PENARI bogel cedera selepas terjatuh ketika membuat persembahan, biasa kita dengar. Namun, jarang kita dengar pengunjung kelab malam rebah tidak sedarkan diri akibat dihempap tiang di kelab tarian tiang dan bogel. Lebih luar biasa apabila mangsa merupakan wanita warga emas berusia hampir seabad. : KitaReporters.com
Kredit foto: The Sun
Memetik laporan The Sun, mangsa pengsan selepas dihempap tiang ketika menonton pertunjukan tarian bogel lelaki, Dreamboys di Shoreditch, London pada Sabtu, 22 Februari 2020.
Wanita yang cedera di kepala itu dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan.
Manakala, Lewis Riches, 32, patah kaki di dua tempat selepas jatuh akibat tiangnya tercabut dari siling kelab berkenaan ketika dia melompat ke atasnya.
Menurut saksi, Riches jatuh ke arah penonton bersama tiang itu yang kemudian menghempap wanita berusia 75 tahun di kepala sehingga tidak sedarkan diri.
Lewis Riches - Kredit foto: The Sun
Difahamkan, warga emas itu mengunjungi kelab berkenaan bagi menghadiri parti bujang cucu perempuannya.
"Kami sedang menikmati persembahan itu di barisan kedua.
"Malangnya, tiang itu tercabut dari siling apabila penari terbabit melompat ke atasnya.
"Tiang itu jatuh di atas kepala wanita berkenaan sebelum dia rebah tidak sedarkan diri," kata saksi.
Tidak dapat dipastikan sama ada wanita itu patah leher atau mengalami serangan jantung akibat kejadian.
"Tapi, kami melihat paramedik terpaksa menggunakan alat defibrillator," kata saksi itu lagi.
Sementara itu, jurucakap Perkhidmatan Ambulans London mengesahkan warga emas terbabit mengalami kecederaan di kepala dan dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan susulan.
Lewis Riches patah kaki di dua tempat. - Kredit foto: The Sun
Berikutan kejadian, Riches yang menjalani pembedahan di kaki dan buku lalinya dijangka mengambil masa sehingga setengah tahun sebelum dia boleh kembali beraksi di atas tiang. - KitaReporters.com