BERMULA Januari 2020, kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan bagi menyelamatkan mereka daripada mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan. : KitaReporters.com
Sumber Foto Paultan.org
Jadi takkan nak tunggu saman dikuatkuasakan. Jadi ikuti tip yang dikongsikan oleh Saudara Khairul Abdullah melalui laman Facebook beliau (https://www.facebook.com/khairul.m.abdullah).
Facebook Khairul Abdullah (https://www.facebook.com/khairul.m.abdullah)
Ini tips yang beliau kongsikan...
"Mungkin kita dah cukup berhati-hati, tapi ada orang lain pula yang melanggar kita. Impak pelanggaran kereta ni walaupun perlahan tapi boleh buat kita dan anak-anak tercampak keluar dari kereta kalau tidak memakai seatbelt.
Kalau dah tercampak keluar, peluang untuk mati adalah lebih tinggi.
Memang benar, semuanya kuasa Tuhan, namun sebelum kita menyerahkan segalanya kepada takdir, kita harus berusaha terlebih dahulu kemudian baru bertawakal. Usahanya ialah memastikan kereta berkeadaan baik, memakai seatbelt dan memandu dengan berhemah.
Ada yang cakap, anak saya susah lah tak nak duduk dalam carseat, nanti menjerit, tantrum dan sebagainya.
Memang tidak dinafikan yang mereka akan memberontak bagi yang tak biasa. Anak-anak saya sudah dilatih ketika hari pertama keluar dari hospital lagi, jadi tiada masalah buat mereka untuk duduk diam di dalam carseat masing-masing.
Bagi anak yang berusia 1-5 tahun dan baru hendak mula belajar menggunakannya maka ianya pasti sukar. Namun ianya tidak mustahil sekiranya kita sebagai ibu bapa terus berusaha.
Berikut adalah beberapa tips asas yang mudah untuk dicuba.
Sumber Foto FB Khairul Abdullah
1. Berikan yang terbaik.
Berikan anak carseat yang paling sesuai dan selesa buat mereka. Kita pun hendak duduk di kerusi empuk dan sedap untuk balik kampung maka mereka pun sama. Kalau beli yang murah tu dan rasa tak cukup empuk maka buatlah kusyen atau pelapik lain agar lebih selesa. Untuk carseat yang ada "3 point harness" ok, kalau booster seat jangan lapik sebarangan. Kalau mampu, belikan yang terbaik. Paling penting beli yang sesuai dengan umur anak.
2. Mulakan dari kecil
Seeloknya, keluar dari hospital terus masukkan dalam carseat. Jangan didukung atau diriba oleh ibu di tempat duduk hadapan. Lagi awal didedahkan dengan carseat ni maka lebih mudah.
Setiap kali hendak menyusu maka berhenti dan keluarkan baby. Dah selesai masukkan balik dan teruskan perjalanan.
3. Biasakan
Kemudian biasakan mereka dengan carseat tersebut. Biar ada rasa "ownership". Keluar kereta angkut carseat bawa ke dalam rumah, bila dia tengok tv ke layan youtube ke, membaca ke, suruh dia duduk kat dalam tu. Biar dia betul rasa selesa dan seronok di dalamnya. Biar dia hidup dengan carseat dia tu. Takpun waktu beli terus bawak ke dalam rumah biar dia biasakan diri duduk dan bermain dengan seat tu lalu tak berasa takut atau pelik dan kekok.
Biar dia rasa carseat tu dia punya. Lekat nama dia, lekat sticker watak atau karakter kegemarannya. Biar dia bergaduh dengan adik atau abang dia mempertahankan carseat dia.
Sumber Foto Berita Harian
4. Kelengkapan
Sediakan kelengkapan di dalam kereta. Sediakan mainan atau bahan bacaan atau apa sahaja yang boleh melekakan mereka. Makanan dan minuman juga penting namun pastikan ianya bukan makanan yang boleh membuat mereka tercekik. Ipad atau tab juga adalah item yang melekakan mereka.
5. Rutin Peringatan
Setiap kali masukkan anak ke dalam carseat dan pakaikan seatbelt maka ceritalah tentang kepentingan penggunaannya. Selalu tekankan yang duduk di dalam carseat dan pakai seatbelt adalah penting dan sangat merbahaya kalau tidak menggunakannya. Cakap juga yang polis marah orang yang tak pakai seatbelt.
6. Waktu rehat.
Anak-anak juga mudah merasa letih dan lenguh apabila terlalu lama di dalam carseat. Kalau memandu jauh di waktu siang, maka berhentilah setiap 2 jam dan keluarkan mereka. Kalau mereka tidur maka boleh teruskan.
Sekiranya meragam, biarkan dahulu, namun apabila tidak terkawal atau hampir muntah ketika menangis maka berhenti dan keluarkan mereka. Biar mereka bertenang dan cuba kembali.
7. Puji-pujian
Jangan lupa untuk sentiasa memuji mereka setiap kali keluar dari kereta dengan mengatakan yang mereka sudah berjaya. Katakan yang anda akan masak sedap-sedap atau belanja mereka makan dan sebagainya sebagai reward.
8. Tiada pengecualian
Tak boleh hari ni pakai, esok tidak, lusa tidak, minggu depan baru pakai balik dan sebagainya. Walaupun pergi ke kedai yang dekat sahajapun harus menggunakannya juga. Maksudnya, setiap kali anak-anak masuk ke dalam kereta maka mereka wajib duduk di dalam carseat dan memakai seatbelt.
Tiada pengecualian. Jangan si adik di dalam carseat, si abang duduk di depan bersama ibu atau sebaliknya. Jangan sampai ada anak yang merasakan yang dia kena "double standard".
Anak-anak kena duduk dalam car seat sehingga umur 12 tahun.
Tips asas di atas adalah rutin. Ia perlu dilakukan tanpa selang dalam apa jua keadaan sekalipun. Jangan sekejap buat sekejap tidak. Kalau tidak rutin maka anak-anak merasakan yang ia tidak serius dan mereka boleh "negotiate" dengan anda untuk tidak menggunakannya dengan melepaskan tantrum.
Walaupun diasuh sejak bayi menggunakan carseat, ketika umurnya 8 -16 bulan, mereka akan mula meragam dan tidak mahu duduk lama di dalam carseat. Maka tips nombor 3 - 7 harus dipraktikkan. Tetapkan hati dan terus mengamalkannya walaupun ribut dan badai melanda.
Namun, selepas anda berjaya melakukannya maka anda akan tahu betapa leganya dan senangnya hati anda memandu tanpa gangguan. Dapat bercinta suami isteri sambil makan jeruk Pak Ali tanpa perlu berkungfu dengan anak-anak.
Paling best nanti bila awak seorang diri, suami atau isteri tak ada pun awak boleh memandu dengan anak di belakang tanpa gangguan.
Namun paling penting, anda telah menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab dengan memberi keselesaan dan perlindungan yang sebaiknya untuk anak anda. Kalau apa berlaku anda tidak akan ralat lagi kerana telah mencuba sebaiknya.
Selamat mencuba dan semoga berjaya.
Khairul Abdullah
#SuperDaddy
Semoga panduan mudah ini dapat menyokong usaha memastikan keselamatan anak-anak di dalam kenderaan adalah terjamin.
Semoga tiada lagi berita-berita yang melaporkan kejadian cerita anak terpelanting keluar dari kenderaan akibat tidak menggunakan tali keselamatan serta kerusi keselamatan.
Insya-Allah duit untuk membeli kerusi keselamatan boleh dicari, tapi nyawa anak tiada nilai serta gantinya. - KitaReporters.com