Santai 01 Dec, 2019

OPS KHAZANAH, BELANG BURU PEMBURU HARAM

@samadi ahmad
Experience as a Independent Journalist for 20 year, covering various aspect of the news including politics, business, crimes and specializing in Media Events.

Share this
MELINDUNGI hidupan liar dan khazanah alam semula jadi bukan hanya tanggungjawab agensi penguatkuasaan saja tetapi memerlukan kerjasama semua pihak termasuk orang ramai memandangkan aktiviti  pemburuan haram mengancam spesies yang dilindungi. : KitaReporters.com.

TIMBALAN Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (depan kanan) dan Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk  Abdul Kadir  Abu Hashim (kiri) menghadiri Mesyuarat  Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Paya Indah Wetlands,Dengkil, Selangor pada Khamis (28/11/2019) lalu.


Sehubungan itu, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bertujuan membenteras segala bentuk aktiviti pemburuan haram, penyeludupan hidupan liar dan pelanggaran-pelanggaran lain di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan akta-akta lain berkaitan.

Sejak operasi yang dilancarkan pada 3 September 2019 itu diadakan sebanyak 64 pesalah berjaya ditahan dan memusnahkan sebanyak 359 unit jerat melalui 21 kes tangkapan sehingga pertengahan November ini.

Ketika menghadiri mesyuarat OBK di Paya Indah Wetlands,Dengkil pada Khamis (28/11/2019) lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, berkata pada 13 November lalu empat pemburu haram  warga tempatan berumur 40 hingga 49 tahun  telah ditahan pada di Pasir Mas, Kelantan dan Sungai Petani, Kedah.

Mazlan berkata, melalui tangkapan itu pihaknya dapat merungkai  dalang di sebalik aktiviti tidak bertanggungjawab itu melalui beberapa penemuan bukti dan rampasan barangan. 

PELBAGAI jenis gading dirampas dari pemburu haram.


Menurut beliau, hasil daripada pemeriksaan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan Jabatan  Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)  ke atas empat buah premis di Kelantan dan Kedah itu telah berjaya merampas lima buah kenderaan mewah terdiri dari jenis Mercedes Benz, Volkswagen dan Honda.

Katanya, beberapa bahagian hidupan liar seperti gading gajah, tanduk rusa dan kulit hidupan liar yang dianggarkan berjumlah RM240,000 turut dirampas di premis berkenaan.

"AMLA turut membekukan 13 akaun bank milik kesemua suspek termasuk ahli keluargà dengan jumlah pembekuan dan penyitaan berjumlah RM1.58 juta.

"Berdasarkan bahan bukti kita berjaya mengherat mereka ke mahkamah dan tiga daripada suspek telah dijatuhkan hukuman penjara dua tahun.

"Siasatan mencari dalang sindiket ini masih diteruskan AMLA di bawah Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA 2001, di samping siasatan serentak oleh Jabatan Perhilitan di bawah Seksyen 60 & Seksyen 68, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2001.

"Pemburu haram yang ditahan itu bukan sahaja rakyat Malaysia, malah ada juga warga asing dari China, Kemboja, Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Thailand.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius aktiviti pemburuan haram ini dan kami memberi amaran akan mengenakan tindakan keras sekiranya aktiviti itu terus diadakan," katanya.

JERAT yang dijumpai dan dipasang pemburu haram di dalam hutan bagi menangkap hidupan liar.


OBK yang dilancarkan pada 3 September lalu membabitkan kerjasama Jabatan Perhilitan; PDRM; Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP); Perbadanan Taman Negara Endau Rompin, Johor; Jabatan Perhilitanan Semenanjung Malaysia; dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain.

Polis turut menggerakkan beberapa elemen di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) termasuk cawangan udara dan polis marin menerusi OBK bagi membantu Jabatan Perhilitàn  membanteras jenayah hidupan liar di hutan, udara dan laut.

Operasi yang sebelum ini diselaraskan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) turut dimantapkan dengan membabitkan kepakaran dari Pasukan Elit Senoi Praaq dari Batalion 3 dan Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) di bawah KDNKA yang terdiri daripada Orang Asli yang mahir dan berkeupayaan menjejak musuh dalam hutan.

Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata, pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan PDRM melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bagi membanteras jenayah pemerdagangan dan pemburuan hidupan liar yang dilindungi.

Abdul Kadir berkata, operasi bersama bermula September lalu menampakkan hasil memberangsangkan apabila ramai pemburu tempatan dan warga asing ditahan di seluruh negara.

PEGAWAI Perhilitan menunjukkan dawai besi yang digunakan pemburu haram bagi menjerat hidupan liar.


Menurut beliau, pada 16 Oktober lalu, enam pemburu haram warga Kemboja ditahan di Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu, selain dua warga tempatan pada 26 Oktober lalu kerana memiliki hidupan liar.

“Antara kejayaan OBK di Taman Negeri Royal Belum pula adalah dua tangkapan membabitkan tiga warga Thailand yang menceroboh Taman Negeri Royal Belum iaitu pada 10 September dan 11 Oktober lalu".

“Penceroboh warga Thailand itu memasang jerat dan mengambil hasil khazanah negara seperti kayu gaharu, landak, musang pulut, kura-kura, burung kuang raya, burung murai batu dan ayam hutan.

“Pemburu haram itu telah  dijatuhkan hukuman denda RM30,000 dan 24 bulan penjara bagi kes tangkapan pertama dan hukuman denda RM60,000 dan 28 bulan penjara bagi kes tangkapan kedua.

"Bermula Oktober lalu, ‘Ops Belang’ diperkasakan dengan pembabitan PDRM dan pelbagai agensi seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Perbadanan Taman Negeri Perak dan badan bukan kerajaan (NGO)".

"Pelbagai strategi dan pendekatan dilaksanakan bagi membanteras kegiatan pemburuan haram hidupan liar terutamanya oleh warga asing menerusi Ops Belang sebelum ini.

“Antara tindakan dijalankan termasuk menjalankan operasi penguatkuasaan dengan rondaan berjalan kaki di habitat utama Harimau Malaya untuk membanteras pencerobohan hutan, pemburuan haram dan menghapuskan jerat.

"Sejak Ops Belang dijalankan seramai 19 individu sudah ditahan termasuk enam warga Myanmar, tiga warga Kemboja, selain 12 warga tempatan".

" Sokongan dan bantuan orang ramai  dengan menjadi mata dan telinga Perhilitan dan PDRM amatlah diharapkan bagi membantu program OBK ini melalui penyaluran maklumat dalam usaha melindungi khazanah negara supaya tidak diancam kepupusan," katanya.

Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui Perhilitan Hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan melalui laman www.wildlife.gov.my. - KitaReporters.com.

KETUA Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk  Abdul Kadir  Abu Hashim (kanan) menunjukkan kulit harimau yang dirampas dari pemburu haram. - Foto NSTP

2
0
4
0
0
You will be interested

SAH!! MAJLIS NIKAH DI DEPAN RUMAH TOK KADI

Tular dalam media sosial, satu majlis pernikahan yang diadakan di pekarangan rumah tok kadi dalam keadaan mengamalkan ‘social distancing’ kerana COVID-19

Yati Yazid in Santai 4 years ago

MAI-MAI!! JOM BORAK DENGAN ARTIS WARNER

Program #StayAtHome With Warner Music akan disiarkanbermula pukul 8.30 malam hari Sabtu, 21 Mac 2020 melalui akaun media sosial Instagram Warner Music Malaysia
Fariza Saidin in Santai 4 years ago

RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago

TERBAIKLAH KHAI! HERO BEBAS DADAH PBB!!

Khairudin Aziz terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah anjuran PBB di Amerika Syarikat
Wan Noor Hayati Wan Alias (Allahyarham) in Santai 4 years ago

CINTA BOLLYWOOD: RANBIR KHIANATI DEEPIKA

Pelakon Bollywood, Deepika Padukone mendedahkan dalam satu wawancara bagaimana cinta sucinya dinodai dua kali oleh kekasihnya sendiri, aktor Ranbir Kapoor
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago