Santai 18 Dec, 2019

E-SUKAN G4H: BOLEH MAIN GAME SAMBIL DERMA

@editor 1
Editor Satu di KitaReporters >> Boleh emel kepada [email protected] & Editor Satu di UtusanPress >> Boleh emel kepada [email protected]

Share this

BERUSAHA menarik minat generasi muda dalam isu kemanusiaan dan kegiatan kesukarelawanan, konsep bermain sambil menderma diperkenalkan menerusi satu pertandingan e-sukan baru-baru ini. : KitaReporters.com

Pihak penganjur bersama sebahagian peserta Gaming4Humanity. - Foto IRM


Sehubungan itu, Islamic Relief Malaysia (IRM) menerusi jaringan kolaborasi bersama sukarelawan IRM Troopers dan Syarikat Pengurusan Acara Incredible Hearts menggunakan konsep tersebut melalui inisiatif penganjuran pertandingan e-sukan yang pertama di Malaysia.

Menurut IRM dalam satu kenyataan media 15 Disember 2019 lalu, pertandingan e-sukan Gaming4Humanity (G4H) itu telah diadakan di CityOne Megamall, Kuching, Sarawak pada 13–15 Disember 2019 lalu. 

Sebanyak 7 permainan ditawarkan melibatkan permainan Counter Strikes: Global Offensive (CS Go), Dota 2, Player Unknown's Battlegrounds (PUBG), Mobile Legend, FIFA20, Fruit Ninja dan Beyblade. 

Penganjuran G4H mendapat pengesahan dari Sarawak eSports Association (SESA) serta mendapat sokongan baik dari Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Telekom Malaysia juga CityOne Megamall, Kuching. 

Antara barisan penaja yang turut membantu menjayakan pertandingan ini ialah Kenyalang eSports, Khasyaf Resources, Blackdot Management dan Kimyra dengan kerjasama pemain game tempatan iaitu Sarawak All-Stars eSports (SAS), Gizmo Gamers Esports Arena, Space Island Kuching and Beygoma Battle Hobbies Kuching (BBHK). 

Para peserta sedang berentap. - Foto IRM.


IRM dalam kenyataan media itu menyebut, objektif utama acara ini diadakan bagi mengumpul dana untuk membina 17 telaga air di Rangpur melalui projek Telaga Air Bangladesh (TAB) Islamic Relief di bawah sektor bantuan air, sanitasi dan kebersihan (WASH). 

TAB memerlukan dana sebanyak RM100,000 bagi membolehkan lebih seribu penduduk sekitar mendapat akses kepada sumber air bersih untuk diminum serta kegunaan harian. 

Projek ini akan dilaksana serta dikawal selia oleh Islamic Relief Bangladesh bagi menjamin keberkesanan kemudahan ini kepada penduduk negara itu. 

Seperti yang semua maklum, Bangladesh adalah salah sebuah negara miskin di Asia. 

Berdasarkan maklumat dari Bank Dunia November tahun lalu, dilaporkan 22 juta penduduk negara itu hidup di bawah paras kemiskinan. 

Hal ini menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada kesukaran dalam mewujudkan kemudahan air bersih di rumah dan kawasan penempatan mereka. 

Fadilah, Pengarah Bahagian Komunikasi & Kempen Islamic Relief Malaysia menerima simbolik penyerahan sumbangan oleh semua badan terlibat. Dari kiri: Nurul Asna, Chris Kee, Aliff, Zainelli, Fadilah, Afiq, Aziz, Kon, Amir. - Foto IRM


Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, selain sasaran untuk mengumpul dana, pertandingan ini turut dilaksanakan bagi memupuk budaya sihat dalam kalangan para pemain e-sukan di Malaysia.

Ini kerana, katanya, sukan elektronik ini secara tidak langsung telah diiktiraf sebagai salah satu bentuk sukan yang baru berdasarkan peruntukan belanjawan khas yang diberikan pada Belanjawan 2020. 

“Kita tidak boleh menidakkan bahawa pengaruh permainan elektronik sangat besar dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda belia juga kanak-kanak. 

"Justeru, menerusi pendekatan ini, saya melihat ia boleh menjadi batu loncatan untuk kita meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu kemanusiaan sejagat seterusnya mengajak mereka sama-sama menjalankan tanggungjawab sosial yang perlu dimainkan oleh semua pihak. 

“Saya percaya, sedikit sebanyak platform yang kita bina ini dapat mengetengahkan kesengsaraan dan penderitaan penduduk di Bangladesh yang sedang berdepan pelbagai ancaman penyakit merbahaya dari air kotor. 

"Kita juga yakin dengan pelbagai kreativiti dalam pendekatan kemanusiaan kita, untuk membina ramai sahabat kemanusiaan, memberi kesedaran, maklumat, ilmu, seterusnya menyumbang kepada projek-projek sebegini pada masa hadapan. 

"Agenda mewujudkan masyarakat perihatin global sentiasa menjadi hala tuju Islamic Relief,” tambah Zairulshahfuddin dalam kenyataan media berkenaan. 

Seramai seribu peserta telah berdaftar untuk menyertai pertandingan ini. 

Dana yang bakal dikumpulkan menerusi pertandingan Gaming4Humanity datang dari sumber bayaran penyertaan para peserta, jualan cenderahati, derma orang awam dan banyak lagi. 

Program turut diselitkan dengan sesi perkongsian mengenai isu kemanusiaan serta kesukarelawanan daripada kakitangan Islamic Relief Malaysia. 

Salah seorang peserta Dota 2. - Foto IRM


Platform ini menyasarkan pengumpulan dana sebanyak RM40,000 untuk melengkapkan jumlah kos pembiayaan Projek Telaga Air Bangladesh. 

“Kami meletakkan harapan tinggi terhadap program ini dalam konteks mewujudkan inspirasi kepada para peserta dan masyarakat seluruhnya untuk melakukan sesuatu demi membantu insan lain.

"Ini selaras dengan tagline ‘Hopeful Hearts Helps Humanity’," kata Nurul Asna Hidayah Mior Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Incredible Hearts. 

Pengumpulan dana bagi projek TAB telah bermula sejak Januari lalu. 

Setakat ini, dana yang berjaya dikumpulkan telah mencapai RM60,000. 

Keberhasilannya datang daripada usaha keras 6 sukarelawan yang menjadi teraju utama projek iaitu Khairunnisa Kadim, Nurul Asna Hidayah Mior Abdul Rahman, Mohd Zahir Ramli, Mohd Amry Minggo, Nur Nabilah Mohd Yusuf dan Sharifah Suhaila Idris. 

“Projek Telaga Air Bangladesh adalah program pertama yang diwujudkan Islamic Relief Malaysia dalam memberi peluang kepada kumpulan sukarelawan IRM Troopers untuk menjalankan misi kemanusiaan ke luar negara setelah dana yang disasarkan berjaya dikumpul. 

"Ia diwujudkan bagi memberi pengalaman berbeza kepada sukarelawan dalam menggalas amanah penyumbang serta penerima manfaat yang bakal disantuni kelak,” jelas Nurul Asna Hidayah Mior Abdul Rahman. - KitaReporters.com

0
0
0
0
0
You will be interested

SAH!! MAJLIS NIKAH DI DEPAN RUMAH TOK KADI

Tular dalam media sosial, satu majlis pernikahan yang diadakan di pekarangan rumah tok kadi dalam keadaan mengamalkan ‘social distancing’ kerana COVID-19

Yati Yazid in Santai 4 years ago

MAI-MAI!! JOM BORAK DENGAN ARTIS WARNER

Program #StayAtHome With Warner Music akan disiarkanbermula pukul 8.30 malam hari Sabtu, 21 Mac 2020 melalui akaun media sosial Instagram Warner Music Malaysia
Fariza Saidin in Santai 4 years ago

RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago

TERBAIKLAH KHAI! HERO BEBAS DADAH PBB!!

Khairudin Aziz terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah anjuran PBB di Amerika Syarikat
Wan Noor Hayati Wan Alias (Allahyarham) in Santai 4 years ago

CINTA BOLLYWOOD: RANBIR KHIANATI DEEPIKA

Pelakon Bollywood, Deepika Padukone mendedahkan dalam satu wawancara bagaimana cinta sucinya dinodai dua kali oleh kekasihnya sendiri, aktor Ranbir Kapoor
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago