KUIH akok merupakan antara puluhan kuih tradisional Kelantan yang digemari ramai. Keenakan pemanis mulut berbentuk bujur itu bukan sahaja menjadi pilihan penggemar dari negeri Pantai Timur malah penduduk luar. : KitaReporters.comKuih tradisional Kelantan, akok yang boleh didapati di Warung Seri Timur Kelantan di Ipoh, Perak.
Malah di bandar Ipoh ini, tidak sukar untuk orang ramai terutama 'anak Kelate' menikmati kuih tersebut kerana Warung Seri Timur Kelantan yang terletak di kawasan Perindustrian Rapat 2, Taman Seri Berjaya di Ipoh menyajikan pelbagai hidangan cita rasa Pantai Timur termasuk kuih akok.
Bagi pengusahanya, Fadzil Yusof, 61, atau lebih dikenali sebagai Pok Dil Akok, dia yang mengusahakan kedai tersebut sejak tahun 2007 membuat bancuhan akok berdasarkan resepi turun temurun keluarga.
Menurutnya, bagi setiap bancuhan, selain bahan-bahan asas seperti tepung, santan dan gula merah, dia menggunakan kira-kira 150 ke 200 biji telur untuk menghasilkan 300 biji akok sehari.
"Setiap hari, kami menyediakan minimum 300 biji akok, tetapi pada hujung minggu bilangan itu akan meningkat antara 500 ke 600 biji ekoran permintaan ramai pelanggan.
"Walaupun untuk membuat bancuhan akok ini kelihatan mudah, namun jika tidak menggunakan sukatan yang betul, hasil yang diperoleh tidak akan sedap dan tidak kena dengan selera ramai.
"Lagi pun, kuih akok ini adalah buatan asli anak Kelantan. Bancuhan yang saya buat sejak dari mula menjual akok ini tetap sama mengikut bancuhan dari Kelantan selain disesuaikan dengan cita rasa orang luar," katanya.
Menurut Pok Dil, kedai yang diusahakannya bersama isteri, dua orang anak dan menantu itu beroperasi bermula pukul 8.30 pagi hingga 3 petang pada hari Isnin hingga Sabtu.
Katanya, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila setiap hari orang ramai yang datang ke kedai sanggup beratur panjang untuk menikmati juadah seperti kuih akok, nasi kerabu, nasi dagang dan nasi berlauk Kelantan.
"Pelanggan yang datang bukan sahaja dari penduduk setempat, tetapi ada yang datang dari Sungai Siput, Batu Gajah dan Taiping.
"Mereka ini kebanyakannya tahu mengenai kedai ini daripada Facebook dan kawan-kawan yang pernah datang ke sini," katanya. - KitaReporters.com