Santai 12 Jan, 2020

TAHNIAH!! PUTEH KINI MEWARNI DUNIA LAWAK

@ku syafiq ku fozi
Wartawan terakhir yang diterima bekerja secara tetap bersama Utusan Malaysia. Mula berkhidmat pada 1 November 2017 dan tamat pada 31 Oktober 2019. Pemerhati perkembangan muzik negara baik dalam arus perdana mahupun bawah tanah.

Share this

SETELAH empat tahun mencuba, rezeki akhirnya memihak kepada kumpulan Puteh apabila dinobatkan juara Maharaja Lawak Mega 2019, Jumaat lalu. Puteh yang dianggotai Ali, Mamak dan Man berjaya menewaskan empat lagi kumpulan pada peringkat akhir, iaitu Zero (tempat kedua), Bocey (ketiga), Jborn (keempat) dan Rare (kelima). : KitaReporters.com

ALI atau Syed Ali Mubarak Syed Ridzuan


Walaupun mula menyertai Maharaja Lawak Mega (MLM) pada tahun 2016, perjalanan ketiga-tiga anggota Puteh dalam seni lawak sudah bermula lama.

Mari kita telusuri sejarah penglibatan Ali, Mamak dan Man dalam seni lawak, dari peringkat amatur sehinggalah menjadi kumpulan lawak nombor satu hari ini.

Pemilik nama sebenar Syed Ali Mubarak Syed Ridzuan ini mula menyertai pertandingan Raja Lawak 6 pada tahun 2012 bersama abangnya, Syed Umar Mokhtar Syed Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Abam. Kumpulan mereka diberi nama Albob.

Kumpulan mereka tidak berjaya ke peringkat akhir apabila tersingkir pada minggu ketujuh. Ali dan Abam kemudian berpecah membawa haluan masing-masing.

Abam bersama seorang lagi peserta Raja Lawak 6 dari kumpulan Selak, Fad membentuk kumpulan Bocik dan menyertai pertandingan Bintang Mencari Bintang 2013. 

Dalam pertandingan itu, mereka bertemu Achey dan ketiga-tiga mereka membentuk kumpulan bersama dengan nama Bocey.

Ali turut menyertai pertandingan yang sama bersama gandingannya dalam kumpulan Bowl, Mohd Danial Lee namun tidak membuahkan hasil.

Tidak mahu berputus asa, Ali akhirnya menemui gandingan yang betul-betul serasi dengannya, iaitu Mamak. Mereka membentuk kumpulan Puteh dan menjadi naib juara Projek Komedi Warna 2015.

Langkahnya bersama kumpulan Puteh diteruskan dengan menyertai Maharaja Lawak Mega dan mereka berjaya menjadi finalis buat empat tahun berturut-turut, sebelum akhirnya menjadi juara pada tahun 2019.

Mamak atau Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad


Mamak atau nama sebenarnya Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad melalui jalan yang hampir sama dengan Ali dalam karier lawaknya.

Beliau turut menyertai Raja Lawak 6 bersama kumpulan Cuit dan memperoleh keputusan yang lebih baik berbanding Ali, iaitu tempat ketiga di belakang Zero dan Shiro.

Walaupun dilihat mempunyai keserasian dalam Cuit kerana ketiga-tiga mereka menggunakan dialek Utara dalam persembahan, jodoh Mamak bersama kumpulan itu tidak bertahan lama.

Mamak kemudiannya menyertai Puteh bersama Ali dan menjadi naib juara Projek Komedi Warna pada tahun 2015 sebelum bergelar juara Maharaja Lawak Mega 2019.

MAN atau Abdul Rahman Kasim


Tidak keterlaluan jika dikatakan, Man adalah juara Raja Lawak paling bernasib malang.

Mana tidaknya, tidak sampai sebulan memegang status sebagai juara Raja Lawak musim kelima, pemilik nama penuh Abdul Rahman Kasim itu terpaksa menyertai satu lagi pertandingan lawak iaitu Maharaja Lawak 2011.

Dalam Maharaja Lawak, Man tenggelam kerana terpaksa bersaing dengan peserta yang lebih berpengalaman seperti Jozan (Johan dan Zizan); Sepah (Jep, Mamat dan Shuib); Jambu (Yus dan Tauke) serta Nabil.

Tidak sempat merasa kegemilangan sebagai juara, nama Man terus tenggelam setelah tersingkir pada minggu kelapan.

Tiga tahun selepas itu, Man kembali tampil dalam Maharaja Lawak Mega 2014 bersama kumpulan Samurai, namun tersingkir awal pada minggu ketiga.

Pada tahun 2018, Man sekali lagi kembali dan kali ini bergandingan dengan Tauke membentuk kumpulan Taman. Kumpulan Taman berjaya mara ke final dan mendapat tempat kelima.

Percubaan ketiga Man dalam Maharaja Lawak Mega akhirnya membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai juara bersama kumpulan Puteh. - KitaReporters.com

61
12
4
0
6
You will be interested

SAH!! MAJLIS NIKAH DI DEPAN RUMAH TOK KADI

Tular dalam media sosial, satu majlis pernikahan yang diadakan di pekarangan rumah tok kadi dalam keadaan mengamalkan ‘social distancing’ kerana COVID-19

Yati Yazid in Santai 4 years ago

MAI-MAI!! JOM BORAK DENGAN ARTIS WARNER

Program #StayAtHome With Warner Music akan disiarkanbermula pukul 8.30 malam hari Sabtu, 21 Mac 2020 melalui akaun media sosial Instagram Warner Music Malaysia
Fariza Saidin in Santai 4 years ago

RAMAI CERAI SELEPAS KENA KUARANTIN! PULAK?

TINGGAL bersama untuk waktu yang lama rupanya tidak semestinya semakin mengeratkan hubungan pasangan suami isteri, malah boleh juga meruntuhkan rumah tangga
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago

TERBAIKLAH KHAI! HERO BEBAS DADAH PBB!!

Khairudin Aziz terpilih sebagai penerima Anugerah Drug Free Hero (Hero Bebas Dadah) pada Persidangan Antarabangsa Anti Dadah anjuran PBB di Amerika Syarikat
Wan Noor Hayati Wan Alias (Allahyarham) in Santai 4 years ago

CINTA BOLLYWOOD: RANBIR KHIANATI DEEPIKA

Pelakon Bollywood, Deepika Padukone mendedahkan dalam satu wawancara bagaimana cinta sucinya dinodai dua kali oleh kekasihnya sendiri, aktor Ranbir Kapoor
Ahmad Abd Hamid in Santai 4 years ago