DALAM tempoh beberapa tahun ini, industri muzik kita semakin kekurangan majlis anugerah untuk menghargai penggiat seni muzik. Dengan kehilangan Anugerah Industri Muzik (AIM) yang menyepi untuk beberapa tahun, semakin sukar untuk kita lihat penggiat-penggiat muzik diraikan dalam satu majlis anugerah. : KitaReporters.com
Ia bukanlah tentang menang anugerah, tetapi majlis sebegini mampu kemeriahkan industri selain menjadi panduan untuk peminat mengenal pasti produk muzik yang berkualiti dalam negara.
Apatah lagi dalam scene indie, sejak Shout Awards dihentikan penganjurannya, hampir tiada malam anugerah yang meraikan penggiatnya.
Atas semangat mahu meraikan produk indie yang semakin banyak dan berkualiti, Tapau TV mengambil inisiatif menganjurkan majlis anugerah Tapau Awards yang julung-julung kali diadakan.
Dilangsungkan di The Bee, Publika dan disiarkan secara penstriman langsung pada page Facebook TapauTV pada 27 Disember 2019 ini, majlis itu akan mempertandingkan sembilan kategori anugerah khas buat penggiat muzik indie.
Sembilan anugerah tersebut ialah Best Noisemaker, Best Music Video, Best Album Art, Best Son, Best Album, Best Artist, Yasmin Award, Jeremy Award dan Artist Of The Decade Award.
Enam daripada anugerah tersebut, iaitu Best Noisemaker, Best Music Video, Best Album Art, Best Song, Best Album dan Best Artist ditentukan melalui undian peminat di laman web www.TAPAU.asia.
Iqbal M. dan Pastel Lite menjadi kugiran dengan pencalonan terbanyak, masing-masing dengan tiga pencalonan.
Album pertama Iqbal M., Perasaan Sedih Jangan Kau Bimbang (PSJKB) membuahkan hasil apabila kugiran itu tercalon untuk tiga kategori dalam Tapau Awards 2019.
Iqbal M. tercalon dalam anugerah Best Artist, Best Song (Jangan Cakap Saja) dan Best Album Art (PSJKB). Pastel Lite pula tercalon dalam anugerah Best Album (Pop Bilik Tidur), Best Song (Hello Sayang) dan Best Music Video (Hello Sayang).
Artis lain yang tercalon ialah Mafidz, Lust, Toko Kilat, Salammusik, The Venopian Solitude, Sweetass, No Good, Leaism, Margasatwa, Luqman Podolski, Masdo dan Hacktick.
Bagi anugerah Best Noisemaker pula, ia khas untuk program atau akaun media sosial yang banyak mempromosikan perkembangan muzik indie.
Empat finalis untuk kategori ini adalah dua akaun media sosial, Junklist dan Hentak Kepala serta dua rancangan YouTube, Korek Fizikal oleh Thinker Studios dan #CantekSikitDer oleh Awad Studios. - KitaReporters.com