BAGI melahirkan golongan masyarakat berjiwa murni dan perihatin, Pertubuhan Kebajikan Wawasan Kasih Malaysia (PKWKM) menganjurkan Program Kembali ke Sekolah 2019 kepada golongan berpendapatan rendah (B40) di Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang, Selangor. : KitaReporters.com
SEBAHAGIAN daripada penerima Program Kembali ke Sekolah 2019 anjuran Pertubuhan Kebajikan Wawasan Kasih Malaysia (PKWKM) di Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang, Selangor pada 29 Disember 2019.
Seramai 100 pelajar daripada golongan asnaf terpilih untuk menerima bantuan berupa barangan persekolahan menerusi program Kembali ke Sekolah sumbangan PKWKM dengan kerjasama PPR Hiliran Ampang pada Ahad (29/12/2019) lalu.
Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Syed Hussein Al Habshee berupa beg, keperluan sekolah dan sepasang pakaian seragam.
Majlis penyampaian bantuan itu berlangsung di dewan terbuka PPR Hiliran Ampang dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya.
PENGERUSI Pertubuhan Kebajikan Wawasan Kasih Malaysia (KWKM), Hadijah Ishak (kiri) dan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Syed Hussein Al Habshee (tengah) hadir pada majlis penyampaian Program Kembali ke Sekolah 2019 di Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang,Selangor.
Syed Hussein berkata, pihaknya memuji sikap prihatin ditunjukkan oleh PKWKM dalam usaha membantu dan menyalurkan bantuan kepada pelajar yang rata-ratanya adalah terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah.
Menurut beliau, musim persekolahan baharu memerlukan pelbagai kelengkapan sekolah untuk dipersiapkan oleh ketua keluarga yang memerlukan kos tinggi, di samping memberi bebanan kepada keluargà yang mempunyai anak ramai bersekolah.
"Dengan kelengkapan baharu ini, semoga ia dapat menyuntik semangat serta azam pelajar supaya lebih bersedia menempuhi cabaran persekolahan tahun depan.
“Pada masa sama, MAWIP juga komited membantu menyediakan kelengkapan sekolah kepada kira-kira 18,000 pelajar pada tahun ini dengan kos perbelanjaan sebanyak RM5 juta," katanya.
Syed Hussein Al Habshee menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar sekolah.
Pengerusi PKWKM, Hadijah Ishak pula berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada hasil sumbangan syarikat dan badan bukan Kerajaan (NGO).
Menurut Hadijah, PKWKM sentiasa mengambil berat akan pelaksanaan program berbentuk tanggungjawab sosial Korporat (CSR) pihaknya untuk dijadikan sebagai agenda tetap tahunan bagi berkongsi rezeki dengan golongan kurang berkemampuan.
"Program kali kedua diadakan di perumahan ini bertujuan menceriakan pelajar serta meringankan beban golongan kurang berkemampuan dalam menyediakan persiapan persekolahan.
"Kami amat memahami kekangan kewangan yang dihadapi golongan kurang berkemampuan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak mereka, terutama keluarga mempunyai anak yang ramai.
PENERIMA bantuan ceria bersama barangan yang diterima pada majlis Kembali Ke Sekolah 2019.
"Maka, Program CSR seumpama ini memberi peluang kepada PKWKM untuk berbakti kepada masyarakat setempat di samping memberi motivasi dan sokongan moral kepada para pelajar supaya dapat mengekalkan kecemerlangan dalam bidang akademik, sekali gus mempertingkatkan minat pelajar untuk hadir ke sekolah.
"Selain itu, PKWKM juga bercadang membantu golongan wanita, ibu tunggal dan B40 di kawasan ini melalui kursus keusahawanan bagi menjana pendapatan keluarga mereka.
"Kita mengharapkan bantuan dan sokongan pihak luar dalam meluaskan lagi program CSR sebegini supaya dapat dimanfaatkan lebih banyak pihak terutama membantu keperluan masyarakat di luar bandar," katanya. - KitaReporters.com
KANAK-KANAK berbaris untuk menerima sumbangan Kembali Ke Sekolah 2019 yang disampaikan oleh Syed Hussein Al Habshee.
Syed Hussein beramah mesra dengan salah seorang penerima bantuan Kembali Ke Sekolah 2019 anjuran PKWKM.
PENERIMA bantuan bergambar beramai-ramai pada penghujung program Kembali Ke Sekolah 2019 anjuran PKWKM di Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang, Selangor.