berpindah milik kepada Peter Cklamovski, warga Australia yang disasarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memacu Harimau Malaya ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi menerusi Kelayakan Akhir mulai 25 Mac 2025 hingga 31 Mac 2026.
Pau, 41, mengakui anak-anak
buahnya yang turut mengikat Kemboja 2-2, menewaskan Timor-Leste 3-2 dan
ditewaskan oleh Thailand 1-0 untuk mengumpul lima mata sepanjang kempen Kejohanan ASEAN,
patut layak ke separuh akhir dengan corak sentiasa mengasak Singapura dalam
sebahagian besar permainan.
“Tidak boleh nafikan, kami patut layak ke separuh akhir. Sukar katakan apa yang kami boleh buat dengan pasukan lain (diperkasa lebih ramai tonggak negara yang enggan dilepaskan kelab-kelab Liga Malaysia).
“Tidak adil dengan pasukan ini. Kita tidak dapat tahu dalam konteks dan situasi lain, jika semua pemain diperoleh dan dilepaskan kelab (pencapaian Harimau Malaya akan lebih baik),” katanya.
PAU Marti Vicente terkilan pasukan negara gagal mengutip kemenangan hanya dengan satu gol menentang Singapura untuk layak ke separuh akhir Kejohanan ASEAN walaupun menguasai permainan. - Kredit foto: FAM
Pau yang memangku jawatan ketua jurulatih ekoran pengunduran mengejut Kim Pan-gon, warga Korea Selatan pada 16 Julai 2024 sebelum dinaikkan pangkat 21 Ogos 2024, menambah, “saya buat yang sebahagian kecil sahaja.
“Kadangkala anda menang, kadangkala anda kalah. Kadangkala anda boleh meraikan, kadangkala tidak. Yang paling penting ialah hubungan dengan pemain, (sebagai) jurulatih yang dihormati pemain-pemain.
“Saya hanya mahu mereka mengenang saya dan semua (barisan penolong) jurulatih, orang yang baik yang cuba membantu mereka,” ujarnya.
Pau bermula dengan baik apabila Harimau Malaya mencapai kemenangan 2-1 dan 1-0 terhadap Filipina dan Lebanon pada 4 dan 8 September 2024 untuk menjuarai Pestabola Merdeka Ke-43 di Bukit Jalil.
Namun pasukannya dibelasah olwh New Zealand 4-0 di Auckland sebelum menewaskan Laos 3-1 di Bangkok dan diikat India 1-1 di Hyderabad sepanjang siri perlawanan antarabangsa tahap 1 dari Oktober hingga November 2024. - KitaReporters
MALAYSIA: Haziq Nadzli, Syamer Kutty Abba, Declan Lambert, Daniel Sang Ting, Jimmy Raymond (Ahmad Khuzaimi Piee), Dominic Tan (Fergus Tierney), Haqimi Azim Rosli (Paulo Josue), Stuart Wilkin (Syafiq Ahmad), Endrick Dos Santos, Sergio Aguero (Fazrul Amir Zaman), Harith Haiqal Adam Afkar.
HARITH Haiqal Adam Afkar (18) yang membantu penjaga gol Haziq Nadzli (jersi biru) di kubu negara, hampir dapat menyingkirkan Singapura jika rembatan susulannya tidak mengena kaki pemain lawan di atas garisan gol. - Kredit foto: FAM