MATLAMAT pembinaannya adalah untuk mewujudkan sebuah taman tema animasi pertama di Asia. Harapan yang diletakkan begitu tinggi agar taman tema tersebut menjadi tumpuan ramai bukan sahaja dari negeri Perak dan Malaysia, tetapi juga dari negara luar. : KitaReporters.com
SUASANA di dalam MAPS, Ipoh Perak. Ramai juga pengunjung tetapi belum mampu menampung kos operasi taman tema animasi itu. - Kredit foto Hype My
Berteraskan harapan ini, terbinalah Movie Animation Park Studio (MAPS) di Meru, Ipoh, dengan kos RM520 juta, projek usaha sama Perbadanan Perak Berhad (PCB) dan Kumpulan Sanderson.
Taman tema animasi ini pada asalnya dijadual dibuka pada 2015. Bagaimanapun sasaran ini tidak tercapai dan hanya dibuka dua tahun kemudian pada Jun 2017.
Pelbagai tarikan disediakan dalam MAPS, seperti Dataran Animasi, Zon Fantasi Hutan, Zon ‘Life Action’, serta penampilan watak-watak animasi seperti Casper the Friendly Ghost, The Smurfs, Megamind dan rumah hantu The Sacred Rianna.
Selain itu, ada juga pertunjukan penuh aksi kereta dan motosikal. Juga ada tarikan Boboiboy 4D untuk para peminat setia animasi Boboiboy.
Pendek kata, segala yang disediakan di MAPS memang mampu menarik pengunjung,. Namun entah di mana silapnya, ia gagal menggapai harapan menjadi taman tema tumpuan ramai.
BOBOIBOY 4D antara tarikan di MAPS, Ipoh. - Kredit foto Wira Travel
MAPS melalui hari-hari dalam suasana suram kerana jumlah pengunjung terus berkurang. Dianggarkan hanya dalam lingkungan 200 orang berkunjung sehari.
Pada awal pembukaan, sasaran pengunjung ialah dua juta setahun. Namun difahamkan hanya 120,000 yang datang dalam setahun .
Walaupun MAPS menambah beberapa permainan serta tarikan baharu, ia masih tidak dapat memikat hati pengunjung.
Langkah yang diambil bagi mengatasi masalah ini ialah dengan mengurangkan harga tiket masuk. Namun sambutan masih tetap mengecewakan.
PERAHU Berayun satu lagi tarikan di MAPS. - Kredit foto Befreetour.
Ekoran itu, langkah drastik dilaksanakan dengan menghapuskan tiket masuk mulai Mac 2019.
Pengunjung hanya perlu membayar jika menggunakan kemudahan permainan disediakan. Usaha ini pun masih gagal.
Akibatnya hayat MPAS tidak panjang. Setelah hampir tiga tahun beroperasi, akhirnya mulai Selasa, 28 Januari 2020, MAPS ditutup sehingga diberitahu kelak.
Langkah akhir ini diambil kerana kerugian yang ditanggung oleh MAPS sudah tidak dapat dibendung dengan beban hutang semakin menimbun.
Dianggarkan jumlah hutang sudah melebihi RM500 juta. Pendapatan yang diperoleh jauh daripada mencukupi untuk menampung kos operasi.
Justeru untuk mengelakkan kerugian berterusan, langkah terbaik ialah menutup terus.
Memetik laporan Bernama, notis penutupan dikeluarkan oleh penerima dan pengurus Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP), Tetuan Ernst & Young.
BUAIAN berpusing hanya untuk mereka yang berani 'diayun'. - Kredit foto The Star.
Sesungguhnya ini sesuatu yang sangat menyedihkan dan tidak diduga akan berlaku ketika idea pembinaan MAPS dicetuskan dahulu.
Yang diduga dan diharap ialah ia akan menjadi tarikan ramai dan menguntungkan.
Di manakah silapnya maka MAPS gagal menampilkan kehebatannya sebagai taman tema animasi pertama di Malaysia dan di Asia?
Adakah kerana lokasinya? Adakah kerana pengunjung tidak berminat? Adakah kerana harga tiket?
Tidak mungkin lokasi menjadi isu kerana MAPS terletak di Meru, Ipoh dan mudah diakses melalui Lebuh Raya Utara Selatan.
Tambahan, jarak bukan ukuran bagi pengunjung jika mereka berminat datang ke sesebuah taman tema tertentu.
Atau mungkinkah kerana orang ramai kurang meminati taman tema animasi berbanding taman tema air seperti Sunway Lagoon, Taman Tema Air Gambang, Pahang, Taman Tema Air Relau, Pulau Pinang dan lain-lain?
Mungkin ini benar.
Untuk rekod, di Ipoh ada sebuah taman tema air yang sudah lebih lama wujud iaitu itu Lost World of Tambun. Taman tema ini sentiasa mendapat sambutan ramai sepanjang masa.
Kenapa MAPS tidak boleh seperti itu? Walau pun dalam bandar yang sama, taman tema air lebih menarik pengunjung sedangkan tidak ramai yang pergi ke MAPS.
SUASANA di bahagian luar MAPS berlatar belakang kapal terbang jumbo. - Kredit foto The Star.
Atau adakah kerana harga tiket?
Ada yang berpendapat MAPS bermula dengan langkah salah apabila pada awal pembukaannya mengenakan tiket yang tinggi. Tiket untuk dewasa hampir mencecah RM200 seorang dan kanak-kanak serta warga emas RM150.
Angka ini pasti membebankan , terutama kepada mereka yang datang dari jauh serta terpaksa pula menanggung kos perjalanan.
Bayangkan jika mereka datang bersama keluarga dengan beberapa orang anak, berapa banyak terpaksa mereka bayar untuk tiket masuk! Akibatnya ramai tawar hati.
Sepatutnya pada peringkat awal, tiket yang dikenakan biarlah rendah sedikit dengan matlamat utama menarik pengunjung.
Setelah dirasakan sambutan semakin baik, bolehlah dinaikkan tiket sedikit demi sedikit jika perlu.
Oleh itu langkah mengurangkan harga tiket setelah MAPS sepi daripada pengunjung nyata sudah terlewat.
Stigma tiket mahal sudah tertanam dalam fikiran mereka. Walaupun kemudian tiket masuk dihapuskan terus, ia gagal membantu.
Kini tidak diketahui apa nasib MAPS.
Penutupan sehingga diberitahu kelak boleh membawa makna ia bakal beroperasi semula tetapi entah bila. Namun ia juga boleh membawa makna MAPS akan ditutup terus! - KitaReporters.com
Taman Tema Animasi, MAPS, di Ipoh kini ditutup sehingga diberitahu kelak.