Bisnes & Ekonomi 30 Oct, 2022

Bantuan Musim Tengkujuh pekebun kecil ditambah RM200! Jadi RM800! Makmur bersama Keluarga Malaysia!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) untuk pekebun-pekebun kecil akan ditambah sebanyak RM200, yakni dari RM600 pada tahun 2022 kepada RM800 pada tahun hadapan (2023) jika pekebun-pekebun kecil mahu makmur bersama Keluarga Malaysia.

"Baru-baru ini di Tapah, Perak saya telah mengumumkan bahawa Kerajaan bersetuju meluluskan sejumlah RM191 juta untuk BMT yang melibatkan seramai 232,319 pekebun kecil RISDA

'Kesemua pekebun kecil bakal menerima bantuan sebanyak RM600 yang disalurkan secara berperingkat-peringkat iaitu RM300 pada bulan hadapan (November 2022) dan RM300 pada bulan Disember ini. 

"Bagi BMT di negeri Pahang, sukacita saya mengumumkan seramai 24,237 pekebun kecil bakal menerima bantuan pada bulan hadapan (November 2022) dan Disember dengan jumlah peruntukan berjumlah RM14.54 juta.  

"Insya-Allah, pada tahun depan (2023), jika Kerajaan saya dipilih semula pada PRU15, BMT ini akan ditambah sebanyak RM200 menjadi RM800 dengan peruntukan sebanyak RM256 juta selama empat bulan kepada pekebun kecil RISDA dan FELDA seramai 320,000 orang," jelasnya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pekebun-pekebun kecil


Ismail Sabri berkata demikian pada Majlis Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia @ Bera pada Ahad, 30 Oktober 2022 di Padang Awam, Kampung Batu Papan, Bera.

Katanya, Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan lebih besar kepada masyarakat pekebun kecil iaitu peningkatan sebanyak 18.1 peratus berjumlah RM600 juta berbanding RM508 juta yang disalurkan pada tahun ini (2022). 

"Peruntukan ini membuktikan bahawa Kerajaan amat prihatin kepada pembangunan sektor komoditi getah yang diusahakan oleh pekebun kecil," katanya lagi. 

Perdana Menteri menjelaskan, pada pembentangan Bajet 2023 yang lalu, Kerajaan telah memperuntuk sebanyak RM2.6 bilion kepada sektor komoditi yang turut melibatkan RISDA sebagai antara agensi utama yang mengawal selia aktiviti komoditi menerusi lima inisiatif.

"Insya-Allah, kesemua inisiatif tersebut akan dilaksanakan jika semua pekebun kecil di negara ini memberi mandat kepada Kerajaan saya pada PRU15 akan datang," tambah beliau. - KitaReporters



Teks ucapan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri, sempena Majlis Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia @ Bera pada Ahad, 30 Oktober 2022 di Padang Awam, Kampung Batu Papan, Bera, Pahang :


1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya ucapkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berkumpul bersama-sama sempena Majlis Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia pada hari ini. 

2. Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan penghargaan kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid, Menteri Pembangunan Luar Bandar; Yang Berhormat Datuk Seri Haji Mohd Salim bin Mohd Sharif, Pengerusi RISDA dan seluruh warga RISDA di atas komitmen serta perjuangan memartabatkan kemakmuran pekebun kecil. 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

3. Kerajaan sedar betapa pentingnya sektor penanaman getah kepada peningkatan ekonomi negara dan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif dan bantuan bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil. 

4. Sebagai contoh, tanaman getah adalah satu-satunya komoditi yang masih diberi bantuan penuh oleh Kerajaan seperti Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sekiranya harga pasaran getah berada di bawah paras RM2.50 sekilogram. 

5. Selain itu, Program Tanam Semula Getah dengan sasaran keluasan 20,000 hektar, kini telah melebihi 10,000 hektar dengan penyertaan sebanyak 7,180 pekebun kecil. 

6. RISDA juga menerima permohonan tanam semula getah seluas 18,524 hektar daripada 12,381 pekebun kecil di seluruh negara. 

7. Pekebun kecil di negeri Pahang turut menyumbang kepada peningkatan kawasan penanaman semula seluas 1,354.69 hektar melibatkan 901 pekebun kecil dengan peruntukan berjumlah RM43.6 juta bagi semua program pembangunan komoditi getah. 

8. Bagi Parlimen Bera, sebanyak RM1.15 juta telah disalurkan bagi kegiatan tanam semula seluas 150 hektar meliputi bantuan seperti jalan pertanian sejauh 15.43km dan empat unit infrastruktur pemasaran hasil serta prasarana pertanian.



Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

9. Bagi meningkatkan pendapatan menerusi produktiviti hasil getah, Kerajaan telah memperkenalkan Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG) melibatkan peruntukan sebanyak RM31.1 juta bagi mencapai pengeluaran hasil sebanyak 1,800kg/ hektar/tahun. 

10. Alhamdulillah, inisiatif tersebut telah dimanfaatkan oleh 29,205 pekebun kecil di seluruh negara termasuk 4,344 pekebun kecil di Pahang dan seramai 602 pekebun di Bera. 

11. RISDA juga telah berjaya melahirkan seramai 23,522 orang usahawan bimbingan RISDA di seluruh negara melalui bantuan berjumlah RM56.3 juta. 

12. Tahun ini, sejumlah RM4.81 juta diperuntukkan bagi memperkasa Program Pembangunan Usahawan di negeri Pahang yang memberikan faedah kepada seramai 474 pekebun kecil RISDA dan 34 usahawan dari daerah Bera.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

13. Baru-baru ini di Tapah, Perak saya telah mengumumkan bahawa Kerajaan bersetuju meluluskan sejumlah RM191 juta Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) yang melibatkan seramai 232,319 pekebun kecil RISDA. 

14. Kesemua pekebun kecil bakal menerima bantuan sebanyak RM600 yang disalurkan secara berperingkat iaitu RM300 pada bulan hadapan dan RM300 pada bulan Disember ini. 

15. Bagi BMT di negeri Pahang, sukacita saya mengumumkan seramai 24,237 pekebun kecil bakal menerima bantuan pada bulan hadapan dan Disember dengan jumlah peruntukan berjumlah RM14.54 juta.  

16. Insya-Allah, pada tahun depan, jika Kerajaan saya dipilih semula pada PRU15, BMT ini akan ditambah sebanyak RM200 kepada RM800 dengan peruntukan sebanyak RM256 juta selama empat bulan kepada pekebun kecil RISDA dan FELDA seramai 320,000 orang.

17. Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan lebih besar kepada masyarakat pekebun kecil iaitu peningkatan sebanyak 18.1 peratus berjumlah RM600 juta berbanding RM508 juta yang disalurkan pada tahun ini. 

18. Peruntukan ini membuktikan bahawa Kerajaan amat prihatin kepada pembangunan sektor komoditi getah yang diusahakan oleh pekebun kecil. 



Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

19. Pada pembentangan Bajet 2023 yang lalu, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2.6 bilion kepada sektor komoditi yang turut melibatkan RISDA sebagai antara agensi utama yang mengawal selia aktiviti komoditi. 

20. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan bagi memajukan sektor komoditi negara adalah seperti berikut: 

Pertama, RM315 juta bagi Program Pembangunan Kawasan Bertanam Getah Pekebun Kecil untuk menggantikan pokok getah tua untuk manfaat 387,000 pekebun kecil.

Kedua, Program Pembangunan Semula Hasil Baharu bagi menggalakkan pekebun kecil meneroka pendapatan baharu selain getah seperti tanaman makanan jangka pendek dengan peruntukan RM40 juta.  

Ketiga, Bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah, Insentif Pengeluaran Lateks diperkenalkan bersama sama dengan program TARGET untuk menambah baik rantaian bekalan bahan mentah getah melalui koperasi 

Keempat, Skim Perlindungan Pertanian akan turut diperkenalkan untuk melindungi pengusaha pertanian daripada sebarang risiko luar kawalan seperti cuaca, penyakit dan makhluk perosak, bermula dengan pesawah padi 

Kelima, Bagi orang Asli di Bera, Projek Tanam Semula Ladang Orang Asli akan dilaksanakan merangkumi kerja kerja penanaman semula getah dan kelapa sawit 

21. Insya-Allah, kesemua perkara tersebut akan dilaksanakan jika semua pekebun kecil di negara ini memberi mandat kepada Kerajaan saya pada PRU15 akan datang. 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

22. Sektor komoditi adalah salah satu sektor penting yang menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan Kerajaan sentiasa komited memastikan segala inisiatif dan bantuan dapat disalurkan demi kemakmuran dan kesejahteraan komuniti pekebun kecil. 

23. Besarlah harapan saya agar semua pekebun kecil terutama di negeri Pahang untuk terus mengambil peluang yang disediakan oleh Kerajaan melalui program dan bantuan pembangunan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan RISDA. 

24. Saya amat berterima kasih kepada RISDA di atas kejayaan merealisasikan pelbagai pembangunan sosio-ekonomi seperti mana yang disasarkan demi peningkatan taraf hidup pekebun kecil. 

25. Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus dalam menjayakan program pada hari ini.

26. Marilah bersama-sama memainkan peranan menjunjung semangat Keluarga Malaysia dan saling bermuafakat antara satu sama lain. 

27. Dengan kata-kata dan harapan tersebut, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, merasmikan Majlis Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia. 


15
6
0
23
0
You will be interested