ANDA pengumpul barang-barang lama atau ingin mencari barang lama sekadar sebagai penyeri hiasan dalam rumah?
PINGGAN MANGKUK, kasut dan pakaian dijual di pasar barang lama Taman Permata, Hulu Kelang, Selangor.
Bagi mereka yang tinggal di kawasan Hulu Kelang, Selangor khususnya dan kawasan sekitar seperti Wangsa Maju dan Gombak, tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan barang-barang lama ini.
Datanglah berkunjung ke pasar barang-barang lama di tempat letak kereta Taman Permata, Hulu Kelang setiap hari Ahad pagi hingga tengah hari. Pelbagai barangan lama dan terpakai akan anda temui di pasar ini.
Taman Permata berhampiran Taman Melewati dan Lembah Keramat. Mudah untuk sampai ke kawasan ini dengan melalui Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR) sama ada dari Setapak dan Gombak atau dari arah Cheras dan Ampang.
PENGUNJUNG meninjau barang lama yang dijual di pasar barangan lama.
Di pasar ini, ramai peniaga menjual pelbagai barang lama yang yang popular pada eranya, tetapi kini sukar diperolehi di pasaran biasa.
Antara barang-barang tersebut ialah radio, pinggan mangkuk, alat pemain kaset, seterika arang, buku, speaker, sofa, kain baju terpakai, kipas, kasut, pasu bunga (vase), pembakar roti (toaster), TV dan banyak lain.
Pilih sahaja barang yang anda minat pada harga berpatutan.
Barang-barang yang dijual bukan sahaja untuk koleksi atau hiasan tetapi masih berfungsi dan boleh digunakan.
SETERIKA arang, toaster, TV dan speaker dijual di pasar barang lama Taman Permata.
Seterika arang misalnya mungkin sesuatu yang asing bagi generasi sekarang. Tetapi seterika jenis inilah yang banyak digunakan pada masa dahulu, terutama di kampung-kampung.
Seterika elektrik ketika itu masih dianggap asing, apatah lagi bekalan elektrik masih tiada, khususnya di kawasan kampung pedalaman. Justeru seterika arang digunakan dengan meluas.
Tidak seperti seterika elektrik yang mudah dikawal ketika digunakan, seterika arang yang menggunakan bara arang atau bara tempurung kelapa lebih rumit untuk dikawal.
Ketika bara arang mula dimasukkan ke dalam badan seterika, kepanasannya akan terlalu tinggi. Seterika tidak boleh digunakan waktu ini kerana kepanasan melampau akan mengakibatkan pakaian rosak.
Apabila sudah sederhana panas barulah ia boleh digunakan. Semakin lama digunakan bahangnya semakin sejuk. Bara perlu ditambah.
Jika ada yang pernah merasai pengalaman menggunakan seterika arang ini, kembalikanlah kenangan anda dengan membeli seterika tersebut di pasar barang lama Taman Permata. Simpan satu sebagai kenangan.
BUKU dan majalah lama di pasar barang lama Taman Permata.
Peminat buku lama pula boleh memilih bahan bacaan yang diminati, sama ada yang berbahasa Melayu atau Inggeris. Kebanyakan yang dijual adalah novel atau majalah.
Buku-buku dan majalah ini masih elok, cuma kulit luaran sudah kelihatan agak pudar. Namun judul buku dan isi kandungan masih boleh jelas dibaca.
Bagi yang meminati kain baju atau kasut terpakai, ia juga ada dijual. Walaupun barang lama tetapi masih elok dan boleh dipakai. Pilihlah dan mungkin anda akanmenemui pakaian yang diminati dan sesuaidengan saiz.
Barang lain seperti pasu bunga hiasan memang cantik. Jika kuntuman bunga di rumah anda diletakkan dalam pasu lama ini pasti menimbulkan kombinasi lama dan baharu yang sangat menarik.
TV lama juga dijual. Namun ia adalah TV hitam putih dan diaktifkan secara ‘manual’. Ini bersesuaian dengan TV era lama yang tidak menggunakan alat kawalan jauh.
SEBAHAGIAN lagi barang-barang yang dijual di pasar barang lama.
Datanglah sendiri ke pasar barang lama di Taman Permata untuk menyaksikan sendiri barang jualan dan memilih mana yang berkenan di hati.
Sambil meninjau pasar, rehatkan diri dengan menikmati pelbagai makanan enak yang banyak dijual di gerai-gerai di kawasan keliling pasar berkenaan.
SEORANG peniaga di pasar barang lama, Farhan bersama barang-barang jualannya.