ASSALAMUALAIKUM dan selamat sejahtera. Kongsi minda bersih jiwa. : KitaReporters.com
Renungan.
Menulis Dari Jiwa
Mama ligat makan angin. Ayah sibuk bisnes. Anak pula makan hati
Kesepian dan kesunyian. Sesekali indah. Sesekali menjemukan.
Akan tetapi kesepian juga mengajar kita. Menghargai saat manis yang telah berlalu
Perkongsian hari ini.
Seorang gadis bernama Lela mengirim mesej kepada saya.
Katanya hendak berkongsi kisah mamanya.
Lama kami berbalas mesej, akhirnya saya setuju kerana kisahnya sangat baik dijadikan teladan buat para isteri yang bergelar ibu.
Kata Lela dia anak sulung dalam adik beradik tiga orang. Ada abang dan seorang adik. Ayah dan mamanya telah bersara tetapi ayahnya ada buat bisness.
Keseronokan bekerja mendorong mamanya terus enjoy selepas bersara. Jumpa kawan, pergi spa, "me time" dan melancong jadi pilihan mamanya.
Ayah pula sibuk dengan bisness.
Abangnya sudah berkahwin, adik di kolej. Tinggal Lela seorang di rumah.
Hidupnya sunyi kata Lela, walaupun bekerja, tak macam orang lain, boleh sembang dan bergurau dengan mama dan ayah serta adik beradik pada hujung minggu.
Itupun kata Lela dia boleh hadap.
Tapi bab mama kerap melancong dengan gengnya dia tak boleh terima. Lela sangat sedih.
Bukan tak boleh tapi kerap sangat.
Semuanya berlaku selepas bersara dua tahun lepas.
Cerita Lela, mamanya keluar masuk rumah, tarik beg macam tak ada tanggungjawab. Ayah pula 24 jam jumpa klien, awal pagi baharu balik.
Sudahnya dia yang makan hati.
Menurut Lela berhari-hari kadang berminggu-minggu mama ke luar negara dengan kawan kawannya. Ayah dengan urusan dia.
Sakit kepala fikirkan. Nak tegur mereka sepatutnya lebih tahu.
Ingatkan lepas bersara mama dan ayah ada banyak masa untuk anak-anak. Atau balik kampung kenduri kendara jumpa saudara mara dan lebih mendekatkan diri dengan Allah.
Tapi cara lain yang mama pilih untuk meraikan persaraannya.
Bukanlah niat Lela membuka aib mama dan keluarga tetapi untuk berkongsi kesedihannya dengan apa yang berlaku.
Kata Lela dia tahu ramai lagi yang senasib dengannya di luar sana.
Siapalah Lela untuk menegur, hanya kepada Allah dia berserah, semoga mamanya akan berubah.
Tak salah hendak enjoy. Tapi berpatut padan. Fikirkan tanggungjawab.
Tak salah melancong tapi biar kena caranya.
Memang jadi trend sekarang melancong jadi pilihan pesara terutama wanita. Ia satu aktiviti yang positif. Lagipun itu hak masing masing.
Duit sendiri. Buatlah apa suka.
Namun faktor status dan kedudukan juga perlu diambil kira.
Pun begitu tidak semua wanita lupa tanggungjawab kerana masih ada yang prihatin dengan orang yang mereka sayang. Cuma kita kadangkala ikut hati.
Terima kasih Lela kongsi cerita ini. Anda anak yang baik. Sayang mak ayah dan keluarga.
Insya-Allah keadaan akan pulih. Doa banyak banyak. Allah suka hamba-Nya yang meminta tolong kepada-Nya.
Semoga yang membaca beroleh manfaat. Yang melalui diberi rahmat.
Iktibar dari kisah ini:
Mengingatkan diri sendiri juga. Kembali kepada Dia. Berceritalah dengan Dia.
Utamakan rumah tangga dan keluarga dalam segala hal. Berpatut padan dalam berseronok jangan sampai lalai. Jangan ikut orang. Jadi diri sendiri.
Tidak salah hendak melancong setelah penat mencari rezeki bertahun-tahun. Memang digalakkan, tapi rancang dengan teliti supaya tanggungjawab terhadap rumah tangga tidak terabai.
Yang tidak ada suami, mungkin tak kisah sangat tapi bagi yang masih bersuami jika diizin, teruskan!
Jangan ikut hati, ikut kepala sendiri. Fikir pro dan kontranya.
Manisnya lagi, elok bawa suami atau isteri sekali, raikan bahagia bersama. Cara ini baik untuk kekalkan hubungan dan kasih sayang.
Namun pada masa yang sama, perasaan anak-anak perlu dijaga juga kerana mereka sudah dewasa dan melihat perlakuan kita sebagai ibu bapa.
Dahulu lain sekarang lain. Masa berubah, juga manusia.
Namun ada kala ujian mengajar kita lebih dewasa
Catatan ini sekadar teguran. Kerana kita ada pilihan.
Semoga kisah jadi teladan. Dalam mencari keberkatan. Pada sebuah kealpaan.
Mengundur diri, sepuluh jari saya susun mohon kemaafan andai ada yang terasa hati.
Tanpa niat sama sekali tapi mengharapkan satu perkongsian dalam mencari kebahagiaan.
❤️🌹 Kadangkala manusia bertindak di luar kehendak bukan kerana sengaja tetapi sebab terpaksa membuat pilihan untuk tidak menyakiti yang lain. 🌹❤️ - KitaReporters.com