KALAU kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga. Namun bagi Mohamad Abid Hasbullah, kail panjang sejengkal itu membolehkan dia membawa pulang wang tunai RM12,000. : KitaReporters.com
Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL, Sr. Mohd Sahak Surip (lima dari kiri) dan Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan, DBKL, Mohd Nazam Harun (kanan sekali) bergambar bersama penaja-penaja dan pemenang-pemenang.
Seorang pemancing dinobatkan juara yang menawarkan hadiah wang tunai RM12,000 pada Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL), siri akhir 2019 di Taman Tasik Metropolitan, Kepong di Kuala Lumpur pada Ahad (15/12/2019) lalu.
Kemenangan itu sekali gus membolehkan Mohamad Abid Hasbullah, 20, dari Selayang membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,000, selain barangan iringan Oyoshi, Igloo dan Pure Fishing (M) Berhad.
Dia menaikkan spesies keli seberat 9.255 kilogram (kg) pada jam 9.15 pagi dan menewaskan kira-kira 1,300 peserta.
Muhammad Abid berkata, dia terkejut dengan kemenangan tersebut dan merancang untuk menggunakan hadiah kemenangan itu untuk keperluannya disebabkan beliau baru tamat belajar dan beliau datang kerana suka-suka untuk menyertainya.
“Kemenangan ini amat bermakna. Saya sangat bersyukur. Ini hadiah buat ibu dan bapa saya selain berkongsi kemenangan bersama rakan-rakan yang mengajaknya.
“Saya harap JPKL dapat diteruskan pada tahun depan kerana inilah waktu terbaik bagi kaki pancing berkumpul dengan keluarga. selain merapatkan silaturahim sesama kaki pancing,” katanya.
Tempat kedua dimenangi Mazlan Mat Junoh, 50, selepas menaikkan patin seberat 8.135 kilogram pada jam 9.35 pagi dan membawa pulang RM3,000.
Tempat ketiga dimenangi Imam Bukhori, 33, selepas menaikkan patin seberat 8.100 kg pada jam 8.50 pagi dan membawa pulang RM1,000 serta barangan iringan Oyoshi, Igloo dan Pure Fishing (M) Berhad.
Hadiah disampaikan oleh Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL, Sr. Mohd Sahak Surip.
PESERTA (tiga dari kiri) gembira menerima hadiah Cabutan Bertuah berupa sebuah motosikal.
Pertandingan anjuran DBKL itu bagaikan pesta keli dan patin apabila lebih 30 ekor spesies ikan itu bersaiz antara empat hingga 9 kg, selain lebih 300 ekor pelbagai spesies berjaya dinaikkan kaki pancing.
Pertandingan kali ini dimulakan pada jam 8.15 pagi dan berakhir pada jam 1 tengah hari.
Oyoshi, Igloo dan Pure Fishing (M) Berhad turut memeriahkan acara ini sebagai rakan strategik bersama.
Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan, DBKL, Mohd Nazam Harun berkata, beliau berbangga dengan penyertaan peserta dari seluruh negara, selain kehadiran keluarga yang memeriahkan kawasan persekitaran Taman Tasik Metropolitan, Kepong yang dikenali Taman Layang-Layang.
“JPKL dilihat berjaya mencapai matlamat menjadikan pertandingan sebagai aktiviti riadah yang sihat bagi warga kota,” katanya.
Dalam waktu yang sama, Mohd Sahak berkata wajar penganjuran JPKL diteruskan lagi tahun hadapan memandangkan sambutan yang diterima daripada kaki-kaki pancing seluruh negara amat mengalakkan.
“Pertandingan memancing di bawah DBKL harus diteruskan lagi tahun hadapan dan kalau boleh diadakan acara-acara sampingan yang dapat memeriahkan aktiviti memancing sempena Tahun melawat Malaysia 2020.
“Begitu juga bagi syarikat-syarikat swasta yang ingin mengunakan taman-taman di Kuala Lumpur boleh menyewa untuk hari keluarga atau sebagainya kerana taman-taman di Kuala Lumpur amat sesuai dalam aktiviti riadah sihat dan kedudukan taman yang luas," katanya lagi.
JPKL 2019 melabuhkan tirainya dan sebanyak 10 siri jelajah telah diadakan melibatkan tasik-tasik di Kuala Lumpur antaranya Tasik Ampang Hilir, Tasik Permaisuri, Tasik Metropolitan Batu dan Tasik Metroplitan Kepong, Kuala Lumpur. Insya-Allah jumpa 2020. - KitaReporters.com