SEJAK 2007 hingga 2019, Faizal Tahir telah mempertandingkan 11 buah lagu pada peringkat akhir Anugerah Juara Lagu. Dalam tempoh itu, Faizal telah memperoleh lapan trofi. : KitaReporters.com
PERSEMBAHAN Faizal Tahir melalui lagu Sampai Syurga pada AJL23. - Foto tangkap layar video milik TV3 Malaysia
Pecahannya begini: satu trofi juara kategori; satu trofi Vokal Terbaik; dua trofi Persembahan Terbaik; dua trofi tempat ketiga dan dua trofi tempat kedua.
Ini bermakna Faizal Tahir pernah memenangi semua trofi yang dipertandingkan dalam AJL sejak 2007 hingga 2019 kecuali satu: trofi Juara Lagu.
Ia bagaikan badi apabila penyertaan demi penyertaan oleh beliau, namun tidak pernah melekat gelaran Juara Lagu kepadanya.
Pencapaian terbaik Faizal pastilah dalam AJL23 apabila bukan sahaja dua lagunya lolos ke peringkat akhir, malah persembahannya melalui lagu Sampai Syurga menghadiahkan tiga kemenangan - juara kategori Balada, Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik.
Namun ia juga boleh jadi kekalahan terpahit apabila ketika itu semua menjangkakan Sampai Syurga akan menjadi juara, namun ia dipintas oleh Lagu Untukmu daripada Meet Uncle Hussein.
Ia kejutan yang besar kerana sebuah kugiran indie yang tidak dinaungi syarikat rakaman besar berjaya menjadi juara.
Begitu juga dengan AJL30 apabila persembahan Faizal dengan diiringi visual menyayat hati melalui lagu Assalamualaikum dijangka akan bergelar juara, namun ia dirampas Akim And The Majistret melalui lagu Potret.
Percubaannya pada AJL32 juga tidak berhasil walaupun lagu Sejati pada tahun sebelumnya telah diangkat sebagai Lagu Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik (AIM).
AZMI SAAT menggantikan Faizal Tahir untuk menyanyikan lagu Sejati dalam pertandingan akhir AJL32. - Foto Facebook Azmi Saat
Kali ini Faizal kembali mempertaruhkan karya untuk dinilai dalam pertandingan akhir AJL melalui lagu Ragaman.
Pasti tinggi harapan Faizal agar lagu ciptaannya bersama Mike Chan dan Romeo ini berjaya menamatkan kemarau kejuaraan Juara Lagu yang sekian lama membahang.
Jika dilihat, Ragaman boleh diletakkan sebagai kegemaran untuk AJL kali ini memandangkan susunan muziknya sangat segar dan liriknya juga menarik.
Namun, mampukah Fairuz Misran melunaskan tanggungjawabnya sehabis baik agar Ragaman boleh diangkat sebagai juara AJL34?
Semuanya akan terjawab pada 9 Februari nanti. - KitaReporters.com