SERAMAI 1,000 peserta dijangka memenuhi Taman Tasik Metropolitan, Kepong, di Kuala Lumpur sempena pertandingan memancing Cabaran Pancing Kuala Lumpur (CPKL) 2020 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Ahad, 16 Februari 2020. : KitaReporters.com
Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Nazam Harun (tiga dari kanan); Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Hasliza Abdul Hamid (dua dari kanan) bersama Pengurus Acara dan Tajaan, F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., Muhammad Fauzi Ahmad, (kanan) serta Tessy Low, Eksekutif Pemasaran, Pure Fishing Malaysia Sdn. Bhd. (kiri) menunjukkan spesis ikan patin yang dilepaskan untuk pertandingan memancing CPKL 2020 di Taman Tasik Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur pada Ahad, 16 Februari 2020. - Foto JoranKL
Ia diadakan sempena Karnival Hari Wilayah Persekutuan 2020 @Kuala Lumpur 2020.
Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Nazam Harun berkata, hadiah keseluruhan berjumlah RM21,000 menanti para peserta bagi acara berkenaan.
Menurutnya, dengan adanya program tersebut diharapkan dapat menambahkan semangat rasa cinta kepada Wilayah Persekutuan dalam usaha memastikan keharmonian serta perpaduan warganya terus dikekalkan demi kesejahteraan bersama.
Justeru, ia dijadikan acara ‘wajib’ dalam Karnival Hari Wilayah Persekutuan 2020 @Kuala Lumpur sekali gus memeriahkan SHWP 2020 menerusi konsep perpaduan dan persefahaman antara warga kota.
“Juara pertandingan ini akan membawa pulang RM7,000 diikuti RM3,000 untuk naib juara dan ketiga bakal memperoleh RM1,000.
"Pemenang keempat hingga ke-10 akan menerima RM200, pemenang tempat ke-11 hingga 100 menerima RM100 setiap seorang.
“Malah 2 tasik akan dibuka untuk kepuasan kaki pancing yang hadir kelak. Paling menarik hadiah sapu bersih dan selain semua spesis ikan dikira dalam pertandingan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata acara yang turut mendapat kerjasama Sunkist, Igloo dan Pure Fishing, selaku rakan strategik itu, turut bersama menyokong usaha memartabatkan industri memancing di Kuala Lumpur.
"Taman Tasik Metropolitan, Kepong, mempunyai keunikan tersendiri kerana banyak spesies ikan terbaik termasuk tongsan, belida dan toman bersaiz 10 hingga 15 kilogram menanti kaki pancing," katanya.
Terdahulu, beliau hadir pada acara melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies di Taman Tasik Metropolitan, Kepong pada Selasa, 11 Februari 2020.
Mohd Nazam berkata, yuran RM40 dikenakan untuk sebatang joran dan sebanyak 800 penyertaan awal layak menerima satu botol air sumbangan penaja.
Katanya, pendaftaran boleh dilakukan di meja urus setia di lokasi pertandingan pada Sabtu,15 Februari 2020, bermula jam 1 tengah hari hingga 9 malam dan keesokannya kaunter dibuka dari jam 6.30 pagi hingga 10 pagi.
“Maklumat lanjut, boleh layar di laman facebook, JORANKL atau hubungi urus setia melalui talian 013-266 7011, 012-3554946 dan 012-284 6811,” katanya. - KitaReporters.com