'SUHAAG' antara filem pecah panggung lakonan Parveen Babi, Amitabh Bachchan dan Shashi Kapoor. Namanya dijulang sebagai seorang aktres ternama pada era 70-an dan awal 80-an. Hidupnya diselubungi kemewahan dan kegembiraan. Namun pada penghujung hayatnya dia sunyi dan terasing. Kematiannya penuh tragis. : Kitareporters.com
PARVEEN BABI ternama namun hidup derita.
Itulah nasib yang menimpa Parveen Babi, seorang model dan pereka dalaman (interior designer) yang menceburi industri filem Bollywood pada1973 melalui filem Charitra. Sekalipun filem ini tidak meletup, Parveen dilihat sebagai aktres berpotensi dan terus diberi peluang berlakon.
Ternyata penampilannya selepas itu membawa kejayaan besar. Dia melonjak dan berjaya menonjolkan diri sebagai aktres pujaan melalui filem hit seperti Majboor dan Deewar bersama bersama Amitabh Bachchan.
Selepas kejayaan itu, dia membintangi banyak filem pelbagai genre. Dianggarkan dia membintangi lebih 50 buah sepanjang 15 tahun berkecimpung dalam filem.
PARVEEN BABI bersama Amitabh Bachchan.
Dengan Amitabh sendiri, Parveen membintangi lebih 10 filem.
Ini secara langsung menampakkan status dirinya sebagai aktres unggul kerana ketika itu Amitabh sudah dikenali sebagai superstar. Bukan sebarang artis berpeluang berganding dengannya dalam filem.
Kejayaan Parveen melonjakkan namanya di persada filem, sebaris dengan aktres ternama ketika itu, Rekha dan Zeenat Aman, yang merupakan aktres seangkatan dengannya.
Parveen juga antara aktres menerima bayaran paling tinggi ketika itu, yang membolehkannya mampu hidup mewah.
Sepanjang kariernya dia membintangi banyak filem pecah panggung. Antaranya Amar Akbar Anthony, Suhaag, Kaala Patthar, Namak Halal, Kala Sona, Chandi Sona dan Jaani Dost.
WAJAH jelita dan ceria Parveen Babi.
Parveen dilahirkan di Junagadh, Maharashta pada 1949 selepas 14 tahun perkahwinan ibu bapanya. Pada umur 10 tahun, bapanya, Vali Mohammed Khan Babi meninggal dunia.
Pada usia 23 tahun, Parveen memulakan karier sebagai model (1972) sebelum membintangi Charitra bersama Salim Durrani.
Namun namanya memuncak apabila filem lakonannya bersama Amitabh Bachchan dan Shashi Kapoor, Deewar mencapai kejayaan besar.
Kejayaan ini mengubah penampilan Parveen menjadi aktres kelas atasan dan saling bergesel bahu dengan artis-artis ternama ketika itu.
Parveen dan Zeenat Aman dianggap sebagai artis era moden yang memecahkan tradisi lama. Pakaian dan penampilan seksi mereka mirip Barat.
Sukar menyaksikan Parveen dalam pakaian tradisi sari dalam filem-filem lakonannya.
Antaranya lakonannya yang paling berkesan ialah sebagai Anita dalam Deewar dan Jenny dalam Amar Akbar Anthony.
Parveen juga merupakan artis pertama India mendapat penghormatan menghiasai kulit depan majalah Time, sesuatu yang tidak pernah dicapai oleh artis-artis yang seangkatan atau yang lebih lama berkecimpung dalam filem.
DANNY DENZONGPA antara artis dikaitkan dengan Parveen Babi.
Bagaimanapun pada kemuncak kerjayanya pada 1983, Parveen meninggalkan dunia filem Bollywood India dan membawa diri ke luar negara. Kebanyakan masanya dihabiskan di California, Amerika Syarikat.
Ketika itu, Parveen dikatakan mula tidak sihat dari segi mental. Malah dia pernah menghadapi masalah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kennedy, New York apabila gagal megemukakan dokumen pengenalan diri apabila diminta.
Akibatnya dia dimasukkan ke dalam wad bersama pesakit mental lain. Mujurlah pihak kedutaan India kemudian datang membantu membawa dia keluar dari wad tersebut.
Parveen kemudian dikesan menghidap penyakit paranoid schizophrenia (sejenis penyakit gangguan otak). Penyakit inilah yang menyebabkan ingatan dan tingkah lakunya tidak menentu.
KABIR BEDI juga dikatakan mempunyai hubungan dengan Parveen Babi.
Hidup bersendirian dan kecewa kerana gagal dalam hubungan cinta dipercayai menjadi faktor Parveen menderita penyakit tersebut.
Tekanan hidup satu demi satu melanda diri. Jiwanya kosong dan hampa kerana berpisah dengan beberapa aktor yang pernah dikaitkan dengannya seperti Kabir Bedi, Danny Denzongpa dan Amitabh Bachchan sendiri.
Malah dalam kekalutan mindanya, dia menganggap orang yang pernah rapat dengannya sebagai musuh. Misalnya dia menganggap Amitabh Bachchan sebagai orang yang menghancurkan hidupnya.
Dia juga berimaginasi ramai orang hendak membunuhnya.
Parveen kembali ke India pada 1989. Ramai tidak mengenalinya kerana perubahan fizikal dirinya yang begitu berisi.
Dia menetap berseorangan di apartmen mewahnya di Juhu, Mumbai. Sekali sekala dia menerima wartawan datang ke rumahnya untuk temu bual.
Namun banyak waktu dalam keseluruhan hidupnya, khususnya di penghujung hayat, Parveen melalui hidup bersendirian walaupun dalam keadaan sakit.
FIZIKAL Parveen Babi berubah menjadi berisi selepas meninggalkan Bollywood.
Dia menghadapi masalah kemurungan serius sementara penyakit kencing manisnya semakin teruk sehingga mengakibatkan gangrene pada kaki kirinya.
Parveen meninggal dalam keadaan bersendirian pada usia 56 tahun. Kematiannya tidak diketahui oleh sesiapa.
Ia hanya disedari pada 22 Januari 2005, dianggarkan 72 jam selepas kematiannya. Itu pun setelah setiausaha persatuan penduduk memaklumkan kepada polis Parveen tidak mengambil susu dan surat khabar yang diletakkan di pintu rumahnya selama tiga hari berturut-turut.
Punca kematian tidak dapat dipastikan. Mungkin kerana kelaparan akibat tidak makan berhari-hari atau mungkin kerana kegagalan fungsi organ dalaman disebabkan penyakit kencing manisnya.
Ketika mayatnya ditemui, keadaan dalam apartmennya berselerak. Terdapat satu kerusi roda dipercayai digunakan untuk bergerak lantaran tidak mampu berjalan akibat gangrene pada kakinya.
Selain itu, terdapat ubat, pakaian dan surat khabar lama bersepah di merata sudut dalam rumahnya yang menunjukkan Parveen sudah tidak mampu menguruskan diri dan kediamannya.
Jenazah Parveen disemadikan di tanah perkuburan Islam Santacruz, Mumbai.
Berakhirlah riwayat seorang aktres hebat yang melalui hidup dengan gemilang dan terbilang, tetapi mati dalam kesunyian dan dilupakan. - KitaReporters.com