Santai 18 Jan, 2020

PERGHH!! VAKSIN INFLUENZA A 'LAKU KERAS' DI ISN

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

STOK suntikan vaksin bagi mencegah penyakit influenza A telah habis bagaikan pisang goreng panas. Adakah disebabkan banyak pihak telah ‘menekan butang panik’ atau kerana mereka mengambil sikap ‘sediakan segera payung sebelum ditimpa hujan’? : KitaReporters.com

AHMAD Faedzal Md. Ramli (kiri) dan Windsor Paul John pada sidang media selepas penauliahan PPSN ISN sebagai Pusat Kecemerlangan Perubatan AFC. - Foto ISN


Seperti mana juga kata orang muda sekarang, vaksin tersebut didapati ‘laku keras’ di Pusat Perubatan Sukan Negara (PPSN), Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil di Kuala Lumpur.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN, Ahmad Faedzal Md. Ramli selepas majlis penauliahan PPSN sebagai Pusat Kecemerlangan Perubatan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Katanya, atlet-atlet di bawah program elit dan pelapis di sekitar Bukit Jalil termasuk Majlis Sukan Negara (MSN) merupakan antara yang terbesar mendapatkan suntikan vaksin berkenaan.

Negara baru-baru ini dikejutkan dengan penularan wabak influenza itu atau bahasa mudahnya, selesema akibat jangkitan virus melalui titisan salur pernafasan yang dilepaskan pesakit melalui batuk atau bersin.

Virus influenza ini yang kerap bermutasi menurut keadaan persekitaran, ubat dan antibodi badan juga mendorong beberapa sekolah terpaksa ditutup setelah para pelajarnya dikesan telah dijangkitinya.

“ISN menawarkan khidmat suntikan vaksin influenza A ini kepada atlet, tetapi stoknya sudah habis hanya dalam sehari.

“Kami juga menasihatkan atlet agar sentiasa menjaga kesihatan diri,” katanya yang dilantik sebagai CEO ISN pada 25 Februari 2019, sekali gus muncul penyandangnya yang kelima.

Penauliahan PPSN disampaikan oleh Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John.

Turut menyaksikannya ialah Pengerusi Jawatankuasa Perubatan AFC, Datuk Dr. Gurcharan Singh dan Pengarah Agensi Antidoping Malaysia (Adamas), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz.

Ingatan Faedzal itu merujuk kalangan mereka dalam sukan yang memerlukan berlatih atau bertanding di tempat terbuka dan mudah berisiko dijangkiti virus influenza A terutama di venue yang sesak dengan penonton.


Sementara itu, PPSN yang dirasmikan pada Julai tahun lalu, telah membuka satu lagi lembaran baharu sejarahnya dengan penauliahan kedua diberikan oleh AFC iaitu yang kedua di Malaysia selepas Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur.

“ISN menunggu empat hingga lima tahun untuk mendapat pengiktirafan Kementerian Kesihatan sebagai PPSN yang dilancarkan secara rasminya, 3 Julai 2019, sekali gus menjadi sayap berbayar Bahagian Perubatan Sukan.

“Kini penauliahan sebagai Pusat Kecemerlangan AFC pastinya membuka banyak peluang bagi pakar-pakar sains sukan kami bekerjasama dengan pasukan-pasukan bola sepak dalam kalangan ahli gabungan AFC pula.

“Akses dengan pasukan ini bakal lebih mudah dan terbuka. Jika ada mana-mana ahli gabungan AFC yang membuka kem latihan di sini, mereka boleh rujuk hal-hal kesihatan dan perubatan pemain terus dengan ISN,” katanya.

Kata Windsor, kejayaan sesebuah pasukan bola sepak turut dipengaruhi beberapa faktor hasil gabungan setiap jabatan dalam menuju satu matlamat yang sama.

“Antaranya pastilah kesejahteraan dan kesihatan pemain yang akan sentiasa menjadi keutamaan. Bola sepak Asia akan dapat banyak manfaat dengan kemunculan pusat seumpama ini di Bukit Jalil.

“ISN jelas telah berkongsi visi AFC ini dalam memajukan bola sepak Asia,” katanya, mengulas permohonan penauliahan itu yang dilakukan ISN sejak tahun lalu.

GURCHARAN Singh (kanan) ... Penauliahan AFC kepada PPSN ISN mengambil  kira aspek pendidikan, perubatan sukan, penyelidikan, pengubatan berasaskan bukti dan penjagaan piawaian antarabangsa. - Foto ISN


Sementara itu Gurcharan berkata, penauliahan pusat itu diputuskan oleh sebuah badan yang bebas tetapi melalui saringan penilaian yang ketat dengan mengambil kira beberapa aspek.

“Antaranya ialah pendidikan, prasarana, penglibatan perubatan sukan, amalan penyelidikan, amalan pengubatan berasaskan bukti dan penjagaan piawaian antarabangsa,” katanya.

AFC katanya pernah memberikan penauliahan ini kepada enam lagi pusat di seluruh Asia seperti Amiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand, Jepun, Australia, Iran dan India.

“Proses penauliahannya tidak sesekali mudah kerana ada juga begitu banyak permohonan yang perlu ditolak kerana tidak memenuhi kriteria tegas tersebut,” katanya.

ISN mempunyai kepakaran dalam perubatan sukan, fisioterapi dan pemulihan sukan, juruurut sukan, fisiologi, biomekanik, psikologi sukan, nutrisi, analisis prestasi dan suaian fizikal.

PPSN juga bekerjasama dengan Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Institut Jantung Negara dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Antara pakar ISN yang berpengalaman luas dan terlibat aktif ialah Ramlan, mantan CEO-nya dan Dr. Kamarul Hashimy Hussein, ahli jawatankuasa perubatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Lain-lain termasuk Dr. Azril Syazwan Mohd. Ali dan Dr. Jasmiza Khuzairi Jasme yang pernah menjadi Ketua Pegawai Perubatan dalam Sukan SEA, Komanwel, Asia dan Para Asia. - KitaReporters.com

0
0
0
0
0
You will be interested

SAH!! MAJLIS NIKAH DI DEPAN RUMAH TOK KADI

Tular dalam media sosial, satu majlis pernikahan yang diadakan di pekarangan rumah tok kadi dalam keadaan mengamalkan ‘social distancing’ kerana COVID-19

Yati Yazid in Santai 4 years ago

MAI-MAI!! JOM BORAK DENGAN ARTIS WARNER

Program #StayAtHome With Warner Music akan disiarkanbermula pukul 8.30 malam hari Sabtu, 21 Mac 2020 melalui akaun media sosial Instagram Warner Music Malaysia
Fariza Saidin in Santai 4 years ago

RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago

TERBAIKLAH KHAI! HERO BEBAS DADAH PBB!!

Khairudin Aziz terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah anjuran PBB di Amerika Syarikat
Wan Noor Hayati Wan Alias (Allahyarham) in Santai 4 years ago

CINTA BOLLYWOOD: RANBIR KHIANATI DEEPIKA

Pelakon Bollywood, Deepika Padukone mendedahkan dalam satu wawancara bagaimana cinta sucinya dinodai dua kali oleh kekasihnya sendiri, aktor Ranbir Kapoor
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago