Santai 28 Jan, 2020

ADUHAI!! 80% KEMUDAHAN SUKAN TAK DIGUNAKAN!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

KEMUDAHAN awam terutama yang berkaitan sukan dan rekreasi yang telah dimanfaatkan masyarakat di negara ini bagi menjalankan kegiatan itu dianggarkan hanyalah sekitar 20 peratus pada setiap bulan. Ini bermakna 80 peratus daripada kemudahan tersebut tidak digunakan! : KitaReporters.com  

TUNKU Imran Tuanku Ja'afar (empat dari kiri), Marina Chin (tiga dari kiri) dan M. Jegathesan (lima dari kiri) dalam sidang media pengumuman Persidangan Antarabangsa ‘Melangkaui Sukan: Bermulanya Warisan’ 2020 di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 17 Januari 2020.


Angka sambutan awam yang rendah ini disebabkan kekangan masa, cabaran pengangkutan, kurangnya semangat kerja sepasukan dan kesukaran dalam mendapatkan gelanggang.

Kadar dan faktor ini diperoleh sebuah syarikat pengumpulan data antarabangsa, Statista selain rekod dan statistik yang dicatat oleh Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA).

Pengerusi Yayasan Sime Darby (YSD), Tunku Tan Sri Imran Tunku Ja'afar berkata, negara ini sebenarnya mempunyai penggiat sukan dalam kalangan veteran atau yang berusia 35 tahun ke atas, yang agak besar.

“Pada September 2018, Malaysia juga menjadi tuan rumah Sukan Master Asia Pasifik Pertama di Pulau Pinang yang disertai 5,601 penggiat lelaki dan wanita dari 64 negara peserta dalam 22 jenis sukan selama sembilan hari.

“Sebanyak 3,328 atau 59 peratus daripada atlet yang menyertainya, datang dari Malaysia,” katanya yang juga bekas Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dari 1998 hingga 2018.

Temasya itu tidak hanya melibatkan kalangan bekas atlet sebenar atau profesional tetapi turut terbuka kepada anggota masyarakat selain bertujuan mengembalikan matlamat sebenar hidup mereka.

Antaranya ialah buat mereka yang pernah diserang penyakit yang berbahaya dan mengancam nyawa seperti kanser atau ditimpa kecederaan besar serta melatih menyertai industri sukan yang lebih besar.

Menyedari kekurangan penggunaan kemudahan awam sukan dan perlunya kadar itu ditingkatkan, YSD terdorong untuk menghimpunkan pakar-pakar sukan tempatan dan antarabangsa dalam mencari penyelesaian dan saranan menerusi Persidangan Antarabangsa ‘Melangkaui Sukan: Bermulanya Warisan’ 2020.

Persidangan ini dijadualkan berlangsung pada 31 Mac 2020 hingga 1 April 2020 di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur dengan turut mengundang antaranya Pengerusi Suruhanjaya Atlet Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Kirsty Coventry.

“Beliau akan menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Sukan Untuk Kehidupan: Melangkaui Sukan - Satu Pengalaman dan Pandangan Atlet’. 

Turut hadir berucap ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Sukan Master, Jens Holm dengan tajuk, ‘Masa Depan Buat Sukan dan Rekreasi Bagi Master’,” kata Tunku Imran pada sidang media pengumuman persidangan antarabangsa itu di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 17 Januari 2020.

PERSIDANGAN Antarabangsa ‘Melangkaui Sukan: Bermulanya Warisan’ 2020 pada 31 Mac 2020 dan 1 April 2020 diinspirasikan daripada penglibatan 3,328 atlet Malaysia  atau 50% daripada keseluruhan penyertaan Sukan Master Asia Pasifik Pertama, 2018 di Pulau Pinang. 


Pada hari kedua persidangan itu, satu sesi dialog bertajuk ‘Kemudahan Sukan dan Rekreasi Untuk Kehidupan: Pengurusan dan Kelestarian’ turut akan diadakan dengan perantaranya ialah dua bekas Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan, Tan Sri M. Jegathesan dan Datuk Marina Chin.

Turut diundang membicarakan isu bertajuk ‘Penganjuran Sukan Master ialah mantan Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman atau ‘Gadis Bionik’ heptatlon negara, dan penyanyi DJ Dave yang juga penggiat sukan master serta seorang lagi bekas Olahragawan Kebangsaan (renang), Jeffrey Ong yang juga Timbalan Presiden Persatuan Olimpian Malaysia.

Ahli-ahli panel perbincangan lain di bawah topik ‘Pengupayaan Kemudahan Sukan Awam’ termasuk Helen Lee Geok Khim, Penolong Pengarah Kumpulan Prasarana Sukan Singapura; Nik Razeen Adam Daud, CEO Perbadanan Stadium Malaysia (PSM); Datuk Sarjit Singh Sekhon, Timbalan Presiden Majlis Sukan Untuk Semua Malaysia dan Lee Phui Yee, Pengarah Acara Akademi Badminton Michael. 

Persidangan yang berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang ini akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Memandangkan acara ini merupakan daya usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi komuniti sukan, tiket-tiket dikenakan pada harga yang di bawah nilai pasaran iaitu RM100 (belian awal) dan RM150 (kadar biasa) bagi warganegara tempatan dan RM120 dan RM200 (bukan warganegara).

Sejak 2009, YSD telah membelanjakan sejumlah RM192 juta untuk menyokong daya usaha akar umbi yang menganjurkan gaya hidup sihat, perpaduan dan penglibatan kanak-kanak dan belia termasuk yang kurang bernasib baik dan kumpulan terpinggir selain program pembangunan atlet bertaraf dunia dan akar umbi. - KitaReporters.com

  

0
1
0
0
0
You will be interested

SAH!! MAJLIS NIKAH DI DEPAN RUMAH TOK KADI

Tular dalam media sosial, satu majlis pernikahan yang diadakan di pekarangan rumah tok kadi dalam keadaan mengamalkan ‘social distancing’ kerana COVID-19

Yati Yazid in Santai 4 years ago

MAI-MAI!! JOM BORAK DENGAN ARTIS WARNER

Program #StayAtHome With Warner Music akan disiarkanbermula pukul 8.30 malam hari Sabtu, 21 Mac 2020 melalui akaun media sosial Instagram Warner Music Malaysia
Fariza Saidin in Santai 4 years ago

RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago

TERBAIKLAH KHAI! HERO BEBAS DADAH PBB!!

Khairudin Aziz terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah anjuran PBB di Amerika Syarikat
Wan Noor Hayati Wan Alias (Allahyarham) in Santai 4 years ago

CINTA BOLLYWOOD: RANBIR KHIANATI DEEPIKA

Pelakon Bollywood, Deepika Padukone mendedahkan dalam satu wawancara bagaimana cinta sucinya dinodai dua kali oleh kekasihnya sendiri, aktor Ranbir Kapoor
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago