KERANA tiada unsur 'wow', dua peserta Gegar Vaganza 6 (VG6) akhirnya terkeluar. Maka, tamatlah sudah perjalanan mereka tanpa ada lagi apa-apa talian hayat atau kejutan oleh pihak penganjur Astro. : KitaReporters.com
Dua artis sezaman tahun 80-an, Noorshila Amin, 55 dan Wann (Wan Rashidah Meor Abdul Rashid), 50, akhirnya terhenti langkah untuk maju ke peringkat akhir Gegar Vaganza 6 (GV6) di Astro Ria dan Astro Warna pada Ahad (22/12/2019) ini.
Norshila mengumpul markah terendah iaitu 52, sementara Wann kedua terendah dengan 57 markah.
Menurut juri jemputan, Datuk M Nasir, kedua-duanya sekadar menyanyi tetapi tidak menunjukkan ‘wow’ iaitu tiada kelainan untuk menarik minat juri.
Pendapat itu dipersetujui dua lagi juri tetap, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli MS.
Pertandingan GV6 malam tadi (15/12/2019) berjalan lancar, tanpa adanya kejutan seperti yang dilakukan seperti dalam minggu sebelumnya.
Anggapan sebahagian masyarakat bahawa Astro ingin Wann memasuki final tidak menjadi kenyataan apabila Astro tetap memberi kepercayaan kepada keputusan panel juri.
Seperti yang dijangka salah satu peserta favorite iaitu Sham Visa berjaya ke peringkat akhir setelah menduduki tangga keenam melalui lagu Usang yang dipopular oleh Rahim Maarof dan lagu Permata bersama kumpulan Kopratasa.
Aura Sham Visa sudah kembali, kata juri tetap Datuk Ramli M.S.
Penyanyi yang kini menetap di Australia, Nurfatima membuat kejutan apabila mendapat tempat keempat dengan memperolehi 67 markah, meninggalkan Jatt Ali yang ketinggalan dengan hanya memperolehi 61 markah.
Nurfatima yang pernah menduduki tempat terakhir dalam episod-episod sebelumnya, memperbaiki persembahannya dan muncul dengan yakin untuk menyampaikan lagu dangdut popular Kau Pergi Tanpa Pesan dan lagu duet Kali Pertama berduet dengan Noryn Aziz.
GV6 peringkat separuh akhir terus menyaksikan kehebatan Hady Mirza (82 markah) dan Naqiu Boboi (77 markah) dalam memperlihatkan kehebatan untuk menjadi bakal juara GV6 bagi membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.
Artis berkumpulan One Nation Emcess memperlihatkan kehebatan untuk terus bersaing dengan berjaya menduduki tempat ketiga dengan menduduki tangga ketiga dengan 71 markah.
Dalam temu bual dalam program GV Plus yang dikendali oleh Bell Ngasri, M Nasir menjangkakan dua artis lelaki itu bakal menjadi juara.
Apa yang dapat dipastikan ialah GV6 bakal dijuarai penyanyi lelaki seperti yang pernah berlaku dalam GV musim pertama apabila Ayai Ilusi melakukannya.
Berikut ialah keputusan lengkap GV6 :
- 1) Hady Mirza (82 markah)
- 2) Naqiu Boboi (77 (markah)
- 3) One Nation Emcess (71 markah)
- 4 Nurfatima (67 markah)
- 5) Jatt Ali (61 markah)
- 6) Sham Visa (60 markah)
- 7) Wann (57 markah)
- 8) Shila Amin (52 markah)
Pertandingan akhir GV5 akan berlangsung pada Ahad nanti (22/12/2019) dan menantikan apakah kejutan akan dilakukan? - KitaReporters.com