BARANGAN terpakai yang masih elok dan boleh digunakan jangan sewenang-wenangnya dibiarkan musnah atau dibuang, sebaliknya manfaatkanlah untuk kegunaan kalangan mereka memerlukan. : KitaReporters.com
ECOFreeMarket Seri Kembangan yang julung kalinya diadakan berlangsung di Dewan Dr George, Taman Eguine, Bandar Putra Permai, Selangor mendapat sambutan di luar jangka.
Sehubungan dengan itu, jika ada antara sesiapa memiliki barangan kategori tersebut dengan keadaan fizikalnya masih elok dan boleh diguna pakai tetapi tidak lagi diperlukan jangan dibazirkan terbiar atau dimusnahkan hingga boleh mengancam ekosistem alam dan kebersihan.
Sebagai rakyat Malaysia, kita beruntung kerana adanya pasukan penyelaras yang bergiat aktif menganjurkan kegiatan mengumpul, mempamer dan mengagihkan barangan terpakai berkenaan yang berkeadaan baik secara teratur lagi bersistem.
Kumpulan penyelaras yang diterajui golongan profesional memiliki kepakaran dalam bidang-bidang khusus tertentu menjadikan ECOFreeMarket (EFM) sebagai platform menyebarluaskan pelbagai barangan terpakai berkenaan termasuk berjenama popular kepada sesiapa sahaja yang memerlukan, sekalipun sudah diketegorikan sebagai secondhand.
Penyumbang barangan ECOFreeMarket Seri Kembangan dengan penuh ikhlas menyerahkan barangan yang dipamer kepada penerimanya.
EFM adalah konsep ekonomi beri percuma tanpa menjual melibatkan penyumbang dan penerima.
Di mana penyumbang menyediakan dan memberi barangan dengan rela hati serta ikhlas orang ramai sebagai penerima perlu berterima kasih mengucap syukur merupakan kaedah yang diberi penekanan oleh organisasi yang berpusat di Shah Alam, Selangor.
Malahan EFM menawarkan kaedah unik di mana sesiapa sahaja atau orang ramai digalakkan membawa pulang barangan yang dipamer secara percuma tanpa sebarang ikatan syarat.
Manakala para penyumbang boleh mempamer barangan mereka dengan bebas tetapi di bawah pengawasan kumpulan penyelaras.
Dalam konteks ini, orang ramai boleh membawa barangan yang mereka miliki tetapi masih dalam keadaan baik dan boleh diguna pakai ke EFM untuk ditawarkan kepada sesiapa sahaja yang menginginkannya.
Orang ramai dengan penuh displin dan beradab memilih barangan termasuk pakaian yang dipamerkan penyumbang di ECOFreeMarket Seri Kembangan.
Perkara ini dinyatakan oleh salah seorang anggota kumpulan penyelaras ECOFreeMarket Seri Kembangan, Rahmat Bayudi yang ditemui di Taman Equine, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan pada Ahad (5/1/2020) lalu.
Katanya, orang ramai yang ada barangan terpakai tetapi masih elok dan boleh digunakan apa juga ketegori daripada perhiasaan dan alat kelengkapan rumah, pakaian, buku-buku serta peralatan eletrik hinggalah kepada permainan kanak-kanak boleh bawa ke EFM untuk dipamer dan ditawarkan kepada mereka yang berminat.
NGO ini juga menggalakkan sumbangan berbentuk kemahiran dan perkhidmatan daripada masyarakat, antaranya merangkumi bidang pemeriksaan perubatan, undang-undang, nasihat kewangan dan perkhidmatan pembaikkan.
EFM lebih berfungsi sebagai platform menghubungkan pertalian kemesraan dan kekeluargaan komuniti antara penyumbang serta penerima.
Malahan orang ramai dan mereka yang tidak mempunyai barangan untuk dipamer atau ditawarkan masih dialu-alukan turut serta kerana EFM tidak beroperasi berdasarkan sistem dagangan (jual beli), sebaliknya satu manifestasi sikap penyumbang memberi dengan jujur lagi ikhlas dan penerima yang berterima kasih serta bersyukur.
Ahli kumpulan penyelaras ECOFreeMarket, Rahmat Bayudi (tiga dari kiri)dan Mohd.Sahril Abd.Samat (bertengkolok) menerangkan mengenai fungsi dan peranan ECOFreeMarket Seri Kembangan kepada Exco Kerajaan Selangor, Dr. Siti Mariah yang sempat meluangkan masa meninjau keadaan EFM berkenaan.
Dalam menjayakan EFM secara berkesan, NGO berkenaan menubuhkan kumpulan utama penyumbang, sukarelawan dan peserta yang mengambil berat kebajikan orang lain dalam komuniti setempat serta mahu membangun persaudaraan dan masyarakat yang akrab.
NGO itu juga berharap untuk memperluas dan berkongsi aktiviti ke arah menambah nilai kehidupan komuniti.
Suatu yang lebih dibanggakan sebenarnya EFM bukan sahaja sebagai platform unik mengagihkan barangan untuk mereka yang berminat sahaja, tetapi ia merupakan antara landasan berkesan ke arah membangun institusi persaudaraan dan perpaduan dala kalangan masyarakat komuniti moden hari ini yang lebih menumpukan masa dengan kesibuan kerja mahupun aktiviti perniagaan hingga wujud satu fenomena ikatan hubungan dalam kalangan jiran serta rakan semakin berkurangan.
Pelbagai kategori barangan yang masih elok dan boleh diguna pakai dipamer oleh para penyumbang di ECOFreeMarket Seri Kembangan.
Bagi menjayakan program yang dirancang sepanjang tahun, NGO ini dengan taglinenya "Menjana kebaikan untuk manusia dan alam" sentiasa menjalin kerjasama bersama organisasi lain termasuklah untuk penajaan sumbangan atau lain-lain antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pusat Zakat Selangor, Yayasan TAAT, Skuad Senyum, Food Aid Foundation, Kindness Malaysia dan beberapa badan lainnya.
Malahan pihak berkuasa tempatan termasuklah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Petaling Jaya ( MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Daerah Raub (MDR) dan beberapa PBT lainnya turut bekerjasama erat.
Perancangan sedang dibuat untuk mewujudkan EFM di 68 kawasan perumahan Pusat Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur dalam usaha memberi kesedaran ke arah masyarakat mampan dan hijau, gaya hidup sihat, aspek ekonomi dan inisiatif ladang komuniti.
Penyumbang yang mempamerkan barangan permainan kanak-kanak antara yang menjadi tumpuan sama ada kanak-kanak mahupun orang dewasa.
Inisiatif juga sedang dijalankan untuk mengembang luaskan kegiatan EFM ini ke seluruh negara hingga luar bandar termasuk kawasan penempatan FELDA dengan menubuhkan kedai amal RFM di lokasi-lokasi strategik.
Selain itu, jalinan erat diwujudkan dengan beberapa syarikat teknologi dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi menjadikannya lebih popular, di samping berhasrat mewujudkan Bank Recyler Digital.
Seorang lagi ahli pasukan penyelaras EFM, Mohd Shahril Abd,Samat pada pertemuan itu memberitahu, sejak penyertaan kira-kira lima tahun lalu banyak usaha dijalankan dalam membantu menyedarkan masyarakat ke arah memperkasa penerokaan projek-projek komuniti mapan.
Katanya, inisiatif menjadikan komuniti tempatan sebagai hab mewujudkan kesedaran awam mengenai aktiviti amal dengan kepentingan alam sekitar dan ekonomi.
Beliau yang juga Penyelaras ECO Bazar Jariah Masjid Jame' Al Khadijiah, Kampung Pantai Dalam di Kuala Lumpur menyifatkan kegiatan EFM suatu platform positif dalam melahirkan kelompok masyarakat yang berterima kasih, bersyukur, beradab sopan serta jujur antara penyumbang dan penerima.
Sebahagian sukarelawan daripada Universiti Tenaga Nasional (Uniten) bersama ahli kumpulan penyelaras mengabdikan foto kenangan selepas selesai mengendalikan ECOFreeMarket Seri Kembangan di Dewan Dr.George, Taman Equine, Seri kembangan, Selangor.
EFM yang sentiasa mendapat sambutan mengalakkan sebelum ini diadakan di beberapa tempat di Lembah Klang termasuklah Bandar Baru Bangi, Serdang, Kuala Lumpur, Shah Alam, Petaling Jaya, Puchong, Subang Jaya, Kajang/Balakong, Pusat Zakat Selangor, Damansara Damai dan lain-lain.
Di samping itu, operasi juga turut diadakan di Langkawi, Kedah; Jasin, Melaka; Raub, Pahang; dan Hulu Selangor, Selangor.
Untuk tempoh terdekat, EFM bakal berlangsung di Shah Alam, Selangor dan Bandar Hilir, Melaka .
Pada EFM Seri Kembangan yang julung kalinya diadakan di Pekarangan Dewan Dr George mendapat sambutan di luar jangka dengan melibatkan sejumlah 25 penyumbang yang menawarkan pelbagai kategori barangan terpakai tetapi masih elok untuk digunakan.
Sebahagian penerima bantuan barangan keperluan harian pada ECOFreeMarket Seri Kembangan.
Pada majlis itu juga, diadakan acara penyerahan bantuan keperluan harian kepada 100 golongan asnaf dan B40, pertandingan mewarna dan beyblade untuk kanak-kanak, serta senamrobik.
Radio Era dengan tiga orang petugasnya turut memeriah EFM dengan aktiviti uji minda dan acara permainan untuk beberapa individu terpilih dengan menawarkan hadiah berupa baju-T Radio Era dan makanan.
Juga mereka mengagih-agihkan roti untuk sebahagian yang hadir.
Dua petugas Radio Era menghiburkan orang ramai dengan celoteh mereka di ECOFreeMarket Seri kembangan.
Exco Kerajaan Selangor yang juga ADUN Seri Serdang, Dr Mariah Mahmud yang dalam perjalanan ke satu acara di kawasan Seri Kembangan turut meninjau dan menyantuni mereka yang hadir dan para penyumbang EFM Seri Kembangan.
Beliau menyifatkan kegiatan ini merupakan suatu yang positif dan aktivitinya wajar diadakan di banyak lagi tempat yang sesuai.
Kaedah yang dipraktikan oleh EFM wajar diperbanyakkan lagi kerana ia mempunyai ciri-ciri positif selain membantu mengurus barangan yang tidak diperlukan tetapi dalam keadaan baik untuk diagihkan kepada mereka memerlukan juga memupuk semangat keakraban dalam hubungan komuniti setempat tanpa mengira bangsa. Juga secara tidak langsung mampu menyemai bibit-bibit berterima kasih, berbudi, bersopan santun dan bersyukur bagi kalangan penyumbang dan penerima terlibat. - KitaReporters.com
ECOFreeMarket yang berlangsung di Shah Alam ,Selangor mempamer barangan termasuk kelengkapan dapur dan pakaian.
Puchong merupakan antara tempat ECOFreeMarket diadakan diberi sambutan komuniti setempat. Buku-buku yang dipamer penyumbang sentiasa menarik perhatian pengunjung.
ECOFreeMarket yang diadakan dikawasan Lurah Bilut, Bentong, Pahang turut diberikan sambutan menggalakkan.
Sambutan di luar jangka oleh komuniti setempat terhadap ECOFreeMarket semasa diadakan di Damansara Damai, Selangor.