Santai 16 Jan, 2020

HUTANG GAJI PEMAIN: "MATA LIGA" DIPOTONG!!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

BIARLAH rahsia! Bunyinya macam lagu popular Datuk Siti Nurhaliza tetapi bagi Stuart Ramalingam, tidak perlulah nilai tunggakan gaji pemain tiga pasukan Liga Malaysia bagi musim 2019 didedahkan. : KitaReporters.com

STUART Ramalingam (tiga dari kanan) bersama-sama Gurcharan Singh (empat dari kanan), Ahmad Faedzal Md. Ramli (dua dari kanan) dan Windsor Paul John pada majlis penauliahan Pusat Perubatan Institut Sukan Negara oleh AFC. - Foto ihsan ISN


Lagipun soal itu sudah terkandung dalam akuan bersumpah dua pasukan Liga Super, Melaka United dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kelantan (Liga Perdana) dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Turut terlibat dengan akuan itu ialah badan pengurus liga dan rakan penganjur FAM, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) atau dulunya dikenali sebagai Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

“Maklumat itu sulit. Sama ada nilainya tinggi atau rendah bukan soalnya, tetapi jika gaji pemain-pemain pasukan ini masih tertunggak, kami ambil tindakan,” kata Setiausaha Agung FAM itu di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil pada Khamis (16/1/2020).

Pada Rabu (15/1/2020), ketiga-tiga pasukan ini diberikan amaran keras agar melunaskan tunggakan itu menurut batas waktu yang ditetapkan, 31 Januari, 29 Februari dan 31 Mac atau berdepan tiga bentuk hukuman oleh FAM.

Jika batas waktu pertama dilanggar, tiga mata liga milik pasukan terbabit akan dipotong seterusnya bertambah kepada enam mata bagi batas kedua malah bagi batas terakhir, boleh disingkirkan terus daripada kesemua pertandingan kelolaan FAM dan MFL pada musim 2020.

“Kami bukanlah mahkamah bola sepak yang hanya tahu menjatuhkan hukuman, tetapi mahu dipandang sebagai bapa yang tidak bersikap lepas tangan dan tidak juga mahu melihat pasukan itu terkubur.

“Jangan hanya kerana sikap segelintir pasukan ini, bola sepak Malaysia turut akan tercemar sedangkan masih ada pasukan yang mampu menguruskan kewangan mereka dengan baik dan tiada masalah,” katanya.  

AHMAD Faedzal Md. Ramli (kiri) menyampaikan cenderamata penghargaan ISN kepada Windsor Paul John. - Foto Ihsan ISN


Namun kata Stuart, angka tunggakan gaji itu masih berbeza antara ketiga-tiga pasukan terbabit.

FAM selaku badan induk bola sepak negara katanya, turut sedia maklum bahawa terdapat antara mereka yang baru bertukar pengurusan sedangkan terpaksa pula menanggung beban hutang lapuk pengurusan terdahulu.

“Kami turut kasihan dengan pengurusan sekarang pasukan itu, tetapi kami juga tidak mahu berdiri dan menunggu sahaja. Kena fikirkan betapa banyaknya periuk nasi pemain-pemain yang terlibat.

“Menutup terus pasukan juga tidak bererti sudah menyelesaikan masalah tunggakan gaji itu. Sebaliknya bilangan kesnya jadi semakin banyak pula,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penauliahan Pusat Perubatan Sukan Negara (PPSN) di ISN sebagai Pusat Kecemerlangan Perubatan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md. Ramli dan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John serta Pengerusi Jawatankuasa Perubatan AFC, Datuk Dr. Gurcharan Singh.


Pemotongan mata liga yang sedang berjalan katanya juga, tidak bererti FAM atau MFL akan mengubah dan memberikan keputusan baharu pasukan terbabit kepada lawan.  

“Mata hanya dipotong daripada jumlah yang dikumpul pasukan itu. Katalah ada 10 mata, kami potong tiga, kemudiannya, enam mata lagi daripadanya. Kami tidak pilih lawan mana untuk dapat mata itu sebab ini bukan kemenangan percuma.

“Ada kemungkinan juga jika pasukan itu masih tidak menang atau seri (tanpa sebarang mata) daripada sejumlah perlawanan dan setelah dipotong, terpaksa teruskan liga dengan negatif mata,” katanya.

Sementara itu PPSN kata Gurcharan, merupakan institusi yang kedua di Malaysia yang mendapat penauliahan AFC itu selepas Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur.

“Di Asia pula, inilah penauliahan pusat seumpamanya yang ketujuh kami berikan selepas di Amiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand, Jepun, Australia, Iran dan India,” katanya. - KitaReporters.com

0
0
0
0
0
You will be interested

SAH!! MAJLIS NIKAH DI DEPAN RUMAH TOK KADI

Tular dalam media sosial, satu majlis pernikahan yang diadakan di pekarangan rumah tok kadi dalam keadaan mengamalkan ‘social distancing’ kerana COVID-19

Yati Yazid in Santai 4 years ago

MAI-MAI!! JOM BORAK DENGAN ARTIS WARNER

Program #StayAtHome With Warner Music akan disiarkanbermula pukul 8.30 malam hari Sabtu, 21 Mac 2020 melalui akaun media sosial Instagram Warner Music Malaysia
Fariza Saidin in Santai 4 years ago

RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago

TERBAIKLAH KHAI! HERO BEBAS DADAH PBB!!

Khairudin Aziz terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah anjuran PBB di Amerika Syarikat
Wan Noor Hayati Wan Alias (Allahyarham) in Santai 4 years ago

CINTA BOLLYWOOD: RANBIR KHIANATI DEEPIKA

Pelakon Bollywood, Deepika Padukone mendedahkan dalam satu wawancara bagaimana cinta sucinya dinodai dua kali oleh kekasihnya sendiri, aktor Ranbir Kapoor
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago