Santai 30 Jan, 2020

HELANG MERAH BELUM CECAH STATUS ACL LAGI

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

BELUM mencapai piawaian Liga Juara Asia (ACL) dan masih bertaraf Liga Malaysia sahaja. Seperti sudah jatuh ditimpa tangga apabila saingan lebih rendah, Piala AFC pun tidak dapat lagi dinikmati sedangkan hadir sebagai juara Piala FA. : KitaReporters.com



Itulah rumusannya selepas Kedah kempunan tiket ke Kumpulan E ACL 2020 gara-gara dibenam FC Seoul 4-1 dalam perlawanan play-off di Stadium Piala Dunia, Seoul pada Selasa, 28 Januari 2020.

Kekalahan ini turut bererti skuad kendalian Aidil Sharin Sahak mengucapkan selamat tinggal lebih awal kepada ACL musim ini hanya selepas dua perlawanan sedangkan sepak mula peringkat kumpulan ialah 11 Februari.

Di Stadium Darul Aman, Alor Star minggu lalu, Si Helang Merah begitu garang membelasah Wofoo Tai Po dari Hong Kong 5-1 dalam peringkat awal ACL.

Justeru seperti musim 2019, Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi wakil tunggal Malaysia dalam ACL yang bakal ditentang oleh Vissel Kobe (Jepun), Suwon Samsung Bluewings (Korea Selatan) dan Guangzhou Evergrande FC (China) dalam Kumpulan G.

KAPTEN Kedah, Baddrol Bakhtiar (kanan) hampir rebah dalam perebutan bola dengan Kim Han-gil dalam play-off ACL 2020 di Seoul, semalam. - Foto the-afc.com


Penjaga gol Kedah, Shahril Saa’ri yang mulanya menyekat banyak serangan FC Seoul, tertewas juga dengan sepakan penalti Park Chu-young selepas rakan pertahanan, Renan Alves tertampan bola dengan tangan, minit ke-39.

Pemain import Kedah dari Brazil itu turut dilayangkan kad merah, sekali gus pelawat terpaksa bermain dengan 10 orang selama lebih 51 minit.

Ketiadaannya menonjolkan kepincangan Kedah malah menjadi titik tolak kegarangan FC Seoul mengasak malah sentiasa berkampung di kubu lawan.

Gol kedua tuan rumah muncul sebaik sahaja babak kedua berusia empat minit menerusi Park Dong-jin yang menanduk masuk hasil umpanan Hwang Hyun-soo.

Kedah merapatkan jurang gol 1-2 apabila sepakan bebas Baddrol Bakhtiar pada minit ke-52 mendorong pemain import lawan, Osmar Ibanes Barba tertanduk ke gawang sendiri sambil menewaskan Yu Sang-hun.  

Namun Osmar menebus kesilapannya dengan meledakkan rembatan kencang persis peluru dalam sepakan percuma yang tidak mampu ditangkis oleh Shahril pada minit ke-63.

FC Seoul kian jauh selesa dengan gol keempatnya setelah rembatan lencong jarak jauh pemain import dari Uzbekistan, Ikromjon Alibaev menerjah masuk sambil memukau Shahril ketika dua minit masa kecederaan.

PERANTARA Kedah, Amin Nazari (kanan) cuba merampas bola daripada kawalan pemain FC Seoul, Ju Se-jong. - Foto the-afc.com


FC Seoul yang muncul ketiga terbaik Liga Korea Selatan 2019, kini menganggotai Kumpulan E ACL dengan Beijing Guoan (China), Chiangrai United (Thailand) dan Melbourne Victory (Australia).

JDT juga hanya diberikan slot automatik ACL itu mulai musim lalu setelah tiga kali percubaannya terkandas pada peringkat play-off 2016, 2017 dan 2018.

Perak juga kempunan ke ACL 2019 apabila dibelasah oleh Ulsan Hyundai dari Korea Selatan 5-1 dalam play-off, manakala Pahang pernah menarik diri daripada Piala AFC 2018 sehingga mengakibatkannya digantung dua tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

WINDSOR PAUL JOHN


Beberapa hari lalu, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John mengumumkan penambahan satu lagi slot untuk pasukan negeri atau kelab Malaysia ke Piala AFC 2021 atau 1+2 (1 ACL + 2 AFC).

Terdahulu AFC hanya memberikan satu tiket automatik yang kini dimiliki juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak musim 2019, manakala satu lagi pasukan Liga M (juara atau naib juara Piala FA) perlu mengharungi perlawanan playoff ke ACL.

Namun mekanisme pemilihan bagi mengisi slot kedua Malaysia dalam Piala AFC 2021 akan ditentukan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) termasuk sama ada kemungkinannya melibatkan status juara Piala Malaysia.

Bagi Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam, pihaknya mengakui amat menghargai pemberian slot tambahan Piala AFC itu oleh badan induk Asia berkenaan, malah percaya dapat memanfaatkan negara membangun bola sepak seperti Malaysia bersaing pada peringkat lebih tinggi.

“Walaupun peluang layak ke ACL menjadi terhad, saya berasa slot berkenaan turut akan dapat meningkatkan mentaliti pencabar Liga Super untuk bersaing merebut peluang tersebut," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Pertandingan AFC. - KitaReporters.com

0
0
2
0
0
You will be interested

SAH!! MAJLIS NIKAH DI DEPAN RUMAH TOK KADI

Tular dalam media sosial, satu majlis pernikahan yang diadakan di pekarangan rumah tok kadi dalam keadaan mengamalkan ‘social distancing’ kerana COVID-19

Yati Yazid in Santai 4 years ago

MAI-MAI!! JOM BORAK DENGAN ARTIS WARNER

Program #StayAtHome With Warner Music akan disiarkanbermula pukul 8.30 malam hari Sabtu, 21 Mac 2020 melalui akaun media sosial Instagram Warner Music Malaysia
Fariza Saidin in Santai 4 years ago

RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago

TERBAIKLAH KHAI! HERO BEBAS DADAH PBB!!

Khairudin Aziz terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah anjuran PBB di Amerika Syarikat
Wan Noor Hayati Wan Alias (Allahyarham) in Santai 4 years ago

CINTA BOLLYWOOD: RANBIR KHIANATI DEEPIKA

Pelakon Bollywood, Deepika Padukone mendedahkan dalam satu wawancara bagaimana cinta sucinya dinodai dua kali oleh kekasihnya sendiri, aktor Ranbir Kapoor
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago