ANUGERAH Juara Lagu Ke-34 (AJL34) telah melabuhkan tirainya. Naim Daniel melalui lagu ciptaannya bersama Omar K diangkat sebagai juara. Pelbagai kontroversi berlaku pada malam kemuncak itu, namun KitaReporters.com ingin menarik perhatian anda kepada satu perkara yang menarik dan positif, iaitu tentang persembahan Masdo. : KitaReporters.com
Masdo boleh dikira wakil untuk kugiran indie dalam AJL34. Tiga lagi kugiran yang bertanding iaitu Hazama & The Penglipur Lara, Akim & The Majistret dan Drama Band lebih sinonim dengan arus perdana, walaupun Drama Band lahir dari rahim indie.
Dalam persembahannya pada Ahad, 9 Februari 2020, Masdo menggunakan konsep joget lambak kenduri kahwin dengan menggunakan berpuluh-puluh penari.
Untuk yang baru mengenali Masdo, mereka ini mempunyai kumpulan peminat yang dikenali sebagai Geng Pak Maon dan Geng Bentara Guru.
Nama itu diambil dari watak suami isteri dalam filem "Nasib Do Re Mi".
Uniknya Masdo berbanding kugiran indie lain, ketika membuat persembahan peminat mereka tidak ‘moshing’ (menari tanpa arah tuju sambil menikmati muzik), sebaliknya mereka berjoget lambak.
Inilah yang ditonjolkan Masdo dalam persembahan mereka melalui lagu "Dinda".
Budaya joget lambak dalam gig kecil yang disertai mereka pada awal karier dibawa ke pentas sebesar AJL.
Foto: Tangkap layar video TV3 Malaysia
Menurut wakil kumpulan itu, barisan penari yang digunakan dalam persembahan itu adalah dari Sekolah Seni Kuala Lumpur.
Namun, yang lebih penting lagi, persembahan mereka adalah pesta muda mudi yang diadakan untuk semua Geng Pak Maon dan Geng Bentara Guru yang tidak pernah jemu menyokong perjalanan seni mereka.
Ini yang menariknya. Mari kita imbas kembali persembahan dua kugiran indie, Hujan dan Bunkface ketika pertama kali layak ke pentas AJL.
Hujan dan Bunkface pertama kali layak ke peringkat akhir AJL pada tahun 2009 melalui lagu "Aku Skandal" dan "Situasi".
Walaupun tidak memenangi apa-apa anugerah, Hujan dan Bunkface membawa semangat indie yang sama dalam persembahan mereka, iaitu penghargaan kepada peminat masing-masing.
Kedua-dua mereka membawa budaya ‘moshing’ ke pentas AJL. Walaupun ia bukanlah ‘moshing’ yang tulen kerana koreografinya lebih tersusun, namun usaha untuk memperkenalkan budaya indie dalam persembahan mereka wajar dipuji.
Foto: Tangkap layar video TV3 Malaysia
Malah, dikatakan penari yang menjayakan persembahan Hujan pada malam itu juga terdiri daripada peminat mereka yang dikenali sebagai Raingers.
Begitulah sikap kugiran indie yang tidak pernah melupakan penyokong yang memapah mereka ketika susah. - KitaReporters.com