PELAKON Rozita Che Wan atau Rozita Abu Bakar, lebih mesra disapa Che Ta, 45, mengeluarkan peruntukan jutaan ringgit untuk renovasi banglonya di Damansara, Petaling, Jaya bagi keselesaan tempat tinggal. : KitaReporters.com
Selama dua tahun dia menunggu, namun pihak kontraktor gagal menyiapkan ikut jadual dengan nilai upah sudah jauh melebihi persetujuan awal.
Che Ta lebih terkilan apabila kontraktor bumiputera itu kemudian menghilangkan diri.
“Siapa yang mampu bersabar selepas dua tahun, kerja mengubah suai dan menambah baik rumah saya tidak siap-siap.
“Apabila mengupah kontraktor Melayu atas niat membantu bangsa sendiri, inilah hasilnya.
“Bukan hendak memalukan orang Melayu, tapi inilah hakikat yang saya hadapi. Kita bagi rezeki, mereka kerja main-main,” luahnya dipetik dari BH Online.
Rozita mengupah kontraktor terbabit bagi projek pengubahsuaian tersebut sejak dua tahun lalu.
Menurut selebriti ini, dia memberi tarikh akhir iaitu pada 10 Januari lalu bagi kontraktor terbabit untuk menyiapkan semua kerja.
“Balkoni, lantai, itu dan ini semuanya tidak siap. Akhirnya mereka lari.
Tambahnya, dia sudah puas cuba menghubungi nombor telefon selain melayangkan mesej kepada kontraktor terbabit, namun usahanya itu tidak membuahkan hasil.
"Sekarang saya terpaksa buat pelan B iaitu dengan melantik kontraktor baru untuk menyudahkan semua kerja,” katanya.
“Saya diberi bermacam-macam alasan seperti seperti sudah berpindah pejabat, kakitangan berhenti kerja dan bermacam-macam perkara lain.
“Lucunya, foto dan video proses pengubahsuaian rumah saya dipromosikan pada akaun Facebook kontraktor terbabit.
"Kerja tak siap, ada hati pula hendak perkenalkan perkhidmatan mereka kepada orang lain,” katanya.
Kini isteri Zain Saidin ini terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan dengan mencari kontraktor lain bagi menyiapkan kerja.