BERSEMPENA dengan sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2019 baru-baru ini, Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan kerjasama mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengambil inisiatif meraikan IRM Troopers, kumpulan sukarelawan yang menjadi antara tulang belakang organisasi dalam menyantuni penerima manfaat di negara ini. : KitaReporters.com
Kumpulan sukarelawan itu diraikan menerusi penganjuran program Scavenger Hunt di Taman Tasik Cempaka dan permainan bowling di Bangi Gateway Shopping Complex, Bangi pada Sabtu (7/12/2019) lalu.
"Penghargaan ini sangat kecil jika dibandingkan dengan pengorbanan dan sokongan yang telah disumbangkan oleh kumpulan sukarelawan.
"Jadi, tahun hadapan kami akan cuba sediakan lebih banyak ruang dan peluang kepada sukarelawan untuk menambahkan lagi pengalaman mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sosial membantu golongan memerlukan," kata Nur Thasra Abdul Rahman, Pegawai Kanan Bahagian Pembangunan Modal Insan Islamic Relief Malaysia dalam satu kenyataan media.
Seramai 70 sukarelawan hadir bagi mengukuhkan ukhwah sesama mereka juga kakitangan Islamic Relief Malaysia selain menyokong usaha pengumpulan dana projek Telaga Air Bangladesh (TAB) melalui yuran penyertaan program.
Projek ini adalah satu platform yang disediakan untuk sukarelawan mengumpul dana seterusnya menjalankan misi kemanusiaan ke Rangpur, Bangladesh bagi membina 17 telaga air yang bakal memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk setempat dengan kos RM100,000.
Setakat ini, dana yang telah berjaya dikumpulkan oleh 5 sukarelawan yang menjadi teraju utama telah mencapai RM60,000.
Bagi Ahmad Ziyadiy Zainuddin, mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga ketua untuk aktiviti Scavenger Hunt berkata:
"Aktiviti kesukarelawanan memberi banyak pendedahan positif kepada saya dan sahabat-sahabat lain.
"Kami bukan sahaja dapat meningkatkan pengetahuan mengenai isu-isu kemanusiaan khususnya projek Telaga Air Bangladesh malah berpeluang mengendali program untuk pelbagai lapisan masyarakat."
Majlis penutup program diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Zairulshahfuddin Zainal Abidin bersama Dr Mohamed Amr Attawia, Ali Lembaga Pemegang Amanah Islamic Relief Malaysia.
Diharapkan untuk tahun 2020, lebih ramai lagi masyarakat kita terbuka hati untuk menyumbang tenaga sebagai sukarelawan seterusnya meluaskan bantuan untuk insan-insan memerlukan. - KitaReporters.com