Seni & Sukan 23 Nov, 2022

Terbaiklah! Keluarga Malaysia bela nasib warga emas tanpa waris, tersisih! Program Prihatin staf MQA!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


Izzatyliyana Ashaari (dua dari kanan) bersama rakan setugas bertanya khabar seorang warga emas yang melahirkan rasa bertuah menjadi penghuni di PJMM.


KUNJUNGAN kali pertama kakitangan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam Program Prihatin ke Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor menyuntik kesedaran untuk terus membantu serta menyantuni warga emas yang memerlukan pembelaan.

Diketuai Penolong Pengarah Unit MQA International, Izzatyliyana Ashaari dan disertai empat kakitangan MQA iaitu Basir Zahrom, Mior Ahmad Tisnida Mohd Nasir, Mohd Kamarul Azhar Kamarudin dan Aida Osman meninggalkan kesan yang mendalam apabila mereka dapat melihat secara dekat penghuni di PJMM dalam program berkenaan pada 16 November 2022.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pusat jagaan warga emas

Basir Zahrom (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan Program Prihatin MQA kepada Azman sambil diperhatikan Izzatyliyana (kiri). 


Izzatyliyana berkata, dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MQA sebelum ini mereka menziarahi anak yatim di bawah jagaan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) dengan menghulurkan bantuan keperluan asas dan baucar makanan.

Menurutnya, apabila berpeluang mengunjungi PJMM keadaannya amat berbeza dan sayu hati melihat warga emas tanpa waris, disisih oleh keluarga serta yang mendapat tempat berlindung di situ menjalani kehidupan dalam usia yang lanjut

“Amat terkesan apabila ada antara warga emas terbabit makin berkurang daya ingatan dan memerlukan kasih sayang dan kemesraan daripada ahli keluarga dengan mengharap disantuni dengan baik.

“Seperti dimaklumkan warga emas ini tidak diabaikan khusus mereka yang terlantar di atas katil kerana sakit dan keuzuran  tetap dilayani petugas PJMM bagaikan seorang bapa atau ibu yang tidak ditagihkan sebarang bayaran,” katanya.


Izzatyliyana (tiga dari kiri) bersama rakan setugas melihat menu makan tengah hari yang disediakan oleh cef Adnan di PJMM untuk warga emas.


Dalam program berkenaan Izzatyliyana bersama rakan setugas menghulurkan sumbangan MQA berupa 31 hamper barangan makanan asas dan 100 pek ‘hygiene kit’ (kit kebersihan). Turut hadir pada program berkenaan Pengerusi PJMM, Azman Rasman dan Pengurusnya, Sazali Mohiden

Izzatyliyana berkata, program itu juga memberi gambaran mengenai keperluan yang sebenar diperlukan satu-satu pusat jagaan supaya barangan diinfak atau disumbangkan tidak membazir malah menepati sasaran aktiviti yang dibuat.


Izzatyliyana bersama rakan setugas melihat petugas Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) menyantuni warga emas yang terlantar di atas katil pada Program Prihatin MQA pada 16 November 2022.


Jelasnya, setiap sumbangan itu adalah bermatlamat meringankan bebanan pusat jagaan seperti PJMM yang beroperasi dengan mengharap ihsan daripada pelbagai pihak kerana mereka tidak mengenakan sebarang bayaran kepada penghuni. 

Dengan demikian, beliau berharap program kali pertama yang diadakan itu dapat menyuntik semangat serta kesedaran kepada warga MQA untuk berbakti dan menghulurkan bantuan kepada warga emas tidak kira di mana berada.

“Ini juga secara tidak langsung mampu menjadikan organisasi MQA sebagai sebuah organisasi yang prihatin terhadap mereka yang memerlukan bantuan dan pembelaan bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya. - KitaReporters


Azman Rasman (kanan) menceritakan sejarah pembukaan PJMM dan warga emas yang menjadi penghuni kepada staf MQA.

22
17
0
11
0
You will be interested