Santai 10 Feb, 2020

NAGARI SARILAMAK LAWAT KAMPUNG SERI LEMAK

@rosmah dain
Hampir 24 tahun dalam bidang kewartawanan. Bekas Penolong Pengarang Meja Keluarga dan Wanita akhbar Utusan Malaysia. Penerima Anugerah Reben Merah bagi tahun 2006, 2012 dan 2018. Kini penulis sambilan.

Share this
SERAMAI 13 peserta rombongan dari Nagari Sarilamak, Kabupaten 50 kota di Sumatera Barat, Indonesia  telah mengadakan kunjungan balas ke Kampung Seri Lemak, Rembau, Negeri Sembilan, baru-baru ini sebagai usaha mengikat silaturahim dua bumi Minangkabau. : KitaReporters.com

Rombongan dari Nagari Sarilamak.


Program Majlis Kunjungan Tetamu Kerapatan Adat kedua-dua buah kampung selama dua hari berkenaan, merupakan lawatan balas hasil kunjungan yang dilakukan menerusi Program Jejak Persukuan Adat Perpatih Suku Seri Lemak ke Nagari Sarilamak pada tahun 2013.

Rombongan berkenaan yang diketuai Ketua Adat Nagari Sarilamak, Datuk Putiah H. Amri disambut penuh meriah oleh penduduk Seri Lemak dengan mengadakan pelbagai aktiviti, yang diketuai Dato' Sinda Maharaja Kampung Seri Lemak, Dato' Baharin Sharif.

Majlis sambutan diadakan di Masjid Kariah Kampung Seri Lemak.

BAHARIN SHARIF


Menjelaskan mengenai program berkenaan, Baharin berkata, Program Jejak Persukuan Adat Perpatih Suku Seri Lemak telah bermula pada Ogos 2013 ekoran cetusan idea daripada salah seorang Ahli Jawatankuasa (AJK)  Persatuan Ikatan Kekeluargaan dan Warisan Adat Minang Negeri Sembilan (IKWAMNS), Mohammad Hanafiah Maulud.

Ia selaras berkaitan naluri ingin tahu mengenai asal usul kewujudan nama suku Seri Lemak dan ketokohan Datuk Putih yang membuka Kampung Seri Lemak, pada 1520, iaitu kira-kira 500 tahun lalu.

"Sewaktu kunjungan ke sana, kami telah menerima sambutan yang sangat baik oleh Wali Nagari dan Datuk Putih serta warga Nagari Sarilamak dan seterusnya berlangsung sesi dailog, pertukaran maklumat mengenai adat dan suku yang dikatakan sama di bawah konsep Adat Perpatih di Nagari berkenaan.

‘’Sebelum kami pulang, rombongan Seri Lemak telah mempelawa warga Nagari untuk mengunjungi Kampung Seri Lemak, yang membawa kepada lawatan balas pada 12 Januari 2020.

‘’Peristiwa ini merupakan satu sejarah adat dan sangat bermakna kepada pewaris dan suku warga Kampung Seri Lemak,’’ tambahnya.

MOHD. IZAL IBRAHIM


Sementara itu, Pengerusi Kg Seri Lemak, Mohd. Izal Ibrahim berkata, program seperti ini diharap dapat meneruskan semangat silaturahim serumpun adat dan budaya di antara kedua-dua buah kampung.

"Ini penting agar aktiviti seperti ini dapat dikembangkan dan diserlahkan khazanahnya agar tidak terpupus sebagai pemangkin kepada pewaris generasi muda agar lebih mengenali asal usul suku dan memahami pewarisan  Adat Perpatih yang sepatutnya diamalkan,’’ jelasnya.

MOHAMMAD HANAFIAH MAULUD


Program Jejak Persukuan Adat Perpatih Suku Seri Lemak telah dicetuskan oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Ikatan  Kekeluargaan dan Warisan Adat Minang Negeri Sembilan (IKWAMNS), Mohammad Hanafiah Maulud.

Beliau sendiri mengakui tercari-cari asal usul suku Seri Lemak secara peribadi, lebih kurang 20 tahun lalu.

"Saya sentiasa memikirkan bagaimana untuk mencari asal usul suku Seri Lemak, maka tercetuslah idea untuk pergi ke Sumatera Barat dan mendapatkan maklumat yang diperlukan, berdasarkan dua kriteria iaitu nama Suku Seri Lemak dan nama tokoh Datuk Putih yang berasal dari Sarilamak.

"Mengikut sejarah, Datuk Putih telah datang ke sini dan membuka sebuah petempatan di sekitar kawasan di sini.  Penduduk setempat memberi kebenaran untuk membuka perkampungan di sini yang sebelum itu kawasan berkenaan dinamakan Lubuk Rusa. 

"Peristiwa ini berlaku pada tahun 1520, iaitu kira-kira 500 tahun dulu,’’ kata beliau yang bersyukur kerana hasratnya untuk menyatukan kembali asal usul suku Seri Lemak dan Nagari Sarilamak tercapai.

"Sebelum ke sana saya sendiri telah mendapatkan maklumat mengenai nagari dan suku itu sendiri, menerusi platform, Majlis Belia Seremban, IKWAMNS serta Muzium Negeri Sembilan yang terpanggil untuk memberi dana.

"Perkhemahan Serumpun Budaya di Sumatera Barat yang dianjurkan Majlis Pengakap Malaysia yang disertai pada tahun 2010 telah memantapkan pencarian saya mengenai Nagari Sarilamak, sehingga dapat berjumpa dengan Wali Nagari dan Datuk Putih,’’ jelas Hanafiah.

Rentetan daripada itu, Hanafiah telah menubuhkan grup kecil untuk menjejak kaki ke Nagari Sarilamak dan seterusnya pada 16 hingga 18 Disember 2013, seramai 30 warga Kampung Seri Lemak diterajui Aziz Simek telah mengadakan lawatan ke Nagari Sarilamak, Sumatera Barat, Indonesia.  

Menjelaskan selanjutnya, Hanafiah memberitahu, perkataan Nagari itu merupakan rujukan kepada sesebuah kampung.

Apabila Datuk Putih yang berasal dari Nagari Sarilamak, membuka kampung dan dinamakan Seri Lemak, penduduk di sini yang merupakan berasal dari keturunan Nagari Sarilamak ini dinamakan sebagai suku Sari Lamak atau suku Seri Lemak. - KitaReporters.com

Penduduk Kampung Seri Lemak, Rembau, Negeri Sembilan melakukan persiapan menyambut kedatangan rombongan. 


Rombongan dari Nagari Sarilamak diketuai Datuk Putiah H. Amri (duduk) disambut penuh meriah oleh penduduk Kampung Seri Lemak. 

6
0
0
0
0
You will be interested

SAH!! MAJLIS NIKAH DI DEPAN RUMAH TOK KADI

Tular dalam media sosial, satu majlis pernikahan yang diadakan di pekarangan rumah tok kadi dalam keadaan mengamalkan ‘social distancing’ kerana COVID-19

Yati Yazid in Santai 4 years ago

MAI-MAI!! JOM BORAK DENGAN ARTIS WARNER

Program #StayAtHome With Warner Music akan disiarkanbermula pukul 8.30 malam hari Sabtu, 21 Mac 2020 melalui akaun media sosial Instagram Warner Music Malaysia
Fariza Saidin in Santai 4 years ago

RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago

TERBAIKLAH KHAI! HERO BEBAS DADAH PBB!!

Khairudin Aziz terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah anjuran PBB di Amerika Syarikat
Wan Noor Hayati Wan Alias (Allahyarham) in Santai 4 years ago

CINTA BOLLYWOOD: RANBIR KHIANATI DEEPIKA

Pelakon Bollywood, Deepika Padukone mendedahkan dalam satu wawancara bagaimana cinta sucinya dinodai dua kali oleh kekasihnya sendiri, aktor Ranbir Kapoor
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago