KALAU tak seksi bukan Kilafairy. Itulah ungkapan yang sering ditujukan kepada anak penyanyi Rohana Jalil itu. Kadang-kadang Kilafairy pakai pakaian biasa saja, tapi orang tetap melihatnya seksi. : KitaReporter.com

KILAFAIRY tak mahu dipandang sebagai wanita seksi lagi. - Foto IG Kilafairy.
Mungkin kerana Kilafairy, 28, pandai menjaga bentuk badan dan sentiasa berpenampilan menarik seiring dengan tanggungjawabnya sebagai pengasas produk kesihatan dan pelangsingan badan, KilaFit.
Kata Kilafairy atau Syakila Nisha Jangir Khan, beliau tidak dapat menyekat persepsi orang lain yang sering melihatnya dengan pandangan seksi.
Seiring dengan peningkatan usia, beliau tidak mahu lagi dikenali sebagai wanita seksi, sebaliknya sebagai usahawan berjaya.
“Pastinya perubahan itu seiring dengan kematangan diri. Ia seperti isyarat atau panggilan kepada diri sendiri. Dalam hidup ini kita sentiasa berusaha mahu jadi lebih baik dan memperbaiki diri.
“Step by step... insya-Allah. Berkat doa ibu bapa juga. Sempena tahun baharu, 2020 ini saya mahu mulakan sesuatu yang segar dan bersih.
“Saya cuba elak atau tak mahu lagi orang di luar sana nampak diri ini dengan terjemahan seperti ... oh badan dia cantik mahupun seksi!” kata Kilafairy yang mula ‘berubah’ sejak tujuh bulan lalu.
Tegasnya sebagai pengasas KilaFit, produk makanan tambahan, beliau perlu memberi contoh terbaik kepada pengguna produk tersebut.
“Saya mahu memberi contoh yang baik kepada penyokong dan mereka yang menggunakan KilaFit, insya-Allah. Saya mahu jadi insan yang lebih baik.
“Sebenarnya sudah tujuh bulan saya cuba menjaga penampilan dan sebagainya.
"Lagipun saya bukan makin muda. Lebih mengujakan perkara ini tanpa diduga membuka mata sendiri dan pasukan KilaFit mengenai visi dan misi perniagaan kami,” katanya optimis.

MAHU menjadi seorang usahawan berjaya. - Foto IG Kilafairy
Jelas Kilafairy, perubahan imejnya itu juga seiring dan selaras dengan perjuangan KilaFit iaitu menambah ejen dan stokis jenama tersebut.
Tambahnya, produk KilaFit bukan mahu menjual ‘seksi’ atau perlu kurus semata-mata, sebaliknya mereka juga ingin membantu sesiapa saja yang ada masalah kesihatan dan mengharapkan masa depan yang lebih baik.
“Mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Kurus atau seksi itu cukup subjektif dan mungkin dilihat penting untuk meningkatkan keyakinan diri bagi sesetengah daripada kita.
“Namun di KilaFit tiada gunanya semua itu jika kesihatan dalaman tidak dijaga. Keseimbangan dalaman dan luaran itu paling penting.
“Itulah juga misi dan azam KilaFit pada tahun ini serta mendatang. Ia juga seiring dengan imej saya kini.
"Tagline KilaFit juga menekankan peri penting Versi Terbaikmu,” katanya. - KitaReporter.com.